IQNA

Ketika Seorang Penyair Rusia Terpikat dengan al-Quran

7:05 - December 23, 2025
Berita ID: 3107461
IQNA - Pengaruh al-Quran al-Karim tidak terhad kepada para penyair Arab dan Muslim sahaja, malah ramai tokoh Rusia turut mendapat ilham daripada ayat-ayatnya untuk tema puisi mereka, bahkan dalam banyak rangkap syair mereka meniru gaya dan susunannya.

Laporan IQNA, memetik Raseef; Pengaruh al-Quran al-Karim bukan sahaja terbatas kepada penyair Arab dan Muslim, tetapi turut meresap ke dalam karya ramai sasterawan Rusia yang menjadikan ayat-ayat al-Quran sebagai sumber ilham puisi mereka dan mencontohinya dalam banyak bait. Hal ini jelas kelihatan dalam karya penyair Rusia yang terkenal, Alexander Pushkin, yang dari sudut budaya, seni dan spiritual sangat dipengaruhi oleh dunia Timur Arab.

Makarem Al-Ghamri, dalam bukunya bertajuk “Pengaruh Arab dan Islam dalam Kesusasteraan Rusia”, menyatakan bahawa Alexander Pushkin (1799–1873M) berada di barisan teratas penyair Rusia yang mendapat inspirasi daripada al-Quran dan sirah Nabi Muhammad SAW. Kumpulan puisinya yang bertajuk “Tinjauan Ringkas terhadap al-Quran”, yang ditulis pada tahun 1824M, mempunyai kedudukan penting dalam kesusasteraan Rusia kerana ia diilhamkan daripada warisan spiritual dan Islam serta sirah Rasulullah SAW. Puisi-puisi ini menjadi bukti jelas tentang kemampuan nilai-nilai al-Quran untuk merentasi batas masa dan tempat serta meresap ke dalam jiwa individu yang tidak semestinya beriman kepada keagungan al-Quran.

Pengaruh Spiritual al-Quran terhadap Pushkin

Puisi-puisi ini mencerminkan peranan besar yang dimainkan oleh al-Quran dalam perkembangan spiritual Alexander Pushkin.

Pengaruh Surah ad-Duha terhadap Pushkin

Qasidah-qasidah dalam “Tinjauan Ringkas terhadap al-Quran” berbeza dari segi panjang dan wazan, namun selari dengan ayat-ayat al-Quran yang dijadikan rujukan oleh Pushkin dalam penghasilan puisinya. Nimat Abdulaziz Taha, dalam artikelnya bertajuk “Pengaruh Islam terhadap Sasterawan Rusia… Alexander Pushkin, Mikhail Lermontov, Leo Tolstoy dan Ivan Bunin”, menyatakan bahawa dalam sebahagian qasidah pertama, Pushkin meniru sumpah-sumpah al-Quran dalam beberapa bait, seperti ungkapan “Demi bintang”.

Abdulaziz Taha turut menjelaskan bahawa Pushkin mendapat inspirasi daripada Surah ad-Duha, khususnya daripada tema kegelisahan Nabi SAW ketika wahyu terhenti buat sementara waktu, satu tempoh yang belum pernah berlaku sebelumnya. Allah SWT berfirman dalam ayat 1 hingga 3 surah ini:
“Demi waktu dhuha (1), dan demi malam apabila ia sunyi-sepi (2), Tuhanmu tidak meninggalkanmu dan tidak pula membencimu (3).”

Menurut Al-Ghamri dalam bukunya yang disebutkan sebelum ini, karya “Tinjauan Ringkas terhadap al-Quran” merupakan gabungan puisi tematik dan subjektif. Dengan kata lain, apabila Pushkin menukilkan “nilai moral” al-Quran, beliau mengekstraknya daripada teks al-Quran untuk dihidupkan kembali melalui diri batinnya dan unsur-unsur artistiknya sendiri.

Bacaan al-Quran oleh Pushkin

Sekiranya Pushkin tidak mengenali terjemahan al-Quran dalam bahasa Perancis dan Rusia serta tafsirannya, beliau tidak mungkin mampu meniru ayat-ayat tersebut dalam puisinya. Ini kerana kisah-kisah para nabi, pengajaran dan ibrah dalam al-Quran telah mempengaruhi wacana falsafah dan akidah Pushkin, bahkan membentuk pandangan intelektualnya.

Menurut Al-Dirawi, Pushkin telah menelaah dengan teliti dua terjemahan al-Quran al-Karim: satu dalam bahasa Rusia oleh Mikhail Verovkin, dan satu lagi dalam bahasa Perancis oleh André du Ryer. Besar kemungkinan beliau juga mengenali karya “Diwan Timur” oleh penulis Jerman, Johann Wolfgang von Goethe, yang dalam nukilannya banyak merujuk kepada al-Quran, Mu‘allaqat Arab, qasidah penyair Muslim, syair-syair sufi, serta kisah Seribu Satu Malam, selain terjemahan karya-karya berbahasa Jerman mengenai sirah Nabi Muhammad SAW dan agama Islam—suatu pencapaian yang mendahului kebanyakan penulis Rusia.

Pushkin turut menukil daripada terjemahan Verovkin ayat-ayat daripada Surah al-Baqarah, al-Kahf, Maryam, Taha, al-Hajj, an-Nur, al-Ahzab, Muhammad, al-Fath, al-Qiyamah, ‘Abasa, at-Takwir, al-Fajr, al-Balad dan ad-Duha, serta meminjam kisah-kisah, nasihat bermatlamat dan pengajaran yang penuh hikmah daripadanya.

Malik Saqur, dalam kajiannya bertajuk “Pushkin dan al-Quran”, menyatakan bahawa Pushkin pertama kali membaca al-Quran ketika beliau berada dalam buangan di kampung Mikhailovskoye, dan perkara ini turut disebutkannya dalam puisinya yang bertajuk حفّاره (Penggali)”.

Ketika Seorang Penyair Rusia Terpikat dengan al-Quran

Ketika Seorang Penyair Rusia Terpikat dengan al-Quran

4322499

tanda nama: Penyair Rusia Al-Quran
captcha