IQNA

‘Saksama Bersama’: Sisi pandang Islam

16:14 - March 13, 2022
Berita ID: 3100870
TEHRAN (IQNA) - Saksama bagi kita masyarakat Melayu Islam tidak sama dengan tafsiran Feminis yang mahukan kesamarataan mutlak tanpa sebarang pengecualian.

KEWUJUDAN ciapan Twitter yang menyelar gambar isteri yang memakaikan butang baju Melayu suaminya iaitu Perdana Menteri kita, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai tidak menepati tema sambutan Hari Wanita pada tahun ini, jelas menunjukkan satu pemikiran sempit terhadap maksud saksama. 

Saksama bagi kita masyarakat Melayu Islam tidak sama dengan tafsiran Feminis yang mahukan kesamarataan mutlak tanpa sebarang pengecualian.

Jika mahu difahami begitu, apa-apa kelebihan tertentu yang diberikan kepada pihak lelaki secara automatik akan menjadi suatu bentuk penindasan dan diskriminasi terhadap pihak wanita tidak kira apa pun asas dan justifikasinya, seperti mana yang dilihat melalui perbuatan memakaikan butang baju Melayu suami.

Tetapi Islam tidak begitu. Kesaksamaan bagi kita adalah keadilan. Keadilan bukan semata-mata apa yang lelaki perolehi mesti diberikan kepada wanita seperti yang sering difahami umum, tetapi keadilan itu ialah meletakkan setiap sesuatu selayaknya dan kena pada tempatnya. 

Dalam meraikan perbezaan yang wujud antara lelaki dan wanita, hukum-hakam Islam tidak menyebut soal hak semata-mata, tetapi turut mengambil kira soal perbezaan tanggungjawab. 

Hak wanita untuk ditaati oleh anak-anak adalah melebihi lelaki sebagai bapa, dan ini datang bersama tanggungjawab mengandung, melahirkan dan menyusukan anak. Hak ketaatan yang diberikan kepada suami pula melepaskan wanita daripada tanggungjawab memberikan nafkah. 

Rata-rata hukum Islam memberikan bentuk hak yang sama kepada lelaki dan wanita, cuma kadarnya yang berbeza bergantung kepada keperluan. Contohnya, kedua-dua lelaki dan wanita diberikan hak untuk bekerja dan menyara keluarga, tetapi lelaki diwajibkan menyediakan keperluan asas keluarga, sementara wanita mempunyai pilihan untuk membantu menanggung ekonomi keluarga ataupun tidak.

Namun begitu, ada juga hak-hak yang khusus diberikan kepada lelaki misalnya hak poligami (bukan wajib) atau hak yang hanya diberikan kepada wanita seperti nafkah. 

Perbezaan hukum Islam terhadap lelaki dan perempuan adalah suatu perbuatan yang adil, justeru berlaku adil adalah keimanan. 

Sempena tema ‘Saksama Bersama’ pada tahun ini, kita sangat setuju potensi wanita perlu dioptimumkan sebaiknya dengan menyediakan segenap ruang dan peluang yang adil untuk mereka memajukan diri, mengikut pilihan mereka sendiri, baik sebagai pemimpin, wanita bekerjaya mahupun suri rumah sepenuh masa mengikut batas-batas sempadan yang dibenarkan syarak.

Harakahdaily

captcha