IQNA

Pencemaran Kesucian al-Quran oleh Calon Pilihan Raya Amerika Syarikat

7:50 - August 28, 2025
Berita ID: 3106927
IQNA - Seorang calon pilihan raya Kongres Amerika Syarikat telah menghina kitab suci umat Islam dengan membakarnya, dalam usaha menarik perhatian kumpulan sayap kanan ekstrem di negara itu.

Laporan IQNA, memetik Al-Jazeera 《الجزیره》؛ Valentina Gomez, calon Republikan dari Texas bagi pilihan raya Kongres AS, memuat naik sebuah video di platform X yang memperlihatkan dirinya membakar al-Quran dalam satu tindakan penuh kebencian.

Ketika mencemarkan kesucian al-Quran, Gomez berjanji bahawa sekiranya beliau memenangi kerusi Kongres, dia akan menamatkan kehadiran Islam di Texas.

Calon anti-Islam ini, yang pernah menyokong bekas Presiden Donald Trump dalam aktiviti politiknya, turut mendakwa bahawa umat Islam berusaha menakluk negara-negara Kristian.

Dalam video berunsur kebencian itu, Gomez meminta para penonton untuk membantunya memenangi pilihan raya Kongres.

Tindakan provokatif ahli politik sayap kanan ekstrem ini dikecam hebat oleh para pemimpin politik, kumpulan agama, serta pengguna media sosial. Perbuatan tersebut sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap peningkatan kebencian agama dan fanatik menjelang pilihan raya pertengahan penggal Kongres AS pada tahun 2026.

Sebelum ini, Gomez juga pernah melakukan tindakan-tindakan ekstrem demi mencari publisiti. Pada Disember 2024, Dia melakukan aksi provokatif di New York dengan melepaskan tembakan ke arah patung yang dijadikan simbol pendatang, serta menyeru agar pendatang yang dituduh melakukan jenayah kekerasan dihukum mati secara terbuka. Video tersebut kemudian dipadamkan dan akaun Instagram Gomez ditutup.

Walaupun dengan segala tindakan kontroversi itu, Gomez tewas dalam pilihan raya terdahulu, hanya memperoleh 7.4% undi dalam persaingan dalaman Republikan dan menduduki tempat keenam.

Pada tahun 2024, dia turut bertanding untuk jawatan Setiausaha Negeri Missouri, dan sejak itu cuba mendapatkan perhatian umum melalui tindakan-tindakan ekstrem berunsur kebencian.

4301813

captcha