IQNA

Pameran “Mushaf Syam” di Damsyik

16:33 - September 05, 2025
Berita ID: 3106964
IQNA - Sebuah naskhah al-Quran kebangsaan Syria yang dikenali sebagai “Mushaf Syam” «مصحف شام» telah dipamerkan di reruai Kementerian Wakaf negara itu dalam Pameran Antarabangsa Damsyik ke-62.

Laporan IQNA memetik SANA 《سانا》, Mushaf Syam dikatakan sebagai al-Quran terbesar yang pernah ditulis di dunia. Ia dihasilkan setelah 20 tahun usaha berterusan dengan mengekalkan ciri seni serta ketelitian ilmiah dalam penulisannya.

Projek ini diketuai oleh Muhammad Mu‘taz Ubaid «محمد معتز عبید» dengan kerjasama 62 khattat dari 17 negara. Al-Quran ini dipersembahkan buat pertama kalinya dalam Pameran Antarabangsa Damsyik ke-62, sebuah acara ekonomi dan budaya di Syria yang berlangsung dari 28 hingga 31 Ogos.

Idea penulisan mushaf ini bermula pada tahun 2005, ketika Muhammad Mu‘taz Ubaid bertekad untuk menghasilkan sebuah al-Quran unik yang menjadi simbol nilai spiritual dan seni, serta mempersembahkannya kepada Syria dan dunia Islam.

Pelaksanaan projek ini dimulakan di Khan As‘ad Pasha di Damsyik Lama, tempat berkumpulnya para khattat dari seluruh dunia untuk menyalin keseluruhan al-Quran dalam sebuah pameran khas.

Menurut Ubaid, proses penyalinan selesai dalam tempoh setahun dan helaian asal Mushaf Syam dipamerkan pada tahun 2006 di Balai ‘Arsh di Benteng Aleppo.

Sebanyak 17 negara terlibat dalam projek ini, termasuk Syria, Arab Saudi, Turkiye, Palestin, Jordan, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu, Yaman, Belanda, Pakistan, Bangladesh, Afghanistan, Mesir, Iraq, Sudan, Libya, dan Algeria. Hal ini mencerminkan kesatuan umat Islam di bawah naungan al-Quran.

Saiz helaian mushaf ini ialah setinggi 2.5 meter dan selebar 1.55 meter, mengandungi 125 helaian utama dan 9 helaian tambahan.

Setiap helaian terdiri daripada 33 baris tulisan, manakala hiasan Islam dan tazhibnya dihasilkan oleh Abdul Karim Darwish «عبدالکریم درویش», seorang artis Syria-Jerman.

Selain itu, mushaf ini telah dijilid dan dicetak pada tahun 2024 menggunakan kulit tiruan dengan kaedah moden serta teknologi terkini.

Muhammad Mu‘taz Ubaid dalam wawancaranya dengan SANA menyatakan bahawa Mushaf Syam menyampaikan mesej keamanan dan kasih sayang dari Syria kepada dunia, sambil menggambarkan nilai spiritual serta budaya meskipun berdepan cabaran.

Kementerian Wakaf Syria sedang merancang untuk menempatkan naskhah pertama mushaf ini di Masjid Umayyah di Damsyik. Versi lain juga akan dihantar ke Masjid al-Haram, Masjid al-Nabawi (SAW), dan Masjid al-Aqsa bagi mengukuhkan perpaduan Islam.

Mushaf ini telah melalui semakan fiqh dan linguistik dari tahun 2006 hingga 2011, dan menerima pengesahan rasmi Kementerian Wakaf Syria serta Majlis Ulama negara itu.

Selain itu, Kementerian Wakaf Jordan pada tahun 2012 dan al-Azhar pada tahun 2022 turut mengesahkannya. Projek ini juga telah diajukan untuk pendaftaran dalam Guinness World Records dan kini menunggu pengiktirafan rasmi dengan nombor khas.

4303165

captcha