IQNA

12:45 - December 22, 2021
Berita ID: 3100551
TEHRAN (IQNA) - PERISTIWA kewafatan Rasulullah SAW yang sangat menyedihkan umat itu berlaku pada hari Isnin selepas tergelincirnya matahari. Mengikut sesetengah riwayat, ada yang mengatakan pada akhir waktu dhuha, tanggal 12 Rabi‘ul Awwal tahun ke-11 Hijrah dalam usia 63 tahun.

Malah, ada kalangan ulama yang berpandangan bahawa Baginda SAW wafat pada usia 63 tahun empat hari, dengan menambahkan bilangan empat hari.

Abu Bakar al-Siddiq RA yang mendapat berita kewafatan Rasulullah SAW, dengan segera bergegas datang. Setibanya di masjid, beliau tidak mempedulikan sikap ‘Umar bin al-Khattab RA yang mengancam dengan keras dan menafikan kewafatan Rasulullah SAW.

Lantas, Abu Bakar RA masuk ke dalam rumah Rasulullah SAW dan terus menarik selimut yang menutupi muka dan kepala Baginda. Beliau menatap dengan penuh kesedihan, lalu mengucup wajah yang mulia itu. 

Lantas, Abu Bakar RA berkata:

بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي، أَمَّا الْمَوْتَةُ الَّتِي كَتَبَ اللَّهُ عَلَيْكَ فَقَدْ ذُقْتهَا، ثُمَّ لَنْ تُصِيبَكَ بَعْدَهَا مَوْتَةٌ أَبَدًا.

“Demi sesungguhnya aku kasihkanmu lebih daripada kasihku kepada ayah dan ibuku. Inilah kematian pertama yang Allah SWT wajibkan kepadamu yang kamu rasai. Kemudian selepas ini, kamu tidak akan merasai mati lagi untuk selama-lamanya.”

Kain selimut diangkat semula untuk menutupi wajah kekasih Allah SWT yang mulia itu. Kemudian, beliau terus keluar dan menuju ke masjid.

‘Umar RA terus mengucapkan dengan tegas bahawa Rasulullah SAW tidak wafat dan akan bertindak terhadap sesiapa yang mengatakan bahawa Baginda telah wafat.

Maka, Abu Bakar RA berkata:

عَلَى رِسْلِكَ يَا عُمَرُ، أَنْصِتْ!

“Berhenti! Wahai ‘Umar, diamlah kamu!”

Umar RA enggan mematuhi perintah tersebut. Abu Bakar RA terus berpaling kepada orang ramai dan menyampaikan ucapannya yang masyhur:

أَيُّهَا النَّاسُ، إنَّهُ ‌مَنْ ‌كَانَ ‌يَعْبُدُ ‌مُحَمَّدًا ‌فَإِنَّ ‌مُحَمَّدًا ‌قَدْ ‌مَاتَ، وَمَنْ كَانَ يَعْبُدُ اللَّهَ فَإِنَّ اللَّهَ حَيٌّ لَا يَمُوتُ. قَالَ: ثُمَّ تَلَا هَذِهِ الْآيَةَ:

“Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya sesiapa yang menyembah Muhammad, sebenarnya Muhammad sudah mati; dan sesiapa yang menyembah Allah, sebenarnya Allah itu Maha Hidup tidak mati sekali-kali (seterusnya menyebutkan firman Allah SWT):

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ أَفَإِنْ مَاتَ أَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلَى أَعْقَابِكُمْ وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَى عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ١٤٤

“Tiadalah Muhammad itu melainkannya seorang Rasul. Sesungguhnya telah berlalu rasul-rasul sebelumnya. Adakah sekiranya Muhammad mati atau dirinya dibunuh, (patutkah) kalian berpaling tadah dengan menyelewengkan agamanya? Dan sesiapa yang berpaling tadah dengan menyelewengkan agamanya, maka dia tidak mendatangkan apa-apa mudarat terhadap Allah sedikit pun. Dan (sebaliknya) Allah akan memberikan balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan ni‘mat Islam yang tiada bandingannya itu).” (Surah Ali ‘Imran: 144) [Ibn Hisham, Sirah Nabawiyyah, jld. 2, ms. 656]

Setelah mendengar ucapan itu, mereka semua tercengang dan Umar RA jatuh terduduk kesedihan kerana kakinya sudah tidak dapat menanggung lagi jasadnya. Seolah-olah ayat yang dibacakan oleh Abu Bakar RA itu baharu sahaja diwahyukan.

Demikianlah kecintaan para sahabat terhadap Rasulullah SAW yang tiada tolok bandingnya. Begitu juga kecintaan Rasulullah SAW terhadap orang-orang yang beriman. Namun, Baginda tetap memilih kepada yang lebih dicintai, iaitu bertemu dengan Allah SWT di alam akhirat.

harakahdaily.

tanda nama: Peristiwa ، kewafatan ، Rasulullah ، sangat ، menyedihkan
Nama:
Email:
* komen:
* captcha: