IQNA

15:48 - November 30, 2021
Berita ID: 3100473
TEHRAN (IQNA) - Dalam kes sesama sendiri juga begitu, iaitu golongan biasa-biasa, bukan bertaraf ustaz. Seboleh-bolehnya, orang tidak akan menerima percakapan kita. Biasanya untuk menolak, sambil menunjukkan keilmuannya, dia akan bertanyakan dalil mana?

SEMALAM ada dengar kuliah Ustaz Mat Esa Deraman sebut pasal minta dalil ketika mendengar ustaz mengajar. Kata ustaz, boleh minta dalil, tetapi mesti kena dengan adab. Sebab manusia ini, bukan semuanya sama niat bila minta dalil itu. Ada yang memang betul-betul ikhlas mahukan ilmu dan dapat dilihat dengan cara dia meminta dalil. Ada juga yang dengan niat yang menyeleweng.

Bagi aku, memang sudah menjadi kelaziman, jika ada seseorang ustaz mengajar, ada orang akan uji ustaz itu. Tidak kiralah dia dari pihak mana, dari pemikiran apa, dari mazhab mana, dari lulusan mana. Tidak berlaku kepada ustaz-ustaz kecil sahaja, ustaz-ustaz besar pun mereka mahu uji. Dan ujian ini biasanya dengan niat mahu menjatuhkan dengan cubaan membuka aib mangsa, iaitu cuba dimalukan dengan persoalan yang tidak boleh dijawab.

Dalam kes sesama sendiri juga begitu, iaitu golongan biasa-biasa, bukan bertaraf ustaz. Seboleh-bolehnya, orang tidak akan menerima percakapan kita. Biasanya untuk menolak, sambil menunjukkan keilmuannya, dia akan bertanyakan dalil mana? Ia pernah terjadi kepada aku suatu ketika dahulu. Bila diberitahu akan sesuatu yang sudah dimaklumi, dia menolaknya dengan bertanyakan dalil. Sedangkan aku tahu dia solat jemaahnya payah, Qurannya tidak dipraktikkan, Bahasa Arab, jangan ceritalah.

Aku hanya menjawab, untuk sekadar bersembang, memberi peringatan yang baik, ia tidak perlukan dalil, kita sama-sama jahil, hanya mengulangi apa yang ustaz-ustaz bagi tahu dalam kuliah, ia sudah memadai. Kalau tidak, langsung tidak boleh bagi nasihat agama sebab perlukan dalil. Contoh kalau kita bagi tahu, makanlah guna tangan kanan, nanti dia tanya kita, mana dalil? Kalau kita cerita pasal Rasulullah S.A.W larang makan tangan kiri, dia tanya lagi, hadis nombor berapa? Siapa perawinya. Kan mengada-ngada itu?

Maaf katanya, aku kalau tak ada dalil, aku tak terima. Lalu aku, sekadar mahu menduga, bertanya, habis kalau kau nasihatkan anak-anak kau, kau bagi tahu ke hadis nombor berapa, ayat Quran mana? Dia menyerang aku balik, apa pula sampai macam itu. So OKlah, aku pun faham. Tak perlu teruskan. Dia tak apa, aku tak boleh. Pernah juga aku tengok kawan-kawan bagi dalil guna sumber dalam wikipedia. Itu dia. Lagi teruk, sebab nak menang juga cakap, dia guna ayat ‘kalau tak silap’ dan ‘rasanya’, masa bagi dalil.

Analoginya berkaitan dalil begini. Kita kalau nak belajar pasal topik khusus pembuktian formula matematik, kita kena masuk universiti, dan kita akan diajar mencari bukti bagaimana sesuatu formula itu dicipta. Tetapi sehingga sekolah menengah, kita hanya perlu ambil sahaja formula yang sudah diberikan dan gunakannya. Tidak perlu kepada kaedah pembuktian.

