IQNA

Pameran Versi Sejarah “Mushaf Kufi” di Muzium al-Quran Makkah

11:29 - January 25, 2026
Berita ID: 3107559
Pameran Versi Sejarah “Mushaf Kufi” di Muzium al-Quran Makkah
IQNA - Sebuah naskhah al-Quran yang bersejarah dan amat bernilai, dikenali sebagai “Mushaf Kufi” dan merupakan antara al-Quran tulisan tangan yang jarang ditemui, kini dipamerkan di Muzium al-Quran di Makkah al-Mukarramah.
Pameran Versi Sejarah “Mushaf Kufi” di Muzium al-Quran Makkah

Laporan IQNA, memetik Agensi Berita Rasmi Iraq; Muzium al-Quran di Makkah al-Mukarramah telah mempamerkan salah satu naskhah al-Quran paling jarang dan mempunyai nilai sejarah yang sangat tinggi, dikenali sebagai “Mushaf Kufi”; iaitu satu naskhah yang dianggap sebagai bukti penting dalam proses pengumpulan dan penulisan al-Quran al-Karim.

Mushaf ini menjadi saksi jelas kepada perkembangan seni khat Islam pada abad-abad terawal.

Naskhah kalam Allah ini dipercayai berasal dari abad kedua atau ketiga Hijrah, bersamaan dengan abad kelapan atau kesembilan Masihi, dan ditulis dalam tulisan Kufi di atas kulit binatang, iaitu antara bahan tertua yang digunakan dalam penulisan mushaf al-Quran.

Laporan itu turut menyatakan bahawa mushaf ini disusun dalam bentuk “melintang”, iaitu bentuk yang lazim digunakan pada peringkat awal penulisan al-Quran dan mencerminkan ciri-ciri seni serta teknikal pada zaman tersebut.

Naskhah al-Quran ini bermula dari ayat 50 Surah Ali ‘Imran dan berakhir pada penghujung Surah ‘Abasa, dan merupakan contoh mushaf separa (juzuk) yang biasa digunakan pada zaman-zaman awal.

Mushaf jenis ini digunakan untuk tujuan pendidikan, hafazan al-Quran, serta peredaran dalam kalangan para ulama dan penuntut ilmu agama.

Pameran mushaf ini adalah selaras dengan misi Muzium al-Quran di Makkah al-Mukarramah untuk memperkenalkan khazanah al-Quran dan manuskrip-manuskrip langka. Tujuannya adalah untuk memberi pendedahan kepada para pengunjung mengenai sejarah mushaf al-Quran, perkembangan tulisan Arab, serta usaha berterusan umat Islam sepanjang zaman dalam memelihara dan menulis al-Quran dalam bentuk yang paling indah. Inisiatif ini juga menyumbang kepada peningkatan pengalaman budaya dan keilmuan para pengunjung di “Kawasan Budaya Hira".

4329829

captcha