IQNA

Sejarah Masjid

12:04 - September 11, 2021
Berita ID: 3100102
TEHRAN(IQNA)- Masjid Putra Putrajaya dibina pada 15 Mac 1996, seiring dengan bermulanya pembangunan fasa pertama pusat pentadbiran kerajaan persekutuan di Putrajaya. Dan ia mula digunakan dengan rasminya pada 30 Ogos tahun 2000.

Masjid Putra merupakan ilham Perdana Menteri Malaysia yang keempat Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ia dinamakan Masjid Putra bagi mengenang jasa Perdana Menteri Malaysia yang pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.

Kedudukannya tersohor dikelilingi taman dan tasik ditengah pusat pentadbiran kerajaan persekutuan menjadikan ia mercu kegemilangan sebuah bangsa merdeka, sebuah negara berdaulat yang mengangkat islam sebagai pencetus kejayaan ummah.

Dari arah Jambatan Putra, masjid ini kelihatan terapung-apung di permukaan tasik kerana kedudukannya yang unik di pinggir tasik Putrajaya dan bersebelahan dengan kompleks Jabatan Perdana Menteri menandakan islam menjadi teras pegangan dan amalan kepimpinan Negara Malaysia.

Keseluruhan pembinaan masjid ini berkonsepkan reka bentuk seni bina Parsi zaman kerajaan Safawi yang digabungkan dengan ciri-ciri moden, kotemporari menggunakan pendekatan sains dan teknologi.

Sementara seni bina tradisional dikekalkan bagi mengharmonikan perubahan bentuk segi empat terutama dewan solat kepada bentuk bulat yang terdapat di kubah utama dengan memperkenalkan segi lapan sebagai bentuk perantaraannya.

Pintu Gerbang

Sebaik sahaja memasuki halaman masjid, tersergam indah sebuah pintu gerbang yang bercirikan seni bina Isvahan menyambut para jemaah dan pelancong yang tiba ke sini.

Kehadiran pelawat akan disambut oleh petugas yang bersedia memberi informasi mengenai masjid dan memandu para pelawat mematuhi adab-adab ketika berada di kawasan masjid sambil menikmati keindahan seni bina Masjid Putra dan kawasan-kawasan sekitarnya.

Di hadapan terbentang luas halaman terbuka atau Sahn memisahkan pintu masuk dengan ruang solat utama Masjid Putra. Halaman ini dihiasi dengan kolam yang airnya mengalir sepanjang masa seolah-olah menggambarkan kesucian dan kemuliaan akidah islam yang membesarkan Allah Taala Tuhan Pencipta Alam.

Terdapat pepohon Palma yang menghiasi halaman ini menjadikan is sebuah ruang yang ringkas melandai ke ruang utama solat membolehkan berlakunya kesinambungan antara saf di dalam dan di luar yang boleh menempatkan 5000 orang jemaah.

Menara

Di sebelah kiri pintu gerbang masjid, terdapat sebuah menara setinggi 116 meter yang berbentuk bintang lapan penjuru menyerlahkan lagi seni bina dan seni reka islam yang unggul. Menara ini juga mempunyai lima tingkat pembahagi melambangkan lima rukun islam dan solat lima waktu.

Kubah Utama

Kubah utama Masjid Putra berwarna merah jambu dengan garis pusat 36 meter dan tingginya 63 meter dari aras lantai dewan solat. Reka bentuknya berasaskan Arabes iaitu ukiran bermotifkan tumbuh-tumbuhan seperti yang terdapat pada kebanyakan kubah masjid di Mesir. Di samping itu, terdapat lapan buah kubah kecil dengan reka bentuk yang sama terletak di empat penjuru masjid. Puncak kubah ini dihiasai dengan ukiran berwarna emas.

Muqarnas

Muqarnas merupakan seni bina kerawang tiga demensi yang dipadukan dengan hiasan kaca yang memancarkan sinar cahaya apabila disinari cahaya lampu. Ukiran muqarnas terletak di bahagian atas keempat-empat penjuru masjid menjadikan suasana panorama lelangit masjid cukup menarik dan tinggi nilai karya seninya.

Mimbar Masjid

Kehebatan dan keunikan Masjid Putra diperteguhkan lagi dengan mimbar masjid yang dibuat mengambil ilham rekaan mimbar masjid di Mesir dan ukiran bermotifkan bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan tempatan. Mimbar masjid menjadi lambang ketinggian dan kemuliaan ajaran islam yang perlu disampaikan dengan penuh hikmah kepada seluruh masyarakat. Di sinilah imam menyampaikan khutbah mengingatkan jemaah supaya melakukan kebajikan dan beramal ibadah serta meninggalkan perkara yang ditegah oleh Allah S.W.T.

Aras Satu

Aras ini menempatkan dewan solat utama jemaah wanita yang boleh menampung kira-kira 2000 jemaah pada satu-satu masa. Keadaannyan lapang dan cukup selesa untuk para jemaah bersolat dan beriktikaf di dalam masjid sambil berwirid dan berzikir. Aras ini dihadangi dan dipagari barisan kayu cengal yang diukir bermotifkan tumbuh-tumbuhan tempatan yang tinggi nilai seninya. Ukiran bunga-bungaan pada kayu penghadang ini menyerlahkan lagi kesenian melayu dalam masjid ini.

Aras Bawah

Aras ini merupakan kawasan terpenting Masjid Putra, di mana terletaknya dewan solat utama yang boleh menampung jemaah lebih 8000 orang. Ruang solat yang luas dan lapang dengan dua belas tiang setinggi 63 meter menjulang dan menyokong kubah utama membentuk suasana nyaman, tenang dan syahdu kepada setiap jemaah yang beribadah di dalam masjid ini. Tiang utama dibina menggunakan batu marmar dan turut dihiasi dengan kayu serai hitam yang berukiran menggabungkan seni khat dan bentuk geometri melambangkan ketinggian seni bina islam yang luhur. Suasana ruang dewan solat utama dilimpahi cahaya lampu tertutup dari arah bumbung dan lampu cendelier yang dipasang bergantungan di ruang atas dewan solat. Dinding hadapan dihiasi dengan corak dan seni ukiran bermotifkan bunga-bungaan tempatan seperti cempaka, kenanga dan melati. Hiasannya disulami dengan ayat al-Quran menggunakan khat Suluth. Keunikan ruang solat di Masjid Putra ialah sistem aliran udara yang bersumberkan air dari tasik disalurkan ke dewan utama melalu ruang udara di sudut bawah tiang utama masjid sehingga mendinginkan suasana di dalam dewan masjid. Secara keseluruhannya konsep terbuka yang terdapat di dalam masjid ini membolehkan udara segar dari tasik bertiup masuk menunjukkan kawasan masjid secara semulajadi.

Aras Bawah Satu

Aras ini keseluruhannya menempatkan kemudahan dan keperluan bagi memperlengkapkan peranan Masjid Putra sebagai masjid elit bandaraya Putrajaya. Antara kemudahan yang terdapat disini ialah sebuah auditorium serbaguna yang boleh memuatkan seramai 400 orang. Dilengkapi alat audiovisual terkini dan sering digunakan untuk pelbagai aktiviti seperti kursus, ceramah, forum dan juga majlis-majlis taklimat lawatan. Selain itu, terdapat sebuah dewan makan yang boleh menampung lebih 700 orang serba lengkap dengan kemudahan set meja dan hiasan dalaman yang boleh disewa dengan kadar yang berpatutan.

Aras ini juga menempatkan tiga buah bilik kuliah yang sederhana besarnya sesuai untuk seminar dan kelas pengajian dan juga kursus yang melibatkan tidak lebih daripada 100 orang peserta. Sebahagian besar ruang di aras ini menempatkan tempat berwuduk dan bilik air untuk para jemaah lelaki dan wanita. Kemudahan bilik pengurusan jenazah. Aras ini juga menempatkan pejabat pentadbiran dan perpustakaan Masjid Putra.

Aras Bawah Dua

Aras ini menjadi penghubung utama kepada sesiaran atau prominent yang merupakan rangkaian jalan untuk pejalan kaki menikmati keindahan sekitar tasik berhampiran Masjid Putra.

Keempat-empat aras dihubungkan oleh rangkaian tangga yang bermula dari tempat wuduk utama serta dua buah lif di kiri dan kanan pintu dewan solat utama.

Tarikan Pelancong

Kedudukan Masjid Putra ditengah-tengah pusat pentadbiran kerajaan persekutuan menjadikan ia destinasi utama setiap pelancong yang tiba ke sini. Dari sini, seseorang boleh melihat panorama tasik buatan manusia yang unik yang jambatan merentas tasik menghubungkan pejabat dengan kawasan kediaman yang cukup kemas, teratur dan bersih.

Taman-taman bunga dan landskap yang menghijau menghiasi suasana sekitar Masjid Putra dan ia sekaligus menyediakan lokasi untuk berehat, santai dan bersiar-siar bersama keluarga sambil mengambil foto berlatar belakangkan Masjid Putra sebagai kenangan mengunjungi Putrajaya.

masjidputra.gov.my

Nama:
Email:
* komen:
* :