IQNA

Umat Islam sebenarnya kuat, tetapi perlukan kesatuan

10:00 - March 09, 2022
Berita ID: 3100856
TEHRAN (IQNA) - Umat Islam diberi kekuatan oleh Allah Taala bukan sahaja di negeri Arab, tetapi di seluruh dunia Islam, demikian menurut Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, umat Islam mempunyai kekuatan tenaga manusia yang besar iaitu lebih satu bilion di seluruh dunia serta ada banyak hasil bumi untuk sumber kekuatan, ekonomi dan tenaga pakar, termasuk duduk di Amerika dan Eropah.

Beliau memberitahu demikian pada Forum Perdana Ehwal Islam sempena Sambutan Minggu Al-Quds yang bersiaran secara langsung di RTM TV1 dari Masjid Wilayah Persekutuan, di sini sebentar tadi.

“Akibat daripada pembakaran Masjidil Aqsa tahun 60-an, ditubuhkan OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) mengejutkan dunia Islam, menandakan iman mereka masih ada. Dikejutkan. Hasilnya ditubuh OIC, walaupun peranannya tidak kuat sehingga hari ini. 

“Tetapi menunjukkan semangat itu ada, nur itu ada, cahaya itu ada, yang perlu dimarakkan lagi dikuatkan lagi,” serunya mengupas tajuk ‘Al-Quds, Satu Perjuangan’.

Beliau menyeru agar kekuatan yang ada diperanankan untuk memajukan teknologi umat Islam dan mengatasi segala kelemahan sebagaimana Eropah menubuhkan Kesatuan Eropah walaupun mereka tiada hasil.

“Kita sendiri tak membina kekuatan kita sendiri. Dengan sebab itu tanggungjawab kita menggerakkan kesatuan dunia Islam. Malaysia bukan sebuah negara besar, negara yang kecil, tetapi sangat penting memainkan peranan sejak awal. Almarhum Tunku (Abdul Rahman Putra al-Haj) jadi Setiausaha Agung OIC.

“Dan sehingga hari ini Malaysia tidak mengiktiraf Israel. Pasport Malaysia ditulis tak dibenarkan melawat Israel. Ini ketegasan kita. Alhamdulillah, masih ada. Kita masuk dalam kesungguhan itu. 

“Dan kita kena sedar yang penting ialah kita mesti menyatukan umat Islam, jangan dipecah-pecahkan oleh musuh-musuh kita. Sudah cukup masanya kita sedar dan insaf ramai kita dipecah, diperintah dijajah,” peringat beliau yang juga Presiden PAS.

Seru beliau kesatuan umat Islam mesti dikembalikan melalui kekuatan dan tenaga kita sendiri, serta sekadar kemampuan yang ada boleh mengajak negeri-negeri Islam supaya bersama dalam isu-isu yang penting. 

Khususnya kata beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, isu-isu berkait dengan Baitulmaqdis dan Palestin yang boleh menyatukan orang Islam tanpa mengira kaum dan mazhab.

Harakahdaily

tanda nama: umat Islam kuat perlu kesatuan
captcha