IQNA

Pluralisme dan konflik ‘siapa paling betul’

4:45 - January 20, 2022
Berita ID: 3100665
TEHRAN (IQNA) - CARA fikir; Pluralisme sedang hangat dibincangkan pada hari ini. Ia boleh dikatakan bermula apabila berlakunya perbincangan yang tak selesai mengenai ‘siapa yang paling betul’. Semua agama mendakwa membawa kebenaran atau disebut sebagai ‘religous truth claim’.

Ringkasnya, untuk menyelesaikan konflik ini, Dunia Barat memperkenalkan falsafah Pluralisme. Cara fikir seperti ini turut ‘disumbangkan’ oleh fahaman relativisme, yang menganggap kebenaran itu ada berbilang-bilang. Iaitu masing-masing berhak menentukan kebenaran masing-masing.

Apabila masing-masing berhak menentukan kebenaran masing-masing sekalipun tiada hujah, maka lahirnya banyak kebenaran. Bahkan kebenaran itu boleh bertembung antara satu sama lain. Cara fikir seperti ini boleh difahami dengan cara fikir Peter Byrne.

Peter Byrne meletakkan bahawa Pluralisme Agama, atau relativisme ini boleh disimpulkan melalui 3 premis, iaitu:

1. Tuhan atau Kebenaran Mutlak (God atau The Absolute Truth).

2. Semua agama menjanjikan keselamatan untuk pengikutnya.

3. Semua agama mempunyai maklumat yang terhad terhadap Tuhan atau Kebenaran Mutlak (God atau The Absolute Truth).

Justeru, beliau menganggap bahawa tiada agama yang layak menafikan agama lain ataupun mendakwa bahawa agamanya sahaja yang betul. Ini kerana, maklumat mengenai Tuhan atau Kebenaran Mutlak itu terbatas, maka tiada siapa boleh memastikan agamanya sahaja betul, ataupun menafikan kebenaran agama lain.

Zaman Dark Ages

Asal-usul kemunculan fahaman ini bermula apabila gereja pada zaman Dark Ages meng’claim’ bahawa mereka sahaja yang betul. Ketika itu, doktrin tradisional Gereja Roman Katolik terhadap agama-agama lain adalah dengan slogan ‘tidak selamat di luar gereja’.

Slogan ini dilihat bersifat eksklusif, iaitu seolah-olah aliran Katolik sahaja yang betul. Seolah-olah mereka sahaja yang memegang kunci pintu syurga. Siapa yang tidak berpegang dengan aliran ini dianggap tidak selamat, dan berada di dalam kesesatan.

Fahaman ini mula mencanak naik khususnya apabila pengaruh aliran Katolik digazetkan sebagai anutan rasmi empayar tersebut. Tak lama kemudian, gereja aliran ini mendapat tempat dalam pemerintahan negara. Ketika itu, gereja bukan sahaja menjadi institusi keagamaan, bahkan melahirkan ideologi negara bagi mempertahankan kekuasaan empayar Rom.

Penjajahan dan Kristianisasi

Pada kurun ke 16 dan 17, gerakan Mubaligh Kristian beroperasi menyebarkan dakyah mereka atas arahan gereja dengan tajaan Portugal dan Spain. Pada kurun ke 18 dan 19, gerakan ini memudahkan lagi operasi penjajahan British. Justeru, terbinalah dua jaringan ‘movement’ iaitu penjajahan imperialisme dan penjajahan pemikiran.

Melalui operasi-operasi seperti ini, akhirnya memberi kesan kepada cara fikir para Mubaligh tersebut. Asalnya mereka membawa fahaman Kristian sebagai agama yang eksklusif, akhirnya bertukar kepada bersifat inklusif. Perubahan ini mula timbul apabila para Mubaligh ini melihat bahawa agama lain juga mempunyai pendapat mereka sendiri mengenai Tuhan atau Kebenaran Mutlak.

Sehingga pada era 1960-an, gereja Katolik akhirnya terpaksa mengakui bahawa di sana ada agama lain, yang juga mempunyai kebenarannya. Lalu, pihak Kristian Katolik memberi penghargaan terhadap setiap agama besar yang wujud di dunia, atas usaha mereka untuk merungkai persoalan rumit mengenai kehidupan manusia.

