IQNA

Tasu'a: Manifestasi Basirah dan Kesetiaan Menjelang 'Ashura

15:01 - July 05, 2025
Berita ID: 3106658
IQNA - Walaupun peristiwa Tasu’a merupakan sebuah peristiwa sejarah, namun tindakan dan keperibadian para pahlawan di hari itu merupakan penjelmaan nyata serta tafsiran praktikal terhadap makna-makna asas al-Quran al-Karim. Tasu’a adalah pentas pertembungan dua pandangan hidup yang berakar dari ayat-ayat Ilahi.

Senja hari kelapan Muharram di padang Karbala, langit seakan diliputi warna antara keraguan dan keyakinan. Dengan semakin ketatnya kepungan musuh, debu padang pasir seolah menyelubungi masa depan sejarah. Hari kesembilan — Tasu’a — bangkit dari kabus ini, sebuah hari yang sering kali tenggelam dalam bayang keagungan peristiwa ‘Ashura dan dikenali sebagai pendahulunya. Namun, apakah Tasu’a sekadar mukadimah tragik atau sebenarnya merupakan satu madrasah yang lengkap dan pelajaran tersendiri bagi seluruh umat manusia sepanjang zaman?

Persoalan utama di sini ialah bahawa pendekatan yang meremehkan makna Tasu’a menyebabkan kita kehilangan kefahaman mendalam terhadap mesej-mesej utamanya, iaitu: "kesetiaan di tengah krisis" dan "pilihan sedar berdasarkan basirah (pandangan rohani dan maknawi)."

Catatan ini bertujuan untuk melangkaui sekadar naratif sejarah dan menjawab persoalan: bagaimana kita boleh menafsirkan kembali mesej pengetahuan dan sosial Tasu’a sebagai satu model praktikal dalam dunia moden yang penuh dengan keraguan dan krisis identiti?

Akar-akar al-Quran dalam epik kesetiaan, basirah dan doa

Walaupun Tasu’a merupakan suatu peristiwa sejarah, ia sebenarnya adalah pentas yang menampilkan watak-watak yang menjadi tafsiran hidup terhadap makna-makna agung dalam al-Quran. Tasu’a adalah pentas pertembungan dua dunia pemikiran: satu berpaksikan wahyu Ilahi, dan satu lagi berteraskan kekuasaan jahiliah/syatani.

Kesetiaan terhadap janji (الوفاء بالعهد)

Di tengah-tengah peristiwa Tasu’a, terdapat kisah penawaran surat jaminan (aman) yang diberikan kepada Al-Abbas bin Ali (a.s) dan saudara-saudaranya. Penolakan tegas terhadap surat ini adalah penzahiran ayat suci:

وَٱلْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَـٰهَدُوا۟ ۖ وَٱلصَّـٰبِرِينَ
"...Dan mereka yang menepati janji apabila mereka berjanji..." (Qs, al-Baqarah: 177).


Ini bukanlah sekadar kesetiaan emosional, tetapi pengabdian terhadap ‘ahd al-alaastu «عهد الست»* — janji primordial dengan Imam dan hujjah zaman — suatu janji yang jauh lebih agung daripada keselamatan zahir dan pertimbangan puak atau kabilah/perkauman.

Basirah di tengah fitnah (البصیرة فی الفتنة)

Al-Quran sentiasa mengajak orang beriman untuk berbasirah/sedar dan tidak mengikuti secara membuta tuli. Tasu’a adalah hari penyaringan dan pemurnian basirah. Dengan menolak surat aman, Al-Abbas (a.s) (saudara kepada Al-Husain lain Ibu) memperlihatkan bahawa "jaminan sebenar" terletak di sisi kebenaran, bukan di bawah naungan kekuasaan zalim. Ini adalah tafsiran praktikal terhadap ayat:

قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي... (یوسف: ۱۰۸)
"Katakanlah (wahai Muhammad): Inilah jalanku, aku menyeru kepada Allah dengan basirah, aku dan mereka yang mengikutiku..." (Qs, Yusuf: 108).

Bersandar pada solat dan sabar (الاستعانة بالصلاة و الصبر)

Puncak maknawi Tasu’a terjelma dalam permintaan Imam al-Husain (a.s) kepada musuh untuk menangguhkan pertempuran satu malam, demi mendirikan solat, berdoa, dan membaca al-Quran. Ketika musuh sedang bersiap untuk berperang, Imam mengubah khemahnya menjadi pusat rohani. Ini adalah tafsiran hidup terhadap ayat suci:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ... (بقره:۱۵۳)
"Wahai orang-orang beriman! Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat..." (Qs, al-Baqarah: 153).


