ADA dua jalur sumber ilmu pengetahuan:
1. Wahyu.
2. Teori manusia.
Wahyu sentiasa betul, dan boleh dibuktikan betul. Manakala teori manusia, boleh jadi betul, boleh jadi salah.
Teori manusia itu menjadi betul apabila selaras dengan wahyu. Ia menjadi salah, apabila bersalahan dengan wahyu.
Contohnya penceritaan mengenai permulaan alam:
أَوَلَمْ يَرَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ كَانَتَا رَتْقًا فَفَتَقْنَاهُمَا
“Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya.”
(al-Anbiya’: 30)
Orang Barat menghasilkan Teori Big Bang, yang selaras dengan firman Allah S.W.T itu. Maka, teori ini selari dengan wahyu.
Cumanya, yang menjadi masalah, mereka tidak beriman dengan Allah S.W.T kerana menganggap ia adalah sekadar bentuk kesemulajadian alam.
Contoh yang lain teori Darwin yang berteori bahawa manusia itu berasal dari beruk. Ia bertentangan dengan ayat pertama Surah an Nisa,
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً
“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai.”
(an-Nisa: 1)
Teori Darwin sehingga kini tidak dapat dibuktikan kebenarannya, kerana awal-awal lagi sudah bersalahan dengan wahyu.
Apa yang kita lihat pada hari ini, adakah silibus pendidikan kita selari dengan wahyu, atau bersumberkan teori Barat?
Sepatutnya, semakin kita belajar sains kita akan kenal Tuhan. Tetapi realiti hari ini, semakin belajar sains, semakin rasa tidak perlu kepada agama. Sedangkan agama itulah yang memandu manusia berfikir.
Akhirnya akan mengheret manusia kepada gejala kesalahan dalam berfikir. Hanya bersandar dan berbangga dengan teori-teori Barat.
harakahdaily.net