IQNA

Pintu Masjid Besar Al-Omari di Gaza runtuh akibat hujan

9:01 - December 15, 2025
Berita ID: 3107418
IQNA - Pintu Masjid Besar Al-Omari di Gaza yang dibom Israel, runtuh akibat hujan.

Laporan IQNA, memetik Russia Al-Youm «روسیا الیوم»; Salah satu pintu Masjid Besar Al-Omari «مسجد العمری» di bandar Gaza telah runtuh akibat hujan lebat.

Pada pagi 8 Disember 2024, rejim Zionis telah mengebom Masjid Al-Omari, iaitu masjid ketiga terbesar di Palestin selepas Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis «مسجدالاقصی فی قدس الشریف » dan Masjid Ahmad Pasha Al-Jazzar «مسجد احمد پاشا الجزار» di Acre. Masjid ini dianggap sebagai salah satu tempat ibadat tertua di dunia.

Masjid Besar Al-Omari merupakan masjid tertua di Gaza. Terletak di tengah-tengah bandar lama dan berhampiran pasar rakyat, masjid ini meliputi keluasan kira-kira 1,600 meter persegi, termasuk 410 meter persegi ruang solat dan 1,190 meter persegi halaman besarnya yang suatu ketika dahulu mampu menampung ribuan jemaah.

Masjid ini berdiri di atas 38 tiang marmar yang kukuh, mencerminkan gaya seni bina purbanya dan menjadikannya sebuah karya agung seni bina yang diwarisi dari generasi ke generasi.

Masjid ini dinamakan Masjid Omari sebagai penghormatan kepada Khalifah umat Islam, Umar bin Al-Khattab. Ia juga dikenali sebagai Masjid Jamek kerana merupakan masjid terbesar di Gaza. Sejarah masjid ini bermula sejak sebelum era Masihi, ketika tapaknya merupakan sebuah kuil purba, sebelum ditukarkan oleh pihak Byzantine menjadi sebuah gereja pada abad kelima Masihi. Selepas pembukaan wilayah Islam pada abad ketujuh, umat Islam membinanya semula sebagai masjid, sehinggalah menaranya runtuh akibat gempa bumi pada tahun 1033 Masihi. Pada tahun 1149, tentera Salib menukarkan masjid ini kembali menjadi gereja, namun Dinasti Ayyubiyah berjaya mengambilnya semula selepas Perang Hattin pada tahun 1187 dan membinanya semula sebagai masjid.

Pada abad ke-13, masjid ini dibaik pulih oleh Dinasti Mamluk, sebelum dimusnahkan oleh serangan Mongol pada tahun 1260. Walau bagaimanapun, ia tidak lama kemudian berjaya dirampas kembali dan dibina semula oleh umat Islam.

Masjid ini sekali lagi musnah akibat gempa bumi yang melanda kawasan tersebut pada penghujung abad ke-13.

Pada abad ke-15, kerajaan Uthmaniyyah membaik pulih masjid ini selepas gempa bumi, namun semasa Perang Dunia Pertama, ia kembali mengalami kerosakan akibat pengeboman oleh Britain.

Pada tahun 1925, Majlis Tertinggi Islam telah memulihkan masjid ini dan menjadikannya sebagai mercu tanda penting dalam kehidupan masyarakat Gaza, sehinggalah ia dimusnahkan semula akibat serangan udara terkini Israel.

4322704

captcha