IQNA

Umat Islam perlu 'buka mata' krisis Ukraine-Russia

14:14 - March 05, 2022
Berita ID: 3100838
TEHRAN (IQNA) - KRISIS yang berlaku di Ukraine sekarang membabitkan pertembungan antara blok Barat dengan Russia. Banyak perkara yang boleh dipelajari daripada krisis itu kerana sesungguhnya ia membuka mata kepada beberapa hakikat dunia yang sebelum ini tersembunyi.

Hipokrasi dunia Barat jelas kelihatan dalam krisis ini. Mereka boleh bersatu untuk mengecam penjajahan Russia di Ukraine, tetapi sedikitpun tidak berbunyi dalam isu penjajahan yang berlaku banyak tempat di dunia Islam, Palestin terutamanya.

Umat Islam tidak boleh lagi berharap kepada kuasa Barat sebagai payung perlindungan, sebaliknya perlu membangunkan kekuatan sesama negara Islam. Kekuatan kesatuan dan kesepaduan dalam tindakan negara-negara Islam, baik dari sudut ekonomi dan ketenteraan akan menggerunkan musuh.

Dalam hal ini juga terlihat kebergantungan mutlak kepada teknologi luar yang memusuhi umat Islam adalah merugikan. Huawei misalnya tidak lagi dapat menjual telefonnya seperti dulu kerana sekatan yang dibuat oleh Google. Russia kini berdepan sekatan yang sama, Apple khabarnya akan menyekat beberapa perkhidmatan di Russia, Google mungkin akan menyusul. Jika Microsoft pun berani bertindak, banyak pengguna peribadi dan organisasi di Russia akan menerima kesan.

Pengaruh institusi dunia juga kelihatannya akan digunakan untuk menekan negara yang tidak selari dengan kehendak Barat. Jutawan, Roman Abramovich misalnya mengumumkan akan menjual Chelsea selepas mendapat tekanan Parlimen Britain. Persatuan Berbasikal Antarabangsa (Union Cycliste Internationale) tidak lagi membenarkan pasukan Russia bertanding dalam acara di bawahnya. Begitu juga dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Kelab-kelab Russia digantung, bahkan negara itu juga tidak akan dibenarkan menyertai Piala Dunia.

Tidak terkecuali industri hiburan turut mula memboikot Russia apabila filem Batman dibatalkan tayangannya di sana. Tidak pasti adakah Netflix nanti juga akan menyekat capaiannya.

Justeru, media utama di negara Islam perlu diberi nafas baharu dan menyusun agenda yang menguntungkan umat Islam. Al Jazeera semata-mata tidak mencukupi sedangkan jika dilihat dalam krisis Ukraine-Russia hari ini, media di barat memberikan liputan yang jelas berat sebelah.

Tiba masanya untuk umat Islam berani keluar dari kerangka kehidupan Barat dan membina modul sendiri yang lebih bebas dan berperanan dalam menentukan masa hadapan dunia.

BHarian

captcha