IQNA

Mesir Lancarkan Pertandingan Pencarian Bakat al-Quran Terbesar

0:50 - August 18, 2025
Berita ID: 3106886
IQNA - Kementerian Awqaf Mesir dengan kerjasama syarikat perkhidmatan media “al-Mutahidah” «المتحده» telah melancarkan pertandingan televisyen terbesar khusus bagi pencarian dan pengenalan bakat Qurani dalam bidang bacaan al-Quran di negara tersebut.

Lporan IQNA, memetik Sada al-Balad «صدی البلد»; Kementerian Awqaf Mesir menganjurkan pertandingan ini dengan tujuan mengenal pasti serta menyokong bakat terbaik dalam tilawah al-Quran di Mesir, di samping memperkukuh kedudukan negara itu sebagai pusat unggul qiraat.

Kerjasama ini merupakan hasil koordinasi berterusan selama beberapa bulan lalu. Syarikat al-Mutahidah ditugaskan untuk melaksanakan semakan teknikal khas bagi program ini yang akan disiarkan melalui saluran satelit milik syarikat tersebut, dengan pengawasan langsung daripada Kementerian Awqaf Mesir.

Pada bulan Jun yang lalu, Osama al-Azhari «اسامه الازهری», Menteri Awqaf Mesir, telah bertemu dengan Ahmed Faiq «احمد فایق», Ketua Bahagian Program syarikat al-Mutahidah, bagi membincangkan butiran akhir program. Dalam pertemuan itu, dipersetujui satu pendekatan bersama untuk menyampaikan program ini dengan sebaik mungkin.

Program televisyen ini, dalam bentuk pertandingan, bertujuan memperkenalkan generasi baru qari terkenal Mesir yang membaca dengan gaya para qari agung negara tersebut seperti Ustaz Abdul Basit, al-Minshawi «استاد عبدالباسط», dan Mustafa Ismail «مصطفی اسماعیل».

Pertandingan ini juga memberi penekanan kepada sokongan bakat-bakat baharu Mesir dalam usaha memperkukuh peranan serantau dan antarabangsa negara itu dalam menyebarkan risalah al-Quran.

Jawatankuasa ilmiah yang terdiri daripada ulama dan pakar Mesir akan memantau pertandingan ini bagi memilih bakat terbaik dari seluruh wilayah berdasarkan kriteria ketat penjurian, termasuk husn al-saut (kelunakan suara) dan ketepatan tilawah.

Pertandingan ini terbuka kepada semua peringkat umur, termasuk imam solat berjemaah dan individu yang memiliki bacaan merdu. Antara syarat penyertaan ialah penguasaan penuh hukum tajwid, memilih salah satu cabang tilawah tartil atau tajwid, tidak bernaung di bawah qari atau munshid yang diiktiraf radio, serta tidak memiliki pengesahan rasmi sebagai qari Kementerian Awqaf Mesir.

Peringkat saringan wilayah bagi pertandingan ini bermula pada hari Sabtu, 16 Ogos 2025 (25 Muharram 1447 H) di semua wilayah Mesir dan akan berlanjutan sehingga 3 September 2025.

Sebanyak 4,708 peserta akan mengambil bahagian dalam pertandingan ini, manakala saringan pusat akan diadakan dari 6 hingga 11 September 2025 dengan penyertaan 300 peserta di Akademi Antarabangsa Awqaf Mesir.

Selain itu, 28 peserta akhir pada 25 September akan mengikuti latihan khas mengenai kemahiran berhadapan dengan kamera, dan selepas itu pusingan akhir pertandingan akan diadakan pada bulan Oktober 2025.

4300160

captcha