Tinggalkanlah segala urusan dunia dan rutin biasa — kerana kini, Tasua dan Asyura telah tiba.
Dalam sumber-sumber agama, terdapat amalan-amalan sunat yang disebut khusus untuk hari kesembilan bulan Muharram / Tasua «تاسوعا» dan hari kesepuluhnya / Asyura «عاشورای», yang boleh membantu kita untuk berada di jalan Sayyid al-Shuhada (a.s). Antaranya adalah:
Ziarah kepada Imam Husain (a.s) adalah amalan sunat paling utama untuk hari Tasua dan Asyura. Ziarah kepada Imam (a.s) pada malam Asyura sangat besar ganjarannya. Sesiapa yang bermalam atau menghidupkan malam di haram Sayyid al-Shuhada (a.s) pada malam Asyura, Allah akan membangkitkannya bersama para syuhada dan di sisi Imam Husain (a.s).
Hari ke-9 dan ke-10 Muharram adalah hari dukacita bagi Ahlul Bait (a.s) dan seluruh penganut Syiah. Oleh itu, tidak wajar untuk menjalankan perniagaan atau urusan dunia pada hari-hari ini, khususnya pada hari Asyura. Pencinta Ahlul Bait (a.s) hendaklah sibuk dengan majlis-majlis azadari (berkabung) dan menghadiri majlis-majlis bacaan ratapan kesedihan/ berdukacita (rawdha «روضه»).
Solat 100 rakaat pada malam Asyura sangat digalakkan. Dalam setiap rakaat, selepas Surah al-Fatihah dibaca tiga kali Surah al-Ikhlas.
Selepas selesai solat, dibaca sebanyak 70 kali zikir berikut:
سُبْحَانَ اللَّهِ وَ الْحَمْدُ لِلَّهِ وَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَ اللَّهُ أَکْبَرُ وَ لاَ حَوْلَ وَ لاَ قُوَّهَ إِلاَّ بِاللَّهِ الْعَلِیِّ الْعَظِیمِ
Subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illallah, wallahu akbar, wa la hawla wa la quwwata illa billahil ‘Aliyyil ‘Azim.
Dalam riwayat lain, selepas zikir ini, dianjurkan juga untuk beristighfar.
Juga disarankan untuk solat empat rakaat di tengah malam Tasua, dengan membaca dalam setiap rakaat selepas al-Fatihah:
10 kali Ayat al-Kursi,
10 kali Surah al-Ikhlas,
10 kali Surah al-Falaq,
10 kali Surah al-Nas.
Setelah memberi salam, dibaca Surah al-Ikhlas sebanyak 100 kali.
Allamah Majlisi dalam Zad al-Ma’ad «زاد المعاد» menyatakan bahawa lebih baik untuk tidak berpuasa pada hari ke-9 dan 10 Muharram, kerana Bani Umayyah menjadikan hari-hari itu sebagai hari keberkatan dan kegembiraan atas pembunuhan Imam Husain (a.s). Dalam riwayat Ahlul Bait (a.s), terdapat banyak hadis yang mencela puasa pada hari Asyura secara khusus.
Menghidupkan malam Asyura (beribadah sepanjang malam) sangat dianjurkan dan disebutkan bahawa pahalanya seperti ibadah seluruh malaikat dan bersamaan dengan ibadah selama 70 tahun.
Membaca Ziarah Asyura pada hari ke-10 Muharram mempunyai ganjaran besar dan boleh dibaca dari dekat atau jauh, dengan menyampaikan salam dan takzim kepada Imam.
Pada hari Asyura, dianjurkan untuk membaca zikir ini sebanyak 1,000 kali:
اَللّهُمَّ الْعَنْ قَتَلَهَ الْحُسَینِ علیه السلام
"Allahumma al'an qatalata al-Husain (a.s)."
(Ya Allah, laknatilah pembunuh Imam Husain a.s!)
Membaca Surah al-Ikhlas sebanyak 1,000 kali pada hari Asyura juga dianjurkan. Imam Sadiq (a.s) «امام صادق(ع)» bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang membaca Surah al-Ikhlas sebanyak 1,000 kali pada hari Asyura, Allah Yang Maha Pengasih akan memandangnya dengan rahmat. Dan sesiapa yang dipandang Allah dengan rahmat, dia tidak akan diseksa oleh-Nya.”
Ziarah khusus hari Asyura juga telah disebut dalam riwayat dan disyorkan untuk dibaca pada hari itu.
4292452