IQNA

Pemilihan Peserta Antarabangsa Musabaqah al-Quran Mesir ke-32 Bermula Secara Maya

16:42 - November 04, 2025
Berita ID: 3107240
IQNA - Peringkat saringan awal bagi Musabaqah al-Quran Antarabangsa Mesir ke-32 yang dikhususkan untuk peserta luar negara telah dimulakan secara dalam talian dengan anjuran Kementerian Wakaf Mesir.

Laporan IQNA, memetik News Room; Peringkat awal pertandingan ini dilaksanakan melalui sidang video dengan penggunaan teknologi moden bagi memastikan penilaian yang teliti dan telus terhadap para peserta.

Langkah ini mencerminkan usaha berterusan Kementerian Wakaf Mesir untuk menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi semasa serta memudahkan penyertaan peserta antarabangsa tanpa halangan geografi.

Pihak penganjur pertandingan menegaskan bahawa peringkat saringan ini bertujuan memilih peserta terbaik dari luar Mesir yang menguasai hafazan, bacaan serta kaedah tajwid al-Quran dan mempersiapkan mereka untuk peringkat akhir yang akan diadakan di Kaherah, dengan kehadiran panel hakim dan pakar-pakar dalam bidang ilmu al-Quran.

Kementerian Wakaf Mesir menjelaskan bahawa penganjuran pertandingan ini bertujuan untuk memperkukuh nilai-nilai Qurani yang menyeru kepada perpaduan, toleransi dan keamanan, serta menampilkan gambaran indah peradaban Islam yang berasaskan ilmu dan saling menghormati antara bangsa dan budaya.

Peringkat akhir Musabaqah al-Quran Antarabangsa Mesir ke-32 dijadual berlangsung pada Disember 2025 di Kaherah, bagi mengenang jasa dan sumbangan al-Marhum Sheikh Shahat Muhammad Anwar «شحات محمد انور», qari tersohor Mesir dan dunia Islam.

Pertandingan ini merangkumi pelbagai kategori dan riwayat bacaan, antaranya:

  • Hafazan al-Quran (riwayat Hafs ‘dari ‘Asim) «روایة حفص عن عاصم» dengan tajwid, tafsir dan asbab al-nuzul ayat-ayat al-Quran;

  • Hafazan riwayat Hafs ‘dari ‘Asim dengan tajwid khusus untuk bukan penutur Arab;

  • Hafazan riwayat Hafs ‘dari ‘Asim atau Warsh ‘dari Nafi‘, atau kedua-duanya, dengan tajwid dan tafsir serta pemeliharaan aspek linguistik al-Quran;

  • Hafazan dua juzuk terakhir (29 & 30) dengan tafsir berpandukan kitab al-Bayan ‘ala al-Mukhtasar fi Tafsir al-Qur’an al-Karim «البیان علی المنتخب فی تفسیر القرآن الکریم»;

  • Tilawah (suara merdu) dengan tajwid, dan kategori khas bagi golongan orang kelainan upaya (OKU) untuk hafazan juzuk 30 beserta tafsir berdasarkan sumber yang sama;

  • Kategori Keluarga al-Quran, yang menilai hafazan, kefahaman makna dan tatabahasa al-Quran;

  • Kategori Qira’at Sab‘ Sughra «قرائات سبع صغری » menurut kaedah al-Syatibiyyah «شاطبیه», dengan penjelasan dan penerangan tentang perbezaan bacaan.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, setiap edisi Musabaqah al-Quran Antarabangsa Mesir turut didedikasikan kepada tokoh-tokoh qari terkemuka Mesir, termasuk edisi ke-26 yang dinamakan sempena Sheikh Mahmud Khalil al-Husari «شیخ محمود خلیل الحصری» , dan edisi ke-27 yang membawa nama Ustaz Abdul Basit Abdus Samad «عبدالباسط عبدالصمد» , dua legenda besar dunia tilawah al-Quran.

4314273

captcha