IQNA

Hujjatul Islam Imani-Pour: Yayasan Antarabangsa al-Quran Akan Ditubuhkan

17:02 - November 04, 2025
Berita ID: 3107241
IQNA - Ketua Organisasi Kebudayaan dan Perhubungan Islam Iran, Hujjatul Islam wal Muslimin Muhammad Mahdi Imani-Pour «حجت‌الاسلام والمسلمین محمدمهدی ایمانی‌پور», mengumumkan bahawa Yayasan Antarabangsa al-Quran akan ditubuhkan bagi memperluas aktiviti Qurani di peringkat global.

 

Laporan IQNA, memetik jabatan perhubungan awam Organisasi Kebudayaan dan Perhubungan Islam; Pengumuman itu dibuat dalam Mesyuarat Perbincangan Ketiga Penyelarasan Pelaksanaan Solat di bawah Kementerian Kebudayaan dan Irsyad Islam, yang dihoskan oleh organisasi tersebut.

Dalam ucapannya, Hujjatul Islam Imani-Pour menegaskan kepentingan memasyarakatkan ibadah solat, sambil menyatakan:

“Untuk menjayakan misi besar ini, kita semua mesti bangkit dan berperanan aktif. Antara hak asas solat ialah ia didirikan secara berjemaah. Marilah kita memuliakan solat, agar kita juga dimuliakan di akhirat kelak. Langkah pertama dalam memuliakan solat ialah mendirikannya secara berjemaah dan pada waktunya.”

Beliau turut merujuk kepada sejarah penubuhan dan peranan global organisasi tersebut, sambil menjelaskan bahawa dengan segala kemampuan yang ada, mereka berusaha menampilkan imej sebenar dan positif Republik Islam Iran di peringkat antarabangsa melalui pelbagai program budaya, ilmiah dan keagamaan.

“Dalam rangka memperkukuh aktiviti Qurani di peringkat global, kami akan menubuhkan Yayasan Antarabangsa al-Quran dengan pimpinan Hamed Shakernejad «حامد شاکرنژاد», qari antarabangsa dan duta al-Quran negara. Yayasan ini akan mempunyai skop tugas yang luas meliputi pelbagai bidang aktiviti berkaitan al-Quran,” tambah beliau.

Solat sebagai Teras Pemerintahan Islam

Dalam sesi seterusnya, Seyyed Ahmad Zarehani «سیداحمد زرهانی», Timbalan Ketua Setiausaha Markaz Penyelaras Solat Iran, menegaskan bahawa ciri terpenting pemerintahan Islam ialah penegakan solat (iqamah al-salah) «اقامة الصلاة».

Beliau berkata:

“Pimpinan Tertinggi Revolusi Islam menegaskan bahawa penegakan solat merupakan buah daripada pemerintahan orang-orang salih. Sekiranya kita berjaya membina infrastruktur fizikal bagi tamadun Islam moden, tetapi lemah dalam perisian rohaninya — iaitu budaya tauhid — maka kita akan menghadapi kekurangan dan kegagalan.”

Zarehani turut menyebut bahawa Organisasi Kebudayaan dan Perhubungan Islam merupakan otak pemikir peradaban Islam di luar negara, dan bahawa para atase budaya Iran di seluruh dunia memainkan peranan memperkenalkan wajah sebenar sistem Islam dengan cara yang para ahli politik atau perancang dasar mungkin tidak mampu lakukan.

Beliau menambah:

“Antara langkah bermanfaat yang boleh kita ambil ialah menterjemah pelbagai karya tentang solat yang telah diterbitkan di Iran. Dengan kerjasama Organisasi Kebudayaan dan Perhubungan Islam, karya-karya ini boleh diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dunia dan disebarkan kepada masyarakat antarabangsa.”

Menurut beliau, hasil usaha berterusan Hujjatul Islam Qara’ati «حجت‌الاسلام قرائتی», Ketua Markaz Penyelaras Solat Iran, lebih daripada 500 buah buku tentang solat telah diterbitkan setakat ini, dan adalah penting agar khazanah ilmu ini dipersembahkan ke seluruh dunia sebagai literatur dakwah dan pendidikan tauhid.

4314326

captcha