IQNA

Inovasi Seni Seniman Palestin: Reka Bentuk Ayat dan Puisi Menggunakan Jerami Gandum

10:13 - October 22, 2025
Berita ID: 3107163
IQNA - Palestin bukan hanya tanah kelahiran Mahmoud Darwish, penyair tersohor yang pernah menulis puisi tentang gandum dan tangkainya. Tanah ini juga menjadi rumah kepada individu lain yang memanfaatkan hasil bumi Palestin untuk mencipta karya seni yang unik, seperti Hossam Adwan, seorang seniman dari Semenanjung Gaza yang mengubah tangkai dan jerami gandum menjadi karya seni menakjubkan.

Laporan IQNA, memetik Anadolu; Mahmoud Darwish «محمود درویش», penyair terkenal dari kampung al-Birwa «البروة» di utara Palestin, pernah menulis: “Kami mencintai bunga ros, tetapi lebih mencintai gandum. Kami suka haruman bunga ros, tetapi tangkai gandum lebih suci. Aku genggam tangkai gandum seakan memeluk sebilah pisau.”

Berbeza dengan Darwish yang menulis puisi tentang gandum, Hossam Adwanpula "menenun" lukisan menggunakan gandum. Dalam karya-karyanya, tangkai dan bulir gandum bersinar indah dan menggambarkan perjuangan serta aspirasi seniman dalam bentuk seni yang lain.

Di rumahnya di Rafah, selatan Semenanjung Gaza, Adwan menggunakan salah satu bilik sebagai bengkel seni yang dindingnya dipenuhi hasil karya ciptaannya.

Di atas sebuah meja kecil, dia mula menyusun tangkai gandum ke dalam huruf-huruf ayat al-Quran yang dilakar dengan tangan di atas sekeping kertas putih. Dengan cepat, karya ini berubah menjadi sebuah lukisan emas yang indah.

Pada pandangan pertama, lukisan ini kelihatan seperti dihasilkan oleh mesin moden, tetapi apabila diperhatikan lebih dekat, jelas kelihatan kemahiran tangan sang seniman dalam menyusun dan mengatur tangkai gandum dengan sangat rapi dan cantik.

Hossam meluangkan berjam-jam setiap hari untuk berpindah dari satu lukisan ke lukisan lain yang disusunnya menggunakan jerami gandum. Beberapa karya seninya memaparkan ayat-ayat al-Quran dengan kaligrafi Arab, bentuk alam semula jadi dan wajah-wajah tokoh terkenal.

Seniman Palestin ini percaya bahawa seni ini adalah sesuatu yang baharu dan semua orang mengimpikannya kerana ia menonjolkan aspek kreativiti dan keindahan. Beliau juga menyatakan bahawa seni ini adalah seni yang jarang ditemui dan sukar untuk mempelajarinya dengan sempurna.

Untuk memahami kaedah beliau, Hossam akan melakar apa yang ada dalam fikirannya di atas sekeping kertas dengan pensel. Kemudian dia akan mengambil tangkai dan bulir gandum yang telah direndam dengan air untuk melembutkannya, dan meletakkannya di atas lakaran tersebut. Dengan menggunakan gunting dan pisau kecil yang tajam, dia akan memotong dan membentuknya dengan teliti. Selepas itu, dia akan menyapu gam di atas kertas dan melekatkan jerami gandum. Kadang-kala, dia juga akan mewarnakannya mengikut citarasa.

Beliau berkata: “Setiap tangkai gandum yang aku kutip dari sempadan Gaza melambangkan perjuanganku,” lebih-lebih lagi kerana “aku hanya mendapat jerami gandum pada hari para petani menuai gandum di sempadan wilayah Palestin yang diduduki, iaitu pada 30 Mei setiap tahun.”

Selain menjadikan seni ini sebagai hobi untuk melepaskan kreativiti dan tenaga dalam keadaan sekatan dan peperangan yang berterusan, Hossam Adwan juga menjadikannya sebagai sumber rezeki bagi menyara kehidupan keluarganya yang terdiri daripada lima orang di Rafah.

4311547

captcha