IQNA

6:29 - October 17, 2021
Berita ID: 3100286
TEHRAN (IQNA) - Institut pengajian Darul Quran di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah melahirkan lebih 10,000 graduan tahfiz sejak penubuhannya pada tahun 1966.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahamd, kini, permintaan untuk kemasukan ke institusi tahfiz termasuk di sekolah peringkat menengah, begitu tinggi.

Hal ini kerana katanya, ibu bapa sudah mula melihat kepentingan pengajian berorientasikan Al-Quran.

“Sekolah-sekolah berorientasikan Tahfiz plus Akademik ini tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.

“Senario ini bertambah pesat dengan usaha kerajaan melalui JAKIM memperkenalkan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) bagi memastikan pendidikan tahfiz di negara ini terus diperkasakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Idris menghadiri Majlis Istiadat Konvokesyen Darul Quran, JAKIM Ke-29 yang berlangsung secara hibrid membabitkan dua kohort pengajian iaitu kohort 2020 dan 2021, hari ini.

Difahamkan, seramai 1,235 graduan daripada pelbagai program pengajian bergraduasi, dengan 540 graduan merupakan pengajian tahun 2020 dan 659 graduan tahun 2021.

Menurut Idris, rentetan usaha yang dijalankan kerajaan seperti DPTN, bidang tahfiz di Malaysia kini ditransformasikan kepada beberapa kategori tahfiz.

Antaranya kata Idris, seperti Tahfiz Dini, Tahfiz Turath, Tahfiz Sains dan Tahfiz Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET).

“Syabas dan tahniah saya tujukan kepada semua graduan yang diraikan pada hari ini dan semoga usaha ini terus mendapat tempat di hati ibu bapa dan masyarakat keseluruhannya.

“Walau apa juga bidang yang diceburi, jadilah insan yang tetap mempertahankan kesuciaan Al-Quran serta menunjukkan akhlak terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Selain itu, beliau turut menggalakkan para graduan untuk masuk ke lapangan dakwah perkampungan dan belantara, dan menceritakan kehebatan kalam Allah.

“Dekatilah para profesional, sebarkan kemuliaan mukjizat Al-Quran termasuk dunia media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, Tik-Tok dan Club-house. Sebarkan dakwah tadabbur Al-Quran

“Saudara semua adalah duta dakwah. Tidak dilupakan juga doa dan pengorbanan para ibu bapa dan para pensyarah yang tidak ternilai harganya,” katanya.

harakahdaily.net

Nama:
Email:
* komen:
* captcha: