
Laporan IQNA; Michel Kaddi — seorang pemikir, penulis dan sasterawan Kristian dari Lubnan — dalam sebahagian bukunya yang berjudul “Zahra (a.s.), Teladan Unggul Para Wanita Sastera”, menyifatkan Hazrat Fatimah (a.s.) sebagai manifestasi sempurna segala keutamaan dan menulis:
Dengan kelahiran Zahra (a.s.), budaya patriarki dan amalan menanam anak perempuan hidup-hidup telah berakhir. Kebangkitan Zahra (a.s.) demi membebaskan wanita daripada kezaliman telah membawa kepada kebebasan wanita. Wanita Arab mengenali sifat-sifat luhur seperti kesabaran, keberanian, keteguhan, ilmu, ketakwaan, keutamaan dan akhlak mulia melalui Zahra (a.s.). Baginda berjaya meletakkan wanita setaraf dengan lelaki dalam kedudukan kemanusiaan dan kekuasaannya.
Hazrat Fatimah (a.s.) dengan keperibadian wanitanya yang agung tidak menerima kezaliman dan kehinaan. Sebagai gantinya, baginda menerima tanggungjawab, beban berat risalah Ilahi dan hukum Islam, serta menzahirkan tonggak iman dan kemuliaan wanita.
Raihanat ar-Rasul (s.a.w.) ریحانة الرسول(ص) dan al-Batul «البتول» ialah insan yang malaikat-malaikat rahmat Ilahi turun ke bumi untuk berbicara dengannya. Oleh sebab itu, baginda digelar Umm Abiha «امابیها», yakni “ibu kepada ayahnya”, sebelum beliau a.s. menjadi ibu kepada bintang-bintang langit Imamah. Daripada bagindalah bermulanya zuriat Rasulullah SAW, dan baginda merupakan medan pertahanan agama Islam serta politik kebenaran.
Oleh itu, tidaklah secara kebetulan bahawa Rasulullah (s.a.w.) menamakan Fatimah «فاطمه» sebagai Umm Abiha, iaitu ibu kepada ayahnya. Dan ayat-ayat al-Quran ini menafikan sebarang ucapan Rasulullah (s.a.w.) sebagai sesuatu yang bersifat kebetulan:
مَا ضَلَّ صَاحِبُكُمْ وَمَا غَوَى
“Sahabatmu tidak sesat dan tidak pula keliru.
وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى
Dan dia tidak berkata menurut hawa nafsunya.إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى
Ucapannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan.”
(Qs, an-Najm: 2–4).
Dalam kerangka ini, Zahra menjadi teladan bagi wanita dan lelaki, serta wanita pertama yang menjadi pembimbing dan pendidik; sebagaimana kami menganggapnya sebagai wanita sasterawan dan orator pertama.
Hazrat al-Batul mengajar wanita agar mempertahankan kesucian dan maruah diri, serta menjauhkan mereka daripada terjerumus ke dalam nafsu kebejatan dan perhiasan diri yang berlebihan yang membawa kepada keruntuhan dan kemerosotan akhlak. Sifat-sifat tercela ini bukanlah ciri wanita Arab. Zahra (a.s.) memandang hijab sebagai pedang yang menghalang kezaliman dan kejahatan.
Dalam pandangan baginda, hijab memberikan wanita kemerdekaan dan kemuliaan batin. Mungkin inilah juga sebab para biarawati di biara-biara Kristian menutup rambut mereka. Hijab bermakna kesucian, perlindungan, komitmen terhadap prinsip-prinsip akhlak, kebersihan jiwa dan petunjuk.
Tidak menghairankan jika dikatakan bahawa pada hari ini, wanita Muslim — berkat kedudukan dan keagungan Sayyidah Fatimah az-Zahra (a.s.) «سیدة فاطمه الزهراء سلام الله علیها» — menjadi pelopor akhlak di seluruh dunia.
Apabila risalah kenabian diturunkan kepada Rasulullah yang Agung (s.a.w.), manifestasinya juga tampak pada lelaki dan wanita beriman. Dalam kalangan lelaki, Imam Ali bin Abi Talib (a.s.) membawa al-Quran dalam hati, roh dan akalnya; dan dalam kalangan wanita, Fatimah az-Zahra (a.s.).
Melalui Ali (a.s.), kekuatan pemahaman dan pengertian mencapai kesempurnaan dengan kekuasaan Allah; dan melalui Zahra (a.s.), risalah ini mencapai darjat tertinggi, sehingga dapat dikatakan tanpa ragu bahawa Hazrat Fathimah azZahra a.s. adalah satu mukjizat kenabian Baginda Rasulillah SAW..
Jika Imam Ali (a.s.) adalah mukjizat Rasulullah, pelita petunjuk Islam, guru al-Quran al-Karim yang menjaganya dan beriman kepadanya, maka Fatimah az-Zahra (a.s.) adalah saksi terbaik terhadap hakikat ini. Jabir bin Abdullah al-Ansari meriwayatkan dalam satu hadis qudsi daripada Rasulullah (s.a.w.) bahawa Allah berfirman dalam hadith Qudsi yang bermaksud: “Wahai Ahmad, jika bukan kerana Ali, Aku tidak akan menciptakanmu; dan jika bukan kerana Fatimah, Aku tidak akan menciptakan kamu berdua...”
Hakikatnya, wanita ini mencapai tahap kesempurnaan dan keagungan sehingga baginda memahami kedudukan para malaikat terakhir, para pemikul ‘Arasy Ilahi. Zahra adalah kemegahan risalah langit, sumber ibrah dan pemikiran halus serta kebenaran yang nyata. Dengan begitu mudah, baginda menuju ke puncak kemanusiaan sehingga menjadi sebuah mazhab luhur dalam agama dan dunia, serta intisari tarbiah yang menzahirkan prinsip-prinsip ayahandanya, Rasulullah, dan al-Quran al-Karim.
Al-Quran yang sama, dalam Surah al-Insan, menceritakan sebahagian daripada kehidupan Fatimah, pendidikan dan akhlaknya kepada manusia sejagat. Dalam surah ini, al-Quran memuji Zahra kerana baginda menyedekahkan segala yang dimilikinya kepada golongan yang memerlukan selama tiga hari berturut-turut. Perasaannya melampaui perasaan seorang ibu yang mengutamakan anak-anaknya berbanding orang lain. Oleh itu, baginda meletakkan risalah Ilahi dan tanggungjawab duniawi di hadapan matanya, seolah-olah dengan cara ini baginda berkata kepada wanita: inilah mesej Islam dan makna sebenar agama.
Zahra, dengan keutamaan-keutamaan agung yang tidak pernah terpisah daripadanya sepanjang hayat, berhadapan dengan umat ini; kerana baginda adalah ibu kepada ayahnya, iaitu Rasulullah SAW. Hal ini tidak menghairankan, kerana baginda berasal daripada keluarga risalah Muhammadiyah yang tugas dan kedudukan mereka ialah memperbaiki masyarakat daripada kejahilan dan fanatisme kabilah.
Fatimah, wanita suci ini, sejak kecil lagi menjadi sahabat dan peneman ayahandanya. Pandangannya hampir dengan pandangan Rasulullah, dan dalam kesukaran, ketika baginda berhadapan dengan gangguan para pembenci dan musuh risalah, Fatimah menjadi pendamping dan penenang baginda Nabi SAW. Dalam banyak keadaan, dengan jari-jarinya sendiri Hazrat Fathimah a.s. mengelap peluh di dahi Rasulullah, tetap teguh pada pendiriannya, dan selagi hayat dikandung badan, mempertahankan cahaya Ilahi, urusan umat ini, serta masa depan kaum Muslimin dan Islam.
Semua ini menunjukkan keagungan Fatimah az-Zahra (a.s.), sebagaimana al-Quran al-Karim menyebut Maryam (a.s.), puteri Imran, bahkan ketika masih dalam kandungan ibunya, kira-kira dua ribu tahun yang lalu. Ayat-ayat al-Quran yang menyebut tentang Maryam (a.s.), dari segi takwil dan intinya, juga benar terhadap Fatimah. Oleh itu, manusia menjadikannya sebagai neraca penilaian bagi sifat-sifat mulia dan keutamaan luhur.
4321865