IQNA

Kaedah pendidikan para nabi / 22 - Nabi Musa (as)

Ketegasan ucapan dalam kisah Nabi Musa

13:38 - August 22, 2023
Berita ID: 3103043
TEHRAN (IQNA) - Orang yang berani dan mereka yang tidak takut dengan kekuatan dan kuasa orang lain sentiasa dikagumi sepanjang sejarah kerana mereka dikenali sebagai penzahiran kuasa perjuangan dan keberanian Ilahi. Para nabi merupakan antara orang-orang yang bergantung pada kuasa Ilahi tersebut.

Salah satu ciri pemimpin Ilahi ialah keterbukaan dan ketegasan, tidak seperti pemimpin manusia lain, yang sifat ini jarang dilihat. Pemimpin manusia lain kebanyakannya menggunakan kaedah kerahsiaan dalam menyampaikan matlamat mereka, dan mereka menganggap keterbukaan dalam  matlamat sebagai salah satu penghalang kepada kemenangan mereka. 

Tetapi dalam cara para nabi dan pemimpin Ilahi, kejujuran dalam ucapan dan ketegasan dalam tindakan adalah prinsip politik mereka, mereka secara terbuka mengisytiharkan cita-cita Ilahi dan rancangan syurgawi mereka dan bersedia untuk mendengar bantahan pihak lawan dan konfrontasi musuh. 

Kaedah ini memberi impak yang besar dan langsung kepada pendidikan, ini adalah kerana pendidikan dengan cara lemah lembut untuk orang yang sombong dan degil tidak akan berkesan kerana mereka tidak akan menyedari kesalahan mereka malah mengulangi kesalahan yang sama berkali-kali  .

Oleh itu, para pemimpin Ilahi  bercakap dengan terus terang dan tegas di hadapan orang seperti itu dan tidak takut kepada apa-apa.

Allah berfirman tentang orang-orang seperti ini:

ٱلَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَـٰلَـٰتِ ٱللَّهِ وَيَخْشَوْنَهُۥ وَلَا يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلَّا ٱللَّهَ ۗ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ حَسِيبًۭا ٣٩
“(Nabi-nabi yang telah lalu itu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka takut melanggar perintahNya, dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka)". (Qs, Al-Ahzaab 33:39)

Hazrat Musa (as), yang merupakan salah seorang utusan wahyu, menggunakan kaedah ini yang mana kata-katanya dicerminkan oleh Al-Quran:

وَقَالَ مُوسَىٰ يَـٰفِرْعَوْنُ إِنِّى رَسُولٌۭ مِّن رَّبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ ١٠٤ حَقِيقٌ عَلَىٰٓ أَن لَّآ أَقُولَ عَلَى ٱللَّهِ إِلَّا ٱلْحَقَّ ۚ قَدْ جِئْتُكُم بِبَيِّنَةٍۢ مِّن رَّبِّكُمْ فَأَرْسِلْ مَعِىَ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ ١٠٥
"Dan berkatalah Nabi Musa: "Hai Firaun! Sesungguhnya aku ini adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam - Sudah semestinya aku tidak mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar. Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, bebaskanlah Kaum Bani Israil menyertai aku (ke Palestin)". (Qs, Al-A’raaf: 104 - 105).

Ungkapan Nabi Musa (as) bahawa "Wahai Firaun, aku adalah utusan Tuhan sekalian alam" adalah contoh pertentangan antara hak dan batil, dan sebenarnya ungkapan ini diucapkan pada pertemuan pertama Nabi Musa (as) dengan Firaun. 

Dan yang sungguh menarik lagi bahawa ini adalah kali pertama Firaun mendengar ucapan "Wahai Firaun!".

Ucapan ini mengandungi kesopanan dan juga ketegasan tetapi tidak mempunyai sebarang sanjungan, kerana orang lain memanggil Firaun sebagai tuhan. Ungkapan Nabi Musa (as) tersebut dianggap sebagai amaran kepada Firaun, dan sebenarnya, kalimat ini adalah semacam pengisytiharan perang terhadap semua organisasi Firaun.

Nabi Musa (as) tidak memanggil Firaun dengan gelaran istimewa dan ini menunjukkan keterusterangan dan keberanian Nabi Musa (as) sebagai utusan Ilahi.

captcha