كَفَى بِالمـَوتِ وَاعِظًا يَا عُمَر
“Cukuplah kematian sebagai peringatan, wahai Umar.”
[Mukhtasar Tarikh Dimasyq oleh Ibn Manzur, 18/313]
Nabi S.A.W menasihati kita bahawa dengan mengingati kematianlah kita dapat menghindari diri daripada melakukan dosa dan maksiat. Berdasarkan Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar R.A, Nabi S.A.W bersabda:
أَكْثِرُوا ذِكرَ هَاذمِ اللَّذّاتِ – يَعْنِي المـَوت – فَإنَّه مَا كَانَ فِي كَثِيرٍ إِلَّا قَلَّلهُ، وَلاَ قَلِيلٍ إِلَّا أَجزَاهُ
“Perbanyakkan mengingati pemutus kelazatan – iaitu kematian – kerana apabila ia diingati dalam keadaan banyak maksiat, ia boleh mengurangkan kemaksiatan tersebut dan apabila diingati dalam keadaan kurang ibadah, ia akan memperbanyakkan ibadah tersebut.”
[Riwayat al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman, 7/353].
Ada orang cuba mengelak apabila berbicara mengenai kematian sedangkan kita tidak mungkin dapat melarikan diri daripada kematian. Apa gunanya kita mengelak daripada bercakap mengenainya? Situasi yang terbaik ialah kita sentiasa mengingati kematian supaya dapat bersedia menghadapinya.
Syeikh Ramadhan al-Buti pernah berkata:
“Jika anda sentiasa mengingati kematian dan mempersiapkan diri untuk menghadapinya setiap masa, maka tatkala kematian itu datang, anda akan menyambut kedatangannya dengan penuh ketenangan sambil berkata: ‘Selamat datang wahai pertemuan dengan Allah S.W.T.’”
[Siri Fi Sabil al-Tazkiyyah, no. 6]
Kita mungkin tidak sehebat beliau tetapi sekurang-kurangnya dengan mengingati mati, kita dapat memperbaiki diri kita dan memperbanyakkan amalan kita yang tidak seberapa ini. “Ya Allah, perbaikkanlah kesudahan segenap urusan kami serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.” Amin.
harakahdaily.net