Jika kita dalam sekolah sering bertanyakan pembuktian formula, cikgu tidak akan melayan kita, sebab ia adalah kepakaran pensyarah matematik dan juga keupayaan pelajar bertaraf universiti untuk mempelajarinya, tanpa menafikan ada juga beberapa kerat pelajar sekolah yang genius. Ini kes terpencil. Itupun akan cuba diberikan kelas khas kepada mereka bagi memisahkan tahap pemikiran agar sentiasa cemerlang. 

Tetapi masalah lebih besar ialah, dia perasan yang dia adalah pelajar genius. Ditambah pula apabila mak ayah masuk campur, menangkan anak dia, konon cerdik sangat, nak juga pindah kelas genius. Sedangkan guru sudah tahu keupayaan dia. Cikgu-cikgu tahulah kes-kes begini, bab-bab murid perasan dia cerdik.

Jadi dalil mesti diberi dan boleh diminta, jika kita berkeupayaan menerima syarahan mengenainya dan berada dalam kelas yang bersesuaian. Tetapi jika duduk dalam kelas awam, kemudian meminta dalil, ia bukanlah satu keperluan. Itulah bagi saya, apa yang dimaksudkan oleh Ustaz Mat Esa yang cara meminta dalil itu tidak kena, pada tempat dan masa. 

Pastikan anda berada dalam kelas yang betul dan juga guru yang betul. Jika anda salah masuk kelas, jangan salahkan guru dan murid dalam kelas itu. Anda yang kena pindah kelas yang lebih hebat kerana anda seorang yang genius dalam agama. Bukan semua orang cerdik seperti anda. Anda insan terpilih.

Pernahkah anda dengar mengenai kisah pelajar genius yang selalu keluar kelas kerana terlalu bosan dengan pelajaran yang dianggap tidak setaraf dengan akalnya? Dia rasa dia tidak duduk di dalam kelas yang sepatutnya. Gurunya berkecil hati dengan sikapnya yang sombong, menolak ilmu itu. Akhirnya, dia tidak ke mana kerana mahu ditegur, dia rasa pandai, mahu diajar, dia tidak mahu kerana tarafnya tinggi. Dia setelah dewasa, menjadi dhaif ilmu kerana kesombongannya itu. Tiada keberkatan. Sedangkan rakan-rakannya yang lain, mendapat ilmu dunia akhirat.

Hanya sahaja, pastikan guru yang kita belajar itu adalah guru yang benar. Bukan guru yang tidak ketahuan ilmunya yang langsung tidak mahu menyebut dalil atas alasan yang pelik-pelik atau langsung tidak mahu meraikan pendapat lain. Sebab itu penting kita berguru dengan guru yang mursyid, kerana sikap guru itu dengan dalil yang Rasulullah S.A.W tinggalkan, tidak jauh bezanya. Mudah bagi kita mengenalinya, dengan syarat, kita juga membaca kitab-kitab muktabar dan mencari juga ilmu dari guru mursyid yang lain. Insya-Allah tenang hati, tanpa persengketaan sesama kita.

Tetapi jika kita hanya mendengar dan menerima bulat-bulat apa yang diajar oleh guru kita, nanti jangan disalahkan orang, jika memberitahu ilmu yang kita ada itu salah. Kerana silap kita yang bersikap jumud, tidak menyemaknya semula atau langsung tidak meminta, mencari dalil dan juga menerima ilmu dari guru yang lain. Sebab itu membaca adalah ayat pertama yang diturunkan, memberitahu dalil bagi kita untuk menuntut ilmu yang benar. Bukan hanya mendengar. Apatah lagi dari sumber tunggal.

Tetapi yang paling ‘win’ dari kuliah Ustaz Mat Esa ialah katanya, yang hairan, bila datangnya berita fitnah, tidak pula mahu tanya dalil atau sumber, ramai yang main pakat ambil saja. Mangsa yang kena fitnah pula, ulamak. Haaa kan?

harakahdaily.net

tanda nama: Bila ، bertanya ، mengenai ، dalil
Nama:
Email:
* komen:
* captcha: