IQNA

Mohsen Qasemi Tekankan:

Pengaruh Undian Bacaan terhadap Kejayaan Qari dalam Pertandingan Antarabangsa

0:23 - August 18, 2025
Berita ID: 3106883
IQNA - Wakil negara Jumhuriyah Islamiyah Iran dalam Pertandingan Antarabangsa al-Quran Malaysia berkata: hakikat bahawa seorang qari dalam suasana pertandingan berdasarkan undian dapat mempersembahkan bacaannya pada hari-hari terakhir, meskipun bukan satu prinsip tetap, tetapi suasana pertandingan dan penguasaan juri terhadap tahap kualiti bacaan boleh menjadi satu keberkatan tambahan untuknya.

Laporan IQNA; Mohsen Qasemi «محسن قاسمی»; Wakil Jumhuriyah Islamiyah Iran dalam Pertandingan Antarabangsa al-Quran Malaysia kali ke-65 yang berlangsung dari 2 hingga 9 Ogos di Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia, berjaya memperoleh tempat keempat dalam kategori qiraat tahqiq lelaki. Kami telah mengadakan wawancara bersamanya tentang penyertaannya dan bagaimana pertandingan ini dijalankan, yang akan anda baca berikut:

IQNA: Bagaimana anda menggambarkan kedudukan Pertandingan al-Quran Malaysia berdasarkan pengalaman langsung anda baru-baru ini dalam edisi ke-65?

Qasemi: Sejarah enam puluh lima tahun pertandingan ini menunjukkan bahawa pihak penganjur mempunyai pengalaman yang sangat baik. Sebelum menghadiri pertandingan ini, saya sudah mendengar tentang disiplin yang ada, dan saya menyaksikan secara langsung serta mengakui kebenarannya.

Dalam pelbagai peringkat penganjuran, dengan pembahagian tugas yang dilakukan, setiap orang melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin. Bahkan untuk majlis pembukaan dan penutup, mereka sudah mempunyai perancangan, dan dua hari sebelum upacara tersebut kami menjalankan simulasi penuh. Setiap peserta juga diarahkan bagaimana kedudukan mereka di majlis penutup ketika bersama Perdana Menteri Malaysia.

IQNA: Undian bacaan anda jatuh pada malam kedua pertandingan. Sejauh mana hal ini mempengaruhi kualiti bacaan anda? Adakah sekiranya anda mendapat giliran pada malam-malam terakhir, bacaan anda mungkin lebih baik?

Qasemi: Ya, undian saya jatuh pada malam kedua pertandingan. Berdasarkan pengalaman bertahun-tahun menyertai pelbagai pertandingan al-Quran, saya percaya bahawa giliran membaca pada hari-hari terakhir, khususnya sehari sebelum penutup, adalah masa terbaik. Kerana setelah beberapa malam berlangsung, tahap pertandingan sudah jelas bagi juri, dan mereka telah mendengar kebanyakan bacaan. Hal ini memberikan kesan positif terhadap pemberian markah.

Namun, ini bukan satu prinsip tetap. Ada kalanya qari pada hari-hari awal mampu memberikan persembahan terbaik dalam keseluruhan pertandingan. Pada akhirnya, giliran bacaan setiap peserta adalah satu ketentuan dan bahagian rezeki yang ditetapkan untuknya.

IQNA: Anda memperoleh tempat keempat dalam pertandingan ini. Memandangkan prestij dan sejarah panjang pertandingan al-Quran Malaysia, ini adalah kedudukan yang baik. Tetapi apakah sebab anda tidak mencapai tempat teratas?

Qasemi: Saya membaca mengikut peraturan pertandingan Malaysia. Bahkan menurut salah satu peraturan yang menyatakan apabila masa sepuluh minit bacaan tamat dan loceng berbunyi, qari mesti menyelesaikan ayat yang sedang dibaca, perkara ini berlaku kepada saya juga dan tiada markah negatif diberikan.

Bacaan saya disusun berdasarkan “kejuruteraan bacaan” yang menjadi standard pertandingan Malaysia. Namun kerana berlaku masalah pada suara saya, saya kehilangan markah yang besar. Pada bahagian bacaan maqam bayat, ketika ingin berpindah ke maqam nahawand, suara saya tersangkut, dan ketika masuk ke maqam rast, kerana suara menjadi berat, saya tidak dapat mencapai puncak seperti yang dirancang, lalu terpaksa menurunkan nada. Sejak awal sebenarnya saya berniat memberikan variasi suara yang lebih banyak, tetapi perkara ini tidak tercapai.

Walaupun dari segi lagu, hukum tajwid dan aspek teknikal lain tiada masalah khusus dalam bacaan saya, tetapi pertandingan Malaysia memberi perhatian khusus terhadap aspek suara. Oleh itu, dalam penilaian, saya dapati kerana masalah suara tersebut, saya kehilangan kira-kira lima markah. Jika saya berjaya mempersembahkan bacaan mengikut susunan yang saya rancangkan, sekurang-kurangnya tempat kedua boleh saya raih.

Apa yang paling saya ingat dari bacaan saya ialah ketenangan dan khusyuk, yang jarang berlaku dalam suasana rasmi. Tetapi secara ringkas saya harus katakan, masalah suara itulah yang merosakkan segalanya.

4300223

captcha