IQNA

Puasa rahsia sihat sehingga usia lebih 100 tahun

18:05 - September 09, 2021
Berita ID: 3100099
TEHRAN(IQNA)-MACHANG: Berpuasa berterusan selama tiga bulan sehingga Ramadan menjadi amalan dan rahsia dikongsi dua beradik dari Kampung Rengas, Tok Bok, di sini, yang kini usia mereka sudah lebih satu abad.

Dua beradik berkenaan, Munah Yunus, 115, dan Pah Yunus, 111, yang masing-masing sudah kematian suami hanya mampu mengengsot selepas terjatuh dalam kejadian berasingan sejak 10 tahun lalu sehingga menyebabkan tulang belakang mereka terjejas.

Pah berkata, secara rasmi usianya dan kakaknya yang berdaftar masing-masing 97 dan 101 tahun, namun jika diikutkan usia mereka sebenarnya sudah lebih satu abad berdasarkan tanda pada hujung nombor kad pengenalan.

"Kami bersyukur kerana dikurniakan umur yang panjang dan pada masa sama, sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Pulai Chondong pada awal Ogos lalu sebagai usaha menjaga kesihatan diri dan orang sekeliling daripada dijangkiti wabak COVID-19.

"Dari segi kesihatan, saya hanya menghidap penyakit darah tinggi dan parkinson, begitu juga kakak tidak menghidap sebarang penyakit kronik namun disebabkan usia semakin lanjut, pendengaran kami kurang jelas selain penglihatan kakak juga sudah kabur serta nyanyuk," katanya ketika ditemui di Kampung Rengas, hari ini.

Ibu kepada lima anak, 18 cucu serta 36 cicit ini berkata, rahsia dia kekal sihat adalah disebabkan amalan berpuasa berterusan selama tiga bulan sehingga Ramadan selain puasa sunat setiap hari Isnin dan Khamis ketika masih muda yang masih diamalkan sehingga ke hari ini.

"Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini kakak saya sudah tidak lagi mampu untuk berpuasa berterusan selama tiga bulan dan hanya berpuasa penuh pada bulan Ramadan saja kerana mudah mengalami keletihan.

"Walaupun mengalami beberapa kekangan termasuk fizikal sudah tidak seperti sediakala, kami berdua tidak pernah meninggalkan amalan wajib iaitu solat fardu lima waktu meskipun terpaksa menunaikannya secara duduk," katanya yang kini menetap di rumah anak masing-masing.

Sementara itu, anak ketiganya, Mohd Ramli Ismail, 63, berkata, selain berpuasa, ibunya juga sangat mengambil berat perihal pemakanan dan hanya memakan makanan sihat serta mengamalkan makan ulam-ulaman.

"Saya bersyukur kerana ibu dan ibu saudara (Munah) dikurniakan kesihatan yang baik dan dalam usia mereka yang sudah lebih satu abad mampu melihat cucu serta cicit membesar di depan mata.

"Hubungan ibu dan kakaknya sangat akrab kerana selepas ibu dan ayah mereka meninggal dunia, hanya tinggal mereka dua beradik sahaja memandangkan tidak mempunyai adik-beradik lain," katanya.

Semua fenomena yang ada dan terjadi dalam kehidupan ini, jika dilihat dengan mata hati atau disebut basirah dalam istilah irfan iaitu pandangan tajam makrifah Ilahi, maka setiap orang akan merasakan sentuhan dan pendekatan pengenalan terhadap tanda-tanda kekuasaan Allah swt, salah satunya berkenaan dengan usia manusia yang terhad, usia rata-rata manusia di zaman ini sekitar 50 hingga 73 tahun, namun satu perkara nyata usia manusia menjadi tanda nyata kehendak takdir dan ketentuan Ilahi yang juga bersesuaian dengan usaha manusia sendiri untuk selaras dengan sunnah Islam sebagai Agama yang menunjukkan cara terbaik untuk mendapatkan anugerah panjang usia. Salah satu cara adalah dengan mengamalkan ibadah Puasa, khususnya peluang ibadah puasa dalam bulan-bulan istimewa, Rejab, Sya'ban, & Ramadhan dapat menjadi asbab sihat dan panjang usia. Demikian ayat-ayat suci Al-Quran dan hadis Nabi saw yang menganjurkan untuk menjalankan ibadah puasa seperti hadis Baginda Rasulullah Muhammad saw bersabda:

«وَ نُظِّفَتِ الْجِسْمُ مِنَ الْقَاذُورَات»
«Badan dibersihkan dari kotoran»
(RH, Hur Amili, wasailu Syiah)

Dengan berpuasa akan membuang pelbagai kotoran atau penyakit dari badan.

Dalam riwayat lain menyatakan:

صُوْمُوا تَصِحُّوا
"Berpuasalah niscaya kamu akan sihat".

walau hadis ini dipandang lemah dari segi sanad, oleh sebahagian ulama hadis Ahlu sunnah namun kerana kesesuaian kandungan dan fakta nya maka hadis semacam ini boleh diguna untuk menyokong kebenaran fakta tersebut.

bharian.com.my

captcha