
Laporan IQNA; Majlis penutupan tersebut diadakan pada pagi Isnin, 20 Oktober, bertempat di Dewan Fajr, Sanandaj.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Republik Islam Iran, diikuti dengan tilawah ayat-ayat daripada Surah al-Mu’minun «مؤمنون» oleh Hussein Fardi «حسین فردی» qari antarabangsa al-Quran.
Majlis yang dikendalikan oleh Mehdi Safari «مهدی صفری » turut menampilkan ucapan daripada Hujjat al-Islam wal-Muslimin Muhammad Karvand «حجتالاسلام والمسلمین محمد کاروند», Pengarah Jabatan Wakaf dan Hal Ehwal Kebajikan Wilayah Kurdistan serta Setiausaha pertandingan kali ini. Beliau mengenang para syuhada Kurdistan, khususnya para hafiz dan qari yang gugur syahid, termasuk Sardar Syahid Hossein Salami «سردار شهید حسین سلامی », hafiz keseluruhan al-Quran. Karvand juga menyampaikan penghargaan kepada Mamosta Rostami, Imam Jumaat Sanandaj dan ahli Majlis Khobregan Rahbari (Majlis Pakar Kepimpinan) atas sokongan beliau terhadap majlis ini.
Beliau menegaskan bahawa pengorbanan para syuhada Kurdistan sepanjang lapan tahun perang pertahanan suci perlu sentiasa dikenang, kerana jika hari ini ada insan yang menghafal al-Quran, maka para syuhada itulah penjaga sebenar kitab Allah dengan darah dan pengorbanan mereka.
Setiausaha pertandingan turut menyatakan bahawa bahagian pertama pertandingan, yang merangkumi bacaan doa, senandung nada beramai-ramai al-Quran, azan dan nasyid berpasukan, telah selesai selepas dua hari persaingan sengit.
Beliau menambah bahawa mulai 19 hingga 27 Oktober bersamaan 5 Aban mengikut kalendar Iran, pertandingan akan diteruskan dengan bahagian qiraat tahqiq, tartil dan hafazan al-Quran, yang dijangka berlangsung dengan lebih meriah dan bersemangat.
Karvand menekankan bahawa membaca dan menghafal al-Quran membawa pahala besar, namun keberkesanan al-Quran dalam kehidupan setiap Muslim hanya akan terzahir apabila mereka beramal dengan ajarannya.
Dalam ucapannya, Imam Jumaat Sanandaj, Mamosta Rostami, berkata:
"Kita harus berbicara tentang cahaya al-Quran – cahaya yang pertama kali bersinar di hati Rasulullah SAW. Itulah mukjizat terbesar Ilahi. Jika api menjadi sejuk bagi Nabi Ibrahim a.s. atas perintah Allah, atau tongkat Nabi Musa a.s. membelah Sungai Nil dengan izin-Nya, maka semua itu adalah mukjizat yang terhad kepada masa dan tempat tertentu. Namun nur al-Quran tetap segar dan hidup walaupun telah berlalu 14 abad."
Majlis turut diserikan dengan persembahan Hujjat al-Islam Shahab Amanat-chi «حجتالاسلام شهاب امانتچی » dari Qom, yang meraih tempat pertama dalam kategori bacaan doa bagi pertandingan kali ini.
Akhir majlis ditutup dengan pengumuman keputusan dan penyampaian anugerah kepada para pemenang.
4311765