IQNA

Pendaftaran Dibuka bagi Musabaqah al-Quran Ketara Kali Ke-9 di Qatar

15:08 - July 15, 2025
Berita ID: 3106719
IQNA - Yayasan Perkampungan Budaya Katara di Qatar mengumumkan pembukaan pendaftaran bagi edisi kesembilan Musabaqah Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan “Hadiah Ketara” di negara itu.

Laporan IQNA, memetik sumber qna.org.qa; Musabaqah ini diadakan dengan slogan: "Perindahkan al-Quran dengan suara kalian", dan pendaftaran dibuka bermula hari ini, Selasa, 15 Julai.

Tarikh akhir pendaftaran ialah 30 September 2025. Tujuan utama musabaqah ini termasuklah:

  • Menggalakkan dan mengenal pasti bakat-bakat unggul dalam seni tilawah al-Quran,

  • Memilih suara-suara terbaik dan paling indah dalam bacaan,

  • Memperkenalkan para qari cemerlang yang membaca mengikut kaedah tajwid yang betul,

  • Memberi penghargaan kepada para qari kreatif dan berkualiti tinggi,

  • Membangkitkan motivasi dalam kalangan generasi muda untuk berpegang kepada agama dan memahami tanggungjawab mereka.

Yayasan Katara menyatakan dalam satu kenyataan bahawa satu jawatankuasa khas akan menilai semua penyertaan, dan memilih 100 peserta terbaik untuk mara ke peringkat saringan awal yang akan diadakan di Doha.

Kenyataan itu juga menjelaskan bahawa peringkat awal musabaqah ini akan disiarkan dalam 20 episod rancangan televisyen, di mana setiap episod menampilkan 5 peserta yang bersaing. Hanya seorang peserta dari setiap episod akan terpilih ke peringkat separuh akhir.

Dalam peringkat separuh akhir, seramai 20 peserta utama dan 5 peserta simpanan akan bersaing dalam 5 episod, dan dalam setiap episod tersebut, seorang pemenang akan layak ke peringkat akhir.

Akhirnya, para pemenang dari tempat pertama hingga kelima akan diumumkan dalam satu program khas yang akan disiarkan oleh Televisyen Qatar sempena bulan Ramadan.

Jawatankuasa penilai hadiah ini terdiri daripada enam orang ahli, iaitu tiga pakar dalam bidang tilawah, tajwid dan qiraat, serta tiga lagi pakar dalam bidang maqamat (lagu) dan teknik suara.

Yayasan Katara turut mengumumkan bahawa pihak mereka akan menerbitkan rakaman penuh bacaan al-Quran oleh juara musabaqah ini dalam bentuk cakera padat (CD) di studio rasmi Katara.

Jumlah keseluruhan hadiah bagi Musabaqah Tilawah al-Quran Katara ialah 1.5 juta Riyal Qatar, yang akan diagihkan seperti berikut:

  • Juara pertama: 500,000 Riyal Qatar

  • Naib juara: 400,000 Riyal

  • Tempat ketiga: 300,000 Riyal

  • Tempat keempat: 200,000 Riyal

  • Tempat kelima: 100,000 Riyal Qatar

Untuk makluman, Jabatan Wakaf di bawah Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar telah menjadi penaja rasmi musabaqah ini sejak ia dimulakan pada tahun 2017.

4294411

captcha