
Taliban hari ini memaklumkan berjaya menawan Lembah Panjshir yang menjadi lokasi pemberontakan terakhir di Afghanistan.
Perkara itu diumumkan ketika diplomat kanan Amerika Syarikat (AS) dalam perjalanan ke Qatar untuk cuba menguruskan situasi huru-hara di Afghanistan pasca pengunduran tentera AS.
Susulan kejayaan pantas menumpaskan tentera Afghanistan bulan lalu serta sambutan selepas kumpulan tentera AS terakhir keluar dari negara itu selepas perang selama 20 tahun, Taliban beralih untuk menumpaskan pihak yang mempertahankan kawasan pergunungan di Lembah Panjshir.
"Dengan kemenangan ini, negara ini sudah bebas sepenuhnya daripada kancah peperangan," kata ketua jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid.
Semalam, Barisan Penentangan Nasional (NRF) yang terdiri daripada militia anti-Taliban dan bekas pasukan keselamatan Afghanistan, mengakui berdepan kekalahan teruk di Panjshir dan menuntut gencatan senjata.
NRF turut dianggotai pejuang tempatan yang setia kepada Ahmad Massoud, anak kepada komander anti-Soviet dan anti-Taliban yang terkenal iaitu Ahmad Shah Massoud.
Ia turut dianggotai saki-baki anggota tentera Afghanistan yang berundur ke Lembah Panjshir.
Menerusi Twitter semalam, kumpulan itu memaklumkan bahawa jurucakapnya yang juga wartawan Afghanistan terkemuka, Fahim Dashty, serta Jeneral Abdul Wudod Zara, terbunuh dalam pertempuran terbaharu.
NRF berikrar untuk melawan Taliban, namun turut menyatakan sedia berunding dengan kumpulan Islam itu.
Bagaimanapun, komunikasi awal antara kedua-dua pihak gagal mencapai kata putus.
Lembah Panjshir terkenal sebagai lokasi penentang kepada tentera Soviet sekitar 1980-an dan Taliban pada lewat 1990-an.
bharian.com