IQNA

10:26 - January 19, 2022
Berita ID: 3100664
TEHRAN (IQNA) - Rasuah bukan hanya menggalakkan jenayah seperti pelacuran, pemalsuan wang, cetak rompak dan penyeludupan, bahkan bakal mengundang kemurkaan Allah SWT, musibah, bala serta wabak.

Amalan rasuah antara jenayah berbahaya dan boleh menyebabkan kehancuran masyarakat. Impak negatif jenayah itu mengakibatkan pelbagai masalah sosial dan mencambahkan kegiatan jenayah, sekali gus menyebabkan ketidakadilan akan berleluasa kerana ketidakpatuhan terhadap undang-undang sepenuhnya.

Rasuah bukan hanya menggalakkan jenayah seperti pelacuran, pemalsuan wang, cetak rompak dan penyeludupan, bahkan bakal mengundang kemurkaan Allah SWT, musibah, bala serta wabak.

Firman Allah SWT: "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan salah dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)." (Al-Baqarah: 188)

Nabi SAW bersabda: "Kutukan Allah SWT atas pemberi rasuah dan penerima rasuah." (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Perkataan rasuah berasal daripada bahasa Arab, iaitu 'al-risywah'. Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rasuah ialah penerimaan atau pemberian suapan seperti wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah dan diskaun sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan berkaitan tugas rasmi.

Menurut undang-undang terkandung dalam Seksyen 3 (a)(b) dan 4 (a)(b), Akta Pencegahan Rasuah 1961 (Pindaan 1971) mentafsirkan rasuah sebagai: "menerima atau memberi apa-apa suapan sebagai dorongan, upah atau galakkan kepada seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan atau untuk tidak melakukan sesuatu perbuatan yang ada hubungan dengan prinsipalnya."

Suapan pula, menurut Seksyen 2, Akta Pencegahan Rasuah 1997 ialah "Wang, derma, pinjaman, hadiah, cagaran beharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta sama ada alih atau tidak alih atau apa-apa manfaat seumpamanya."

Ilmuwan Islam, Dr Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan dalam kitab al-Halal wa al-Haram fi al-Islam bahawa 'menerima rasuah termasuk kategori memakan harta orang lain dengan cara batil seperti wang diberikan kepada penguasa atau pegawai supaya menjatuhkan hukuman menguntungkan dirinya; hukum merugikan lawannya menurut kemahuannya; supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada sesuatu kepentingan dan sebagainya."

Islam sangat tegas dalam membanteras gejala rasuah daripada terus berleluasa dan membarah dalam kalangan masyarakat bagi tujuan mewujudkan keamanan dan keharmonian.

Pertama, kita perlu memupuk dan membentuk nilai keimanan dan ketakwaan tinggi dalam diri.

Setiap rakyat dan pemimpin perlu memantapkan keimanan serta ketakwaan terhadap Allah SWT bagi mengelakkan perlakuan rasuah.

Allah SWT Yang Maha Melihat dan Yang Maha Mengetahui setiap tindakan serta perlakuan manusia. Justeru, sifat mahmudah (terpuji) seperti integriti dan kejujuran perlu diterapkan dalam kehidupan kerana dinilai Allah SWT.

Selain itu, sikap takut terhadap azab dan seksaan neraka perlu dihadirkan akibat dosa serta kesalahan rasuah dilakukan.

Firman Allah SWT: "Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketakwaan dan janganlah tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan (melanggar hukum-hukum Allah). Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat berat siksanya." (Al-Maidah: 2)

Kedua, bimbingan dan kempen berterusan berkaitan keburukan dan bahaya rasuah. Pemimpin dan masyarakat perlu sentiasa diingatkan berkaitan perkara ini sehingga menjadi agenda utama serta penting dalam tindakan.

Kerjasama mufti, ahli agama dan pendakwah diperlukan dalam memberi bimbingan serta bergerak aktif dalam menyampaikan kebenaran amar makruf atau nahi mungkar.

Allah SWT berfirman: "Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah." (Ali Imran: 110)

Ketiga, melaksanakan tindakan yang tegas terhadap pesalah terbabit amalan rasuah. Pegawai dan penguatkuasa undang-undang perlu melaksanakan tindakan tegas tanpa memilih kasih sama ada dilakukan oleh rakyat biasa atau pemimpin.

Hukuman dikenakan adalah bertujuan untuk mendidik dan memberi pengajaran kepada seluruh pemimpin serta masyarakat supaya lebih serius dan waspada terhadap gejala rasuah.

Kesedaran dan perhatian terhadap bahaya rasuah perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat supaya terhindar impak dan kesan negatif boleh menghancurkan dan merosakkan negara.

Sinergi pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat dalam membanteras gejala rasuah perlu dijalin dengan baik secara berterusan.

bharian.com.my

tanda nama: hukum ، perasuah ، tampa ، pilih kasih ، kemaslahatan ، ummah
Nama:
Email:
* komen:
* captcha: