IQNA

Majlis Perasmian Persidangan Perpaduan Islam Antarabangsa ke-39

15:36 - September 08, 2025
Berita ID: 3106981
IQNA - Shahriari: Perpaduan Islam pada hari ini merupakan suatu keperluan yang tidak dapat dielakkan di medan amal. Setiausaha Agung Majma‘ Jahani Taqrib Mazahib Islami pada pagi ini, dalam majlis perasmian Persidangan Perpaduan Islam Antarabangsa ke-39, menegaskan bahawa perpaduan Islam di medan tindakan pada masa kini adalah suatu keperluan yang tidak boleh dinafikan. Beliau berkata: “Hari ini, Republik Islam Iran bukanlah satu-satunya negara yang mengibarkan panji perpaduan, bahkan kita menyaksikan perkembangan wacana taqrib dan perpaduan di Mesir, Arab Saudi, Turki, serta negara-negara Islam lain.”

Laporan IQNA; Majlis perasmian Persidangan Perpaduan Islam Antarabangsa ke-39 berlangsung pada pagi Isnin, 8 September, dengan kehadiran Presiden Masoud Pezeshkian 《مسعود پزشکیان》. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran serta nyanyian lagu kebangsaan Republik Islam Iran di Dewan Persidangan Antarabangsa Tehran.

Pada awal persidangan ini, Hujjatul Islam wal Muslimin Hamid Shahriari 《حجت‌الاسلام و المسلمین حمید شهریاری》menyampaikan ucapan yang antara lain berbunyi:

“Saya mengucapkan tahniah sempena hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta kelahiran Imam Ja‘far al-Sadiq (a.s.) kepada semua tetamu yang mulia serta para hadirin terhormat di Persidangan Perpaduan Islam Antarabangsa ke-39. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Presiden Republik Islam Iran yang sudi menerima jemputan kami. Selamat datang saya ucapkan kepada semua ulama dan cendekiawan yang hadir, khususnya tetamu yang datang dari luar negara dan luar Tehran.”

Persidangan Perpaduan Islam Antarabangsa ke-39 ini diadakan dengan tema “Nabi Rahmah dan Perpaduan Umat” dengan penekanan khas terhadap isu Palestin. Tahun ini bertepatan dengan ulang tahun ke-1500 kelahiran penuh keberkatan Rasulullah SAW. Atas sebab itu, tahun ini dinamakan serta dihiasi dengan gelaran “Nabi al-Rahmah” «نبی الرحمة». Di Republik Islam Iran, satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi meraikan peristiwa agung ini secara meriah, dan perayaan tersebut bermula dengan persidangan ini.

Matlamat asas kami dalam lima edisi persidangan yang lalu ialah menggerakkan masyarakat Islam menuju konsep al-Quran dan cita-cita Ummatan Wahidah; membentuk kesatuan negara-negara Islam sehingga sempadan geografi menjadi halus, mata wang Islam yang bersatu dapat digunakan, serta sebuah majlis bersama yang mampu meluluskan undang-undang dan peraturan konsensus berfungsi dalam kesatuan ini.

Dalam detik bersejarah yang penuh cabaran ini, tatkala dunia sedang berdepan pertentangan jelas antara hak dan batil, kami menekankan perkara berikut:

Teori “Perpaduan Islam” dibina atas prinsip kesepakatan dalam perkara yang disepakati, serta kelonggaran dalam perkara khilaf. Kesepakatan ini berlandaskan konsep al-Quran seperti wilayat Ilahi, ketaatan kepada Nabi, perkhidmatan sebagai satu umat, berpegang teguh pada tali Allah, islah dengan pendekatan pertengahan, ukhuwah imani, dan meninggalkan pertelingkahan syaitan. Kelonggaran pula didasarkan pada prinsip keharusan ijtihad dalam furu‘, etika berbeza pandangan, serta saling menghormati kepercayaan.

