IQNA

Surah-surah Al-Quran (87)

Surah Al-Aala; Pengetahuan Allah yang sama tentang perkara nyata dan tersembunyi

19:58 - June 21, 2023
Berita ID: 3102749
TEHRAN (IQNA) – Allah mengetahui segala persoalan dan mempunyai ilmu yang sempurna dan tetap, baik tentang isu yang jelas dan nampak ataupun tentang isu yang tersembunyi dan tidak nampak.

Surah ke-87 dalam Al-Quran disebut «اعلی» "Aala". Surah dengan 19 ayat ini diletakkan dalam juzuk ke-30 Al-Quran. «الاعلی» Al-Aala, tergolong surah Makiyah, adalah wahyu ke-8 yang diturunkan kepada baginda Rasulullah Muhammad (SAW).

Surah ini dinamakan «اعلی» kerana perkataan ini muncul pada ayat pertama. «اعلی» bermaksud lebih tinggi, mengatasi segala-galanya, iaitu salah satu dari sifat-sifat Agung Allah.

سَبِّحِ ٱسْمَ رَبِّكَ ٱلْأَعْلَى
"Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi (dari segala sifat-sifat kekurangan)". (Qs, Al-A'laa 87:1).

Ayat-ayat pembukaan Surah ini menyeru Nabi (SAW) untuk memuji dan menyanjung Tuhan dan kemudian menyenaraikan tujuh sifat Agung Tuhan. Kemudian terus bercakap tentang orang-orang mukmin yang merendah hati (مؤمن خاشع) dan orang-orang kafir yang fasik (کافر شقی) dan punca-punca kebahagiaan dan kesengsaraan bagi kedua-dua golongan ini.

Tema utama Surah Al-Aala ialah tauhid dan penekanan kepada kedudukan tertinggi zat Allah dan juga janji-janji Allah terhadap Nabi (SAW). 

Surah ini mempunyai dua bahagian; Bahagian pertama adalah bercakap dengan Nabi (SAW) dan memberinya arahan untuk memuji Tuhan dengan menyebut tujuh sifat Tuhan yang agung.

Tujuh sifat ini, yang disebut dalam ayat pertama hingga kelima surah, ialah: 

سَبِّحِ ٱسْمَ رَبِّكَ ٱلْأَعْلَى ١ ٱلَّذِى خَلَقَ فَسَوَّىٰ ٢ وَٱلَّذِى قَدَّرَ فَهَدَىٰ ٣ وَٱلَّذِىٓ أَخْرَجَ ٱلْمَرْعَىٰ ٤ فَجَعَلَهُۥ غُثَآءً أَحْوَىٰ ٥
"Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi (dari segala sifat-sifat kekurangan) - Yang telah menciptakan (sekalian makhlukNya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya - Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhlukNya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya) - Dan Yang telah mengeluarkan tumbuh-tumbuhan untuk binatang-binatang ternak - Kemudian Ia menjadikan (tumbuh-tumbuhan yang menghijau) itu kering - (berubah warnanya) kehitam-hitaman". (Qs, Al-A'laa 87: 1- 5).

Selepas mencipta makhluk, Allah telah meletakkan mereka di atas jalan kemajuan dan kesempurnaan. Kemudian memberi contoh, dengan menyebutkan tumbuh-tumbuhan dari tanah untuk dimakan binatang dan menjadi kering dan hitam, dan dia juga menyampaikan berita gembira kepada NabiNya (SAW) bahawa Allah akan mengajarkan Al-Quran dengan cara yang NabiNya tidak akan lupa, dan menyediakan bagi NabiNya cara mudah untuk menyebarkan agamaNya.

Surah ini membahagikan manusia kepada dua kumpulan yang bertentangan dengan ajakan Nabi (SAW): kumpulan yang datang kepada Nabi (SAW) kerana takut kepada Allah dan satu kumpulan yang menjauhi Nabi (SAW) yang nasib dan azabnya adalah api yang besar, di dalamnya mereka masuk dan tidak ada jalan untuk keluar.

Dalam surah ini ditegaskan bahawa yang terbuka dan yang tersembunyi adalah sama bagi Allah; Kerana segala yang ada, sama ada yang kelihatan atau yang tidak kelihatan, telah diciptakan oleh Allah: 

إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ إِنَّهُ يَعْلَمُ الْجَهْرَ وَمَا يَخْفَى
"Kecuali apa yang dikehendaki Allah engkau lupakan; sesungguhnya Ia mengetahui (segala keadaan yang patut berlaku), dan yang tersembunyi". (Qs, Al-A'laa 87:7).

Ayat ini membuktikan ilmu Allah dan menjauhkan kejahilan dan ketidaksempurnaan dari Allah SWT.

captcha