IQNA

Perbanyakkan istighfar

18:55 - December 05, 2021
Berita ID: 3100494
TEHRAN (IQNA) - NABI S.A.W telah memberi contoh kepada umatnya untuk memperbanyakkan istighfar. Ini kerana manusia tidak luput daripada melakukan kesalahan dan dosa, sehingga kita digalakkan untuk menjadikan istighfar sebagai amalan yang tidak lekang daripada mulut kita.

Banyak Hadis yang menyebut kelebihan beristighfar seperti mencegah turunnya azab Allah, mendapat keampunan dosa, penyelesai masalah dan memurahkan rezeki, tetapi pada hari ini saya ingin kongsikan Hadis yang menyebut bilangan istighfar yang dibaca oleh Nabi S.A.W dalam sehari.

Daripada Abu Hurairah R.A, beliau mendengar Nabi S.A.W bersabda:

وَاللَّهِ إِنِّى لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِى الْيَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

“Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar pada Allah dan bertaubat pada-Nya dalam sehari lebih dari 70 kali.”

(Riwayat al-Bukhari (6307))

Daripada al-Aghar al-Muzanni yang merupakan Sahabat Nabi S.A.W, bahawa Nabi S.A.W bersabda:

إِنَّهُ لَيُغَانُ عَلَى قَلْبِى وَإِنِّى لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ فِى الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ

“Ketika hatiku malas, aku beristighfar pada Allah dalam sehari sebanyak seratus kali.”

(Riwayat Muslim (2702))

Imam al-Qadhi bin ‘Iyadh mengatakan bahawa makna Hadis di atas iaitu ketika Nabi S.A.W dalam keadaan malas beliau membacanya seperti itu. Ertinya, beliau rutin terus mengamalkan zikir istighfar dalam setiap harinya. [Syarh Sahih Muslim oleh Imam Nawawi, 17/22].

Sebagai umat Baginda S.A.W yang tidak sunyi daripada melakukan dosa dan kesilapan, sewajarnya kita sentiasa lebih banyak memohon keampunan dan bertaubat kepada Allah S.W.T pada setiap masa.

Mari kita melazimkan diri beristighfar memohon keampunan kepada Allah. Kalau kita tidak dapat beristighfar banyak, pastikan sekurang-kurangnya kita ada beristighfar walaupun sedikit. Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa kita dan meluaskan rezeki kita.

harakahdaily.net

tanda nama: Perbanyakkan istigfar
captcha