IQNA

Naser Shafagh:

Jadikan Budaya Asyura sebagai Bahasa Global melalui Karya Dramatik

16:06 - July 11, 2025
Berita ID: 3106692
IQNA - Seorang penerbit filem menyatakan bahawa peristiwa Asyura mempunyai potensi besar untuk memperbaharui nilai-nilai moral, heroisme dan kemanusiaan dalam seni persembahan. Beliau menyeru agar budaya Asyura diterjemahkan ke dalam bahasa global melalui karya-karya dramatik yang kreatif dan mendalam.

Agensi Berita IQNA telah mengadakan wawancara bersama Naser Shafagh «ناصر شفق», penerbit berpengalaman dalam bidang sinema dan televisyen serta pengasas Persatuan Sinema Revolusi dan Pertahanan Suci.

IQNA: Memandangkan kedudukan budaya, tamadun dan geografi Iran, apakah pintu masuk utama untuk mengangkat konsep Asyura dalam karya dramatik? Dan apakah ciri-ciri yang menjadikan tema ini sentiasa hidup dan menarik dalam bidang sinema dan televisyen?

Shafagh: Memandangkan kedudukan geografi dan tamadun Iran, negara ini sentiasa menjadi pusat kebudayaan dan tapak lahirnya tamadun-tamadun besar. Kita berada di rantau yang sejak dahulu menjadi poros perubahan budaya dan intelektual, dan peranan ini masih berterusan hingga kini.

Dalam konteks ini, peristiwa Asyura bukan hanya sekadar peristiwa sejarah semata-mata, bahkan merupakan kemuncak pertembungan antara hak dan batil, antara kebaikan dan kejahatan dalam sejarah manusia. Pertembungan ini melahirkan makna dramatik yang sangat mendalam dan universal. Oleh itu, Asyura boleh dianggap sebagai salah satu sumber dramatik terkaya dalam sejarah budaya dunia.

Peristiwa Asyura secara hakikatnya adalah sebuah drama besar yang penuh tarikan, menampilkan unsur-unsur seperti pengorbanan, maruah, penentangan terhadap kezaliman, keikhlasan dan perjuangan menuntut kebenaran pada tahap tertinggi. Tambahan pula, dengan sandaran kepada ungkapan terkenal "Setiap hari adalah Asyura dan setiap tanah adalah Karbala", peristiwa ini telah melangkaui batas waktu dan tempat. Maka, ia dapat dijadikan model untuk menggambarkan pelbagai bentuk konflik sosial dan kemanusiaan. Dari perspektif ini, Asyura mempunyai potensi sebagai asas karya-karya seni dan dramatik bukan sahaja di Iran, malah di pentas antarabangsa.

IQNA: Anda menyebutkan tentang keuniversalan mesej Asyura dan kesinambungannya dalam konflik kontemporari. Bagaimana kesinambungan ini boleh dizahirkan dalam karya-karya dramatik masa kini? Dan apakah contoh nyata yang boleh menghubungkan peristiwa Asyura dengan kejadian politik semasa?

Shafagh: Apa yang berlaku di dunia hari ini—khususnya di kawasan yang ditindas di Timur Tengah—adalah kesinambungan perjuangan Asyura. Hari ini, kita menyaksikan bahawa kuasa-kuasa keji dan kejam, iaitu rejim Zionis dan Amerika Syarikat, telah melakukan pelbagai jenayah terhadap umat tertindas di rantau ini seperti rakyat Palestin, Lubnan, Syria, dan Yaman.

Konflik berdarah dan nyata ini merupakan perwujudan moden kepada pertembungan antara kezaliman dan kebenaran, yang secara jelas memperlihatkan kesinambungan revolusi Asyura. Tragedi menyayat hati yang berlaku di Gaza «غزه», Zahiya Beirut «زاهیه بیروت» dan tempat-tempat lain yang menjadi simbol penentangan, mengingatkan kita kepada kezaliman yang dialami oleh Imam Husain (a.s.) dan para sahabatnya di padang Karbala.

Malah, kita boleh melihat persamaan yang jelas antara hubungan kuasa pada zaman itu dengan keadaan hari ini. Justeru, karya-karya dramatik masa kini boleh mengangkat kisah-kisah ini, bukan hanya sebagai bentuk penghormatan kepada sejarah, tetapi juga sebagai cara untuk menyampaikan mesej keberanian penentangan,  dan perjuangan keadilan kepada dunia.

4292503

captcha