Laporan IQNA; "Bandar Muharram" telah didirikan untuk tahun ketiga berturut-turut di perkarangan Dataran Azadi, kota metropolitan Tehran, sebagai simbol besar dan menakjubkan "Bahtera Penyelamat". Meskipun cuaca pada tahun ini jauh lebih panas berbanding tahun lalu, namun kepanasan yang melampau itu tidak menghalang kehadiran luas penduduk ibu kota, malah sambutan yang diberikan jauh lebih besar daripada tahun sebelumnya.
Tahun ini, laluan masuk ke "Bandar Muharram" berbeza dari tahun-tahun sebelumnya dengan pembinaan pintu-pintu kawalan masuk serta pemeriksaan fizikal sebelum kemasukan. Pemeriksaan ini, sejajar dengan keperluan keselamatan, memberikan rasa aman yang lebih besar dan tidak menimbulkan sebarang reaksi negatif di kalangan pengunjung; malah semua yang hadir berbaris dengan tenang dan bekerjasama sepenuhnya dengan penganjur.
"Bandar Muharram" dikenali ramai kerana simbol "Bahtera Penyelamat" (Safinah al-Najah - «سفینه النجاه» ) yang diilhamkan dari hadis terkenal:
«اِنَّ الْحُسین مِصباحُ الْهُدی وَ سَفینَهُ الْنِّجاه»
"Sesungguhnya al-Husain adalah pelita petunjuk dan bahtera penyelamat."
Namun, tahun ini ayat suci Al-Quran yang berbunyi:
وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ
"Dan janganlah engkau mengira bahawa orang-orang yang terbunuh di jalan Allah itu mati; bahkan mereka hidup di sisi Tuhan mereka dan diberi rezeki." (Qs, Aali Imran;169).
Telah menjadi lambang utama dalam "Bandar Muharram", terutamanya di samping gambar para syuhada akibat serangan rejim Zionis terhadap negara Jumhuriyah Islamiyah Iran.
Suasana duka menyelubungi kawasan dengan suara merdu ratapan dan takziyah. Para pengunjung, dalam keadaan tenang dan pilu, menyaksikan pelbagai persembahan takziyah tradisional dari seluruh pelusuk negara. Tempat duduk yang disediakan agak terhad berbanding jumlah pengunjung, menyebabkan ramai yang berdiri atau duduk di atas platform untuk turut serta dalam majlis.
Terdapat juga gerai khas yang didedikasikan untuk kanak-kanak syahid akibat serangan rejim Zionis, memaparkan gambar-gambar mereka di samping replika tadika yang telah diserang. Gambar-gambar ini menggambarkan kekejaman pembunuhan kanak-kanak secara jelas, diiringi dengan ratapan mendalam yang menyayat hati para pengunjung.
Seperti tahun lalu, laluan yang menyerupai kawasan "antara dua Haram" (antara makam Imam Husain dan Abul Fadhl Abbas di Karbala) turut dibina. Laluan ini dihiasi dengan gambar-gambar para syuhada muqawamah dan syuhada dalam perang 12 hari baru-baru ini.
Setelah melalui laluan ini, para pengunjung akan sampai ke bahtera besar penyelamat. Bahtera ini dihiasi dengan layar-layar yang membawa nama-nama agung - di samping nama 14 Maksum (a.s), terdapat juga layar-layar dengan nama pembimbing seperti "Ya Zainab (sa)" dan "Ya Abul Fadhl (as)" «یا زینب(س)» و «یا ابوالفضل(ع)» yang kesemuanya menjadi penunjuk arah ke jalan kebenaran.
4297492