IQNA

Kongres Antarabangsa “Umana’ al-Rusul” Akan Diadakan di Iran, Iraq dan Lubnan

15:14 - July 27, 2025
Berita ID: 3106779
IQNA - Qom: Ayatollah Alireza A'rafi «آیت‌الله علیرضا اعرافی», Pengarah Hauzah-hauzah Ilmiah Iran, mengumumkan bahawa Kongres Antarabangsa Umana’ al-Rusul «امناءالرسل» akan diadakan sebagai penghormatan kepada Syahid Sayyid Hassan Nasrallah «شهید سیدحسن نصرالله», Ayatollah al-Uzma Safi Golpayegani «آیت‌الله العظمی صافی گلپایگانی» dan Ayatollah Shahrastani «آیت‌الله شهرستانی ».

Laporan IQNA; Dalam satu sidang media pada 26 Julai di Pusat Pengurusan Seminar Ilmiah di Qom, Ayatollah A'rafi turut menyatakan penghormatan kepada para syuhada dalam dua tahun terakhir, khususnya syuhada Perang 12 Hari, sambil menyatakan solidariti dengan rakyat Palestin, terutamanya Gaza yang kini dalam situasi yang sangat mencabar. Beliau berdoa agar Allah memalingkan kejahatan musuh-musuh Islam dan Iran ke atas diri mereka sendiri.

Ayatollah A'rafi menjelaskan bahawa Sekretariat Kongres Umana’ al-Rusul bertujuan untuk memperkenalkan tokoh-tokoh besar dunia keilmuan Islam yang berpengaruh dalam konteks sosial, politik dan budaya, khususnya dari Iran dan rantau sekitarnya.

Beliau menegaskan bahawa program-program kongres ini berpusat pada dua kawasan penting sejarah pemikiran dan budaya Syiah, iaitu Qom dan Najaf, dan akan menampilkan tokoh-tokoh yang mempunyai peranan besar dalam bidang ilmiah, budaya, politik dan sosial dari kedua-dua pusat keilmuan ini.

Matlamat utama kongres ini, menurut beliau, ialah memperkenalkan tokoh-tokoh ini sebagai teladan kepada generasi muda dan masyarakat umum. Dalam usaha ini, beberapa program telah dilaksanakan dan karya-karya berkaitan telah diterbitkan.

Ayatollah A'rafi menekankan bahawa Sayyid Hassan Nasrallah (syahid), yang sangat terpengaruh dan tertarik dengan kepimpinan Rahbar (Pemimpin Tertinggi Iran), telah melahirkan tokoh-tokoh besar dan membentuk sebuah mazhab politik, revolusioner dan budaya yang kini sedang dikaji dan dianalisis dalam kongres ini.

Tokoh kedua yang akan diangkat ialah Ayatollah al-Uzma Safi Golpayegani – seorang ulama besar dalam bidang Mahdawiyyah (kepercayaan kepada Imam Mahdi), ilmu kalam, fiqh dan usul fiqh. Beliau menghasilkan karya-karya penting dalam pelbagai bidang keilmuan dan sentiasa menjawab persoalan agama kontemporari. Karya-karya beliau kini sedang dikaji semula dan akan diterbitkan serta diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa.

Tokoh ketiga pula ialah Ayatollah Shahrastani – seorang alim besar yang masih belum dikenali luas, namun sangat penting untuk dikenali oleh generasi muda agar mereka dapat mengambil panduan ke arah masa depan yang lebih baik.

Akhirnya, Ayatollah A'rafi menyebut mengenai persidangan sempena ulang tahun ke-100 penubuhan hauzah-hauzah ilmiah dan menyatakan bahawa pesanan penting daripada Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam adalah titik tumpu utama bagi hala tuju masa depan institusi-institusi ilmu agama.

Kongres Antarabangsa “Umana’ al-Rusul” Akan Diadakan di Iran, Iraq dan Lubnan

4296420

captcha