IQNA

Al-Quran dan Imam Husain (a.s)/3

Hikmah dan Hasil daripada Raj‘ah Imam Husain (a.s)

15:33 - July 07, 2025
Berita ID: 3106672
IQNA - Pemikiran tentang raj‘ah «الرجعة» (kembali hidup di era kedaulatan pemerintah al-Imam al-Mahdi a.s) Imam Husain (a.s) bersama para sahabat setia baginda membawa pelbagai kesan mendalam dari sudut keimanan dan akhlak umat.

Imam al-Sadiq (a.s) «امام صادق», ketika mentafsirkan ayat:

ثُمَّ رَدَدْنا لَکُمُ الْکَرَّةَ عَلَیْهِمْ
"Kemudian Kami kembalikan kekuasaan kepada kamu atas mereka". (Qs, al-Isra’: 6).

Berkata: Raj‘ah dan kemunculan semula Imam Husain (a.s) akan berlaku bersama 70 orang sahabat setianya, dengan mengenakan topi besi berlapis emas. Mereka akan datang dari dua arah dan mengumumkan kepada manusia bahawa inilah Husain yang telah kembali—supaya tiada lagi keraguan di hati orang beriman bahawa dia bukan Dajjal dan bukan syaitan. Pada masa itu, Hujjat ibn al-Hasan (Imam Mahdi a.j.) masih berada dalam kalangan manusia. Setelah keyakinan mantap dalam hati orang-orang beriman bahawa dia benar-benar Husain (a.s), maka tiba saat wafatnya Imam Mahdi, dan Imam Husain (a.s) sendiri akan memandikan, mengkafankan, dan menyempurnakan urusan pengebumiannya—kerana tiada sesiapa selain wasi (pengganti yang sah) boleh menguruskan jenazah seorang wasi.

Kepercayaan terhadap raj‘ah Imam Husain (a.s) bersama para sahabat baginda merupakan salah satu pegangan aqidah yang penting dalam mazhab Ahlul Bait (a.s), yang mempunyai pelbagai manfaat dari sudut keimanan dan pembentukan peribadi.

Pertama, ia menegaskan bahawa Imam Husain (a.s) dan para sahabatnya tidak "terkubur dalam sejarah" semata-mata, tetapi mereka adalah kafilah hidup yang akan muncul semula di masa depan di bawah pimpinan Aba Abdillah al-Husain (a.s).

Kedua, pemikiran ini memberi kesedaran bahawa kafilah ini masih hidup dan sentiasa menyambut individu-individu yang suci hatinya dari setiap zaman. Ini dibuktikan dengan fenomena yang berterusan—di mana setiap tahun, ramai yang tertarik kepada Imam Husain (a.s), terutamanya dalam bulan Muharram dan Arba'in—sebuah gambaran bahawa hubungan spiritual itu terus berlaku.

Ketiga, kepercayaan kepada raj‘ah memberi harapan besar kepada para pencinta Ahlul Bait (a.s), menjadikan mereka sentiasa dalam penantian untuk menyertai barisan Imam. Penantian ini bukan pasif, malah mendorong kepada perubahan pemikiran umat terhadap peristiwa Karbala, dan seterusnya membawa kepada transformasi dalam amalan dan akhlak peribadi.

Dengan kata lain, sejauh mana seseorang mukmin meyakini raj‘ah Imam Husain (a.s), sejauh itu jugalah dia akan berusaha memperbaiki dirinya. Kesedarannya bahawa Imam akan kembali suatu hari nanti mendorongnya menjauhi sifat dan tingkah laku musuh-musuh Ahlul Bait, serta berpegang teguh kepada nilai-nilai luhur—dengan harapan agar kelak dia akan tergolong dalam barisan tentera Imam Husain (a.s) pada saat raj‘ah itu berlaku.

3493696

captcha