Imam (a.s) mengajarkan kepada umat manusia bahawa dalam krisis paling getir, senjata paling berkuasa adalah hubungan dengan sumber spiritual yang tidak pernah putus.

Analisis dan Pemikiran: Tasu’a sebagai Hari Pilihan Hakiki

Tasu’a bukan semata-mata peristiwa sejarah, tetapi satu "detik eksistensial" — saat pemurnian terakhir dan penyempurnaan hujjah Ilahi.

Dari sudut sosial-politik:

Penolakan surat jaminan keamanan diri yang ditawarkan oleh pihak musuh Imam Husein a.s untuk diri Abbas oleh Abbas bin Ali (a.s) sendiri adalah satu kenyataan politik yang sangat kuat. Ia mencabar logik “keamanan sebagai syarat ikut kebatilan” yang menjadi asas sistem pemerintahan diktator. Beliau mengisytiharkan bahawa kemuliaan dan keselamatan sebenar hanya wujud di bawah naungan kebenaran, dan selainnya hanyalah ilusi yang menipu. Ini adalah pelajaran untuk semua pencinta kebebasan di dunia dalam menghadapi rayuan dan ugutan kuasa zalim.

Dari sudut rohani dan irfani:

Permintaan untuk penangguhan satu malam bukanlah taktik ketenteraan, tetapi merupakan "perjalanan spiritual yang padat." Imam dan para sahabatnya mempersiapkan seluruh diri mereka untuk bertemu Tuhan (liqa' Allah) «لقاءالله». Tasu’a mengajarkan kita bahawa persiapan untuk pengorbanan terbesar tidak dilakukan dengan senjata, tetapi dengan penyucian jiwa dan kedekatan kepada Allah. Malam itu adalah malam al-Qadr «لیلة اقدر» bagi para musafir Karbala.

Menjawab keraguan moden:

Sebahagian orang mungkin bertanya dengan pandangan pragmatis, “Mengapa Imam memilih jalan yang membawa kepada kesyahidan yang pasti?” Jawapan kepada persoalan ini terletak pada Tasu’a. Pilihan yang dibuat pada hari itu tidak berdasarkan logik untung-rugi duniawi, tetapi berasaskan logik penunaian tanggungjawab dan penjagaan prinsip. Ia adalah satu pilihan rasional, yang berteraskan akal yang tinggi dan mendalam, yang melihat keabadian sebagai matlamat, bukan kenikmatan atau keselamatan dunia yang sementara.

Kesimpulan: Tasu’a dalam Cermin Zaman Kita

Tasu’a bukan sekadar hari sebelum ‘Ashura. Ia adalah hari "basirah" dan "kesetiaan." Ia mengajarkan kita bahawa di tengah-tengah fitnah dan tawaran keselamatan yang kelihatan manis, bagaimana kita dapat memilih jalan kebenaran dengan berpandukan cahaya Ilahi dan berpegang teguh pada janji suci. Tasu’a menunjukkan bahawa kekuatan tertinggi seorang insan terletak pada saat ia memilih kebenaran atas keselamatan palsu.

Persoalan utama yang dikemukakan: bagaimana mesej Tasu’a boleh ditafsirkan dalam dunia moden? Jawapannya ialah: setiap daripada kita mengalami "Tasu’a" dalam kehidupan peribadi dan sosial kita. Saat-saat kita mesti memilih antara prinsip dan kepentingan, antara hak dan batil, antara berpegang pada janji Ilahi atau menerima “surat jaminan aman” syaitan.

Marilah kita akhiri catatan ini dengan satu seruan kontemplatif:
Dengan mengambil inspirasi daripada Al-Abbas, pembawa panji yang berbasirah di Karbala, marilah kita dalam saat-saat genting kehidupan, mencari keamanan hakiki di sisi kebenaran. Dengan pertolongan solat dan sabar, bersedialah untuk memikul tanggungjawab besar sebagai insan dan hamba Ilahi.

*Janji manusia yang awal sekali yang dituntut oleh Tuhan; 

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنْ بَنِي آدَمَ مِنْ ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ ۖ 

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka, lalu Dia mengambil kesaksian terhadap diri mereka (dengan berfirman): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" «أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ» Mereka menjawab: "Bahkan, kami bersaksi." (Kami lakukan yang demikian) supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat: "Sesungguhnya kami lalai terhadap perkara ini." Qs, al-A'raaf:172).

4292598

captcha