IQNA

Tadabbur dalam Surah-surah Juzuk ke-30; Surah al-Humazah

“Humaz” dan “Lumaz” Menjadi Punca Kesengsaraan dalam Kehidupan

16:45 - January 03, 2026
Berita ID: 3107510
IQNA - Seorang pakar dan tenaga pengajar al-Quran menyatakan bahawa berdasarkan riwayat yang dinukilkan daripada para Maksum (a.s.), perbuatan humaz «هَمز » (mencela atau mencari-cari aib) dan lumaz «لَمز» (mengumpat atau memburukkan orang lain) menjadi punca kemiskinan dan kesengsaraan hidup, akibat terhapusnya rezeki serta membawa kepada kematian dalam keadaan yang sukar.

Laporan IQNA; Sesi tadabbur surah-surah Juzuk ke-30 al-Quran yang dianjurkan oleh Majma‘ Madrasah Mahasiswa al-Quran dan Ahlulbait Universiti Tehran di Masjid Kompleks Perumahan Universiti, kali ini dikhususkan kepada Surah al-Humazah «سوره همزه».

Pada permulaan sesi, Hani Chitchian «هانی چیت‌چیان», tenaga pengajar program tersebut, membincangkan tentang fadhilat membaca surah ini dan berkata: Mungkin dengan menyebut ganjaran membaca surah ini, timbul anggapan bahawa ia termasuk dalam surah-surah yang bersifat memberi harapan dan khabar gembira, sedangkan Surah al-Humazah tergolong dalam surah-surah peringatan (inzari) yang memberi amaran serius terhadap suatu perkara penting.

Beliau meneruskan: Diriwayatkan daripada Imam Ja‘far al-Sadiq (a.s.) bahawa sesiapa yang membaca surah ini dalam solat fardu, Allah akan menghilangkan kemiskinan daripada kehidupannya. Juga diriwayatkan daripada para Maksum (a.s.) bahawa membaca surah ini akan menambah rezeki dalam kehidupan serta menolak kematian yang buruk. Kematian adalah suatu ketetapan yang pasti, namun cara seseorang meninggal dunia—apabila tamat ajalnya—dengan keberkatan bacaan surah ini, dia akan menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan selamat dan jauh daripada sebarang kematian yang mengerikan, lalu menyerahkan ruhnya kepada Pencipta nyawa.

Chitchian menegaskan: Pada permulaan surah ini sendiri telah dijelaskan strategi untuk mencegah kemiskinan dan kematian yang buruk, iaitu dengan meninggalkan perbuatan humaz dan lumaz. Perkara yang menarik untuk diperhatikan ialah, khususnya dalam soal keberkatan rezeki dan kemakmuran ekonomi, kita sering memberi tumpuan kepada faktor-faktor lain, sedangkan aspek akhlak ini sering terabai.

Perkataan pertama dalam ayat ini ialah “Wail”«وَیل» . Allah hanya menggunakan perkataan ini dalam beberapa surah al-Quran sahaja. Makna literalnya ialah bala dan azab yang hampir membawa kepada kebinasaan. Di sini perlu difahami bahawa terdapat perbezaan besar antara kematian dan kebinasaan (halakah) «هلاکة». Kematian adalah penutup setiap kehidupan dan merupakan suatu hakikat yang pasti, namun kebinasaan bermaksud lenyapnya sesuatu tanpa meninggalkan walau sedikit pun kesan, sehingga tidak lagi ada harapan untuk bangkit atau memberi kesan semula. Dengan pemahaman ini, jelaslah betapa perbuatan humaz (mencela) dan lumaz (mengumpat) boleh menyeret manusia ke jurang kehancuran dan kesengsaraan.

Humaz dan lumaz kedua-duanya berasal daripada akar makna yang sama, namun lumaz mempunyai kedalaman dan kesan yang lebih besar. Secara ringkas, humaz ialah mencela seseorang atas aib yang memang ada padanya, manakala lumaz ialah mencela dan memburukkan seseorang atas aib yang tidak wujud, sehingga apa yang dilemparkan kepadanya hanyalah tuduhan dan label palsu yang menyebabkan dia tercemar nama baik dan hilang kewibawaan. Namun dalam Surah ini, sama ada seseorang itu benar-benar mempunyai aib tersebut atau tidak, kita tetap tidak dibenarkan untuk menzahirkannya. Dalam kedua-dua keadaan, Allah mengancam orang yang suka mencela dan mengumpat dengan bala yang hampir kepada kebinasaan.

4325591

captcha