Ketuanya, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, seperti yang sedia maklum, pihak kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berusaha dengan sebaik mungkin bersama jamaah menteri serta petugas-petugas barisan hadapan (frontliners) untuk menghadapi dan memerangi Covid-19.
“Alhamdulillah, melalui kenyataan media YAB Perdana Menteri pada hari ini, program vaksinansi kebangsaan semakin menunjukkan hasil yang poitif selain dari pengumumam pembukaan tambahan sektor-sektor ekonomi yang memberikan kelegaan dan kegembiraan kepada mereka yang terjejas dengan pandemik ini,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Walau bagaimanapun, katanya DUPP melahirkan kekesalan dan kekecewaan dengan sikap sebahagian pimpinan-pimpinan politik yang berterusan mendesak Perdana Menteri agar meletakkan jawatan atas dakwaan telah gagal menangani pandemik Covid-19.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Puteh itu, dakwaan-dakwaan seperti itu hanyalah bersifat retorik dan alasan kosong semata-mata.
Katanya, desakan-desakan berterusan itu, bukan sahaja mengganggu tumpuan pihak Kerajaan Perikatan Nasional dalam menangani Covid-19, bahkan turut menimbulkan suasana politik yang tidak stabil dan tidak harmoni yang memberikan kesan langsung kepada seluruh rakyat.
“Sehubungan itu, DUPP sekali lagi menyeru ahli-ahli PAS secara khusus, serta umat Islam seluruhnya untuk sama-sama menunaikan solat hajat dan munajat kepada Allah SWT bagi memohon keharmonian dan kesejahteraan negera serta perlindungan-Nya dari perkara-perkara yang boleh mandatangkan kerugiaan kepada Islam dan ummah,” ujarnya.
Tambahnya, umat Islam hendaklah yakin dengan janji Allah SWT di dalam Surah Ghafir, ayat 60 yang bermaksud: Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.