Fahaman inklusivisme (dalam gereja) ini diterima pada Perhimpunan Kedua Vatican pada 1965 dan memberi identiti baru kepada Gereja Roman Katolik. Gereja tidak lagi menolak apa-apa yang baik dari agama Hindu dan Buddha. Begitu juga Islam yang ada beberapa persamaan, seperti kepercayaan kepada tuhan, Nabi Ibrahim, Maryam dan Isa.

Berubah menjadi Pluralisme

Sepertimana yang saya nyatakan di awal tadi, apabila Dunia Barat sudah serabut dengan persoalan ‘siapa paling betul’, lalu timbullah cara fikir Pluralisme. Ia lahir daripada Dunia Barat, yang sudah muak dengan doktrin eksklusif ajaran Kristian Katolik. Dalam masa yang sama, mereka baru menyedari hakikat bahawa agama lain pun ada betulnya. 

Para Sarjana Barat, ramai yang muncul mengkritik sikap eksklusif yang diterap dalam ajaran Kristian Katolik. Secara tak langsung, melahirkan gerakan pembebasan teologi (liberation theology). Dari sini, lahirlah apa yang disebutkan Pluralisme Agama. Iaitu pada asalnya merujuk kepada ajaran Kristian Katolik itu sendiri. Bukan ajaran Islam.

Kesimpulannya, fahaman inklusivisme di kalangan Mubaligh Kristian akhirnya membawa kepada kritikan pedas terhadap eksklusivisme. Kritikan dan wacana akhirnya membawa perubahan kepada mereka sehingga melahirkan Pluralisme Agama.

Dogmatisme

Dogmatisme atau lebih dikenali sebagai taqlid buta, menjadi asas kenapa eksklusivisme Kristian Katolik itu dibenci, sehingga melahirkan Pluralisme Agama. Bahasa mudahnya, Kristian Katolik hanya mampu ‘mengclaim’ bahawa mereka berada di pihak yang benar, sedangkan mereka tiada hujah.

Kebenaran yang mereka sangkakan itu, hanya bersandarkan kepada janji manis para paderi kepada penganut agamanya. Termasuk juga jaminan keselamatan dan sebagainya, yang tidak disandarkan dengan sebarang hujah yang konkrit. Maka, doktrinisasi seperti ini tidak mampu memberikan keyakinan. Bahkan menambahkan lagi paras keraguan.

Situasi ajaran Kristian berbeza dengan Islam. Islam adalah agama yang membawa keterangan yang jelas dan meyakinkan. Bukan ajaran yang kabur lagi misteri. Setiap pegangan yang diajar oleh Islam, pasti boleh dihujahkan. Penghujahan inilah yang menjadi kayu ukur pihak mana yang benar.

Kalau hanya sekadar ‘claim’, semua orang boleh ‘claim’ pembawa kebenaran. Justeru, untuk menentukan kebenaran mestilah dengan hujah (ilmu). Bukannya dengan ‘claim’.

Meng’claim’ pembawa kebenaran

Imam Ibn Kathir menghuraikan ayat 111 Surah al Baqarah bahawa setiap kumpulan di kalangan Yahudi dan Nasrani bahawa masing-masing di pihak yang benar. Masing-masing mengatakan bahawa tiada siapa yang masuk syurga melainkan kumpulan mereka sahaja.

Allah S.W.T menjawab;

قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar””.

Ibn Aliyyah R.A dan beberapa ulamak meletakkan maksud keterangan itu dengan hujah. Qatadah R.A pula memaksudkan dengan makna bukti. Iaitu sekiranya mereka itu ada bukti, atau hujah yang menunjukkan mereka itu di pihak yang benar, tunjukkanlah.

1. Budaya claim kumpulan kami sahaja yang membawa kebenaran sudah wujud di kalangan  kumpulan-kumpulan dalam Yahudi dan Nasrani.

2.️ Kebenaran itu ditentukan dengan bukti dan hujah. Bukan hanya sekadar meng’claim’. Hujah yang kita pegang ialah al-Quran dan Hadis, bukan dakwaan kosong.

Bahkan, al-Quran dan Hadis itulah yang memandu manusia berfikir dengan betul, dan melahirkan pegangan yang terbina daripada hujah-hujah yang meyakinkan. Sebab itulah umat Islam perlu tahu hujah-hujah ini, untuk menegakkan kebenaran agamanya dengan ilmu, bukan sekadar claim.

harakahdaily.

captcha