Hari ini, “Perpaduan Islam” «وحدت اسلامی» di medan amal juga telah menjadi suatu keperluan yang tidak boleh disangkal. Konsensus negara-negara Islam mengenai kewajipan untuk berpegang teguh kepada perpaduan sedang terbentuk. Setelah hampir 40 kali persidangan ini dianjurkan, kini kita menyaksikan persidangan serupa turut diadakan di negara-negara Islam lain. Republik Islam Iran bukan lagi satu-satunya negara yang mengibarkan panji perpaduan. Hari ini, wacana taqrib dan perpaduan berkembang di Mesir dengan pusatnya Universiti al-Azhar, di Arab Saudi melalui Rabitah al-‘Alam al-Islami, di Turki dengan Diyanet, dan juga di negara-negara Islam lain. Wacana taqrib dan perpaduan kini mengatasi wacana takfiri dan perpecahan, sementara para pendukung fahaman kedua telah tersisih di pinggiran dunia Islam.

Ini membuktikan pandangan jauh Waliyyul Amr al-Muslimin, Imam Khamenei (hafizahullah) 《مقام معظم رهبری امام خامنه‌ای -مد ظله العالی》, dalam menubuhkan Majma‘ Jahani Taqrib Mazahib Islami 《مجمع جهانی تقریب مذاهب اسلامی 》, serta kejayaan Republik Islam Iran dalam membawa wacana taqrib dan perpaduan selama empat dekad. Ia merupakan peluang luar biasa bagi dunia Islam bahawa kini pelbagai mazhab Islam, dengan menggunakan konsep rasional, dapat mengeluarkan kenyataan bersama dalam pelbagai persidangan. Perkara ini mesti dihargai, negara-negara Islam pelopor mesti diberi penghargaan, pencapaian berharga ini mesti dijaga, dan dengan kerjasama semua negara Islam, tamadun Islam moden harus dizahirkan.

Hari ini, Palestin adalah kompas penentu hak dan batil dalam dunia yang penuh kegelapan. Para penzalim dunia berganding bahu melakukan pembunuhan beramai-ramai secara terang-terangan di hadapan mata seluruh dunia. Zionis kejam telah mengatasi kekejaman sejarah dengan menjatuhkan bahan letupan tujuh kali ganda lebih dahsyat daripada bom atom Hiroshima ke atas rakyat Gaza yang tidak berdosa; mereka meruntuhkan rumah, sekolah, hospital dan masjid; mereka membunuh kanak-kanak, wanita, warga tua, pasukan penyelamat dan wartawan, lalu menamakannya sebagai pertahanan diri mereka. Kezaliman perang ini telah membangkitkan kesedaran masyarakat bebas dunia untuk menegaskan perpaduan berdasarkan nilai-nilai kemanusiaan bersama, membela Palestin yang tertindas, berbicara tentang maruah insan, melaungkan keadilan yang rasional, dan bangkit demi keselamatan global. Kini, maruah, keadilan, dan keselamatan menjadi tuntutan semua mustaz‘afin di dunia dan telah mencabar para mustakbirin. Inilah perpaduan kemanusiaan, bahkan melangkaui perpaduan Islam, yang bangkit demi kemanusiaan dan nilainya. Satu fenomena baru sedang terbentuk di dunia dan wacana muqawamah kian berkembang secara global. Inilah cita-cita Imam Khomeini (qaddasallahu sirrah) yang pada awal revolusi menjadikannya sebagai slogan Republik Islam, dan menegaskan bahawa semua pemimpin negara mesti membela hak-hak mustaz‘afin serta berkhidmat kepada mereka.

Walaupun para mustakbirin berusaha melemahkan golongan mustaz‘afin, akhirnya mereka yang tertindas akan muncul sebagai pemimpin keadilan dunia dengan iman, kesabaran, taqwa, serta menjaga perpaduan, bersandarkan pada kehendak Ilahi yang pasti, janji yang benar, dan kekuasaan Allah yang tidak terbatas. Mereka akan mengalahkan para penzalim dan mustakbirin, serta menjadi pewaris bumi.

Perang paksaan selama 12 hari telah mendatangkan kerugian yang amat besar, mensasarkan para ilmuwan dan panglima Islam Iran, serta mengorbankan lebih seribu warga tidak bersalah. Inilah harga yang dibayar oleh Republik Islam Iran dalam mempertahankan bangsanya sendiri dan bangsa Palestin. Namun pada masa yang sama, musuh kejam turut menanggung kerugian yang belum pernah terjadi. Kehebatan palsu “Kubah Besi” rejim Zionis runtuh, kelemahan mereka tersingkap di depan seluruh dunia, maruah Arab-Islam kembali hidup, lengkungan peluru berpandu Iran menjadi slogan bergambar di tangan para peziarah Arba‘in, dan ia menyebar luas di dunia Islam. Selain itu, berlaku pengunduran pelabur, penghentian penerbangan Tel Aviv dan Haifa, terhentinya pengeluaran dan eksport, ketidakpuasan dalaman, panik nasional kerana kegagalan amaran pencegahan, ketidakamanan wilayah bagi pendatang, penghijrahan songsang, kehilangan kredibiliti antarabangsa, kerugian 40 bilion dolar, kekalahan media, runtuhnya projek normalisasi dan “Deal of the Century”, serta konsensus global menentang rejim ini – semua itu adalah tanda-tanda kehancuran Israel yang semakin hampir.

Kini, unilateralism kuasa zalim dunia yang diketuai Amerika Syarikat telah mencetuskan suara bantahan dan keluhan masyarakat dunia, bahkan dari kalangan warga Barat sendiri. Amerika, dengan menyokong rejim kejam pembunuh kanak-kanak, telah melelong kehormatannya sendiri di hadapan sekutu Barat. Ia tidak setia kepada sebarang perjanjian antarabangsa, dan tidak konsisten pada sebarang janji.

Unilateralism yang berpunca daripada kepentingan politik dan moral ini, meskipun muncul di medan teori dengan slogan liberalisme individualistik dan hak asasi manusia, tetapi dalam realitinya mengorbankan seluruh hak asasi manusia demi kepentingan kelompok mereka sendiri. Darah ribuan insan tidak berdosa ditumpahkan dan keselamatan global dipertaruhkan.

Para pendukung multilateralisme dengan penekanan kepada maruah dan kehormatan insan, keselamatan nasional, serta keadilan global, kini telah bergabung. China, Rusia, India dan Iran, yang memiliki hampir separuh daripada populasi dunia, dalam Perjanjian Shanghai dan perjanjian serantau lain, bangkit menghadapi sekatan zalim, tarif unilateral dan penilaian tidak adil, untuk menghadapi ancaman bersama, meningkatkan kepercayaan antarabangsa, menyokong kedaulatan negara, terlibat dalam projek infrastruktur pengangkutan dan tenaga, memperkukuh interaksi budaya, menguatkan integrasi serantau, mengembangkan kerjasama saintifik dan teknologi, memperluas perdagangan dan kewangan, serta mengakhiri hegemoni Barat dalam pasaran global. Kita mampu dengan membina sistem dunia baru ini, mengembalikan kemuliaan kepada insan, memperluas muqawamah terhadap penguasa zalim dunia, serta membangunkan semula keselamatan dan keadilan sejagat.

Majlis Perasmian Persidangan Perpaduan Islam Antarabangsa ke-39

Dalam sesi lain persidangan ini, antara yang berucap ialah Aziz Hasanović, Mufti Besar Croatia; Sayyid Ammar al-Hakim, pemimpin Gerakan al-Hikmah Iraq; Sahibzada Abu al-Khair, Ketua Majlis Solidariti Nasional Pakistan; Syeikh Ali al-Khatib, Naib Ketua Majlis Tinggi Islam Syiah Lubnan; Syeikh Mahdi al-Sumaidaie, Mufti Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah Iraq; Salah Wakhs, wakil Nabih Berri, Ketua Parlimen Lubnan; serta Maulavi Nazir Ahmad Salami, ahli Majlis Tertinggi Majma‘ Taqrib Mazahib Islami dan ahli Majlis Khobregan Rahbari dari wilayah Sistan dan Baluchistan.

Selepas itu, Presiden Masoud Pezeshkian menyampaikan ucapan dengan merujuk kepada ayat: “Kana al-nasu ummatan wahidah…” «کانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً…»Beliau berkata: “Setiap hari kita mendirikan solat dan memohon kepada Allah agar ditunjukkan jalan yang lurus. Ketika Nabi SAW tiba di Madinah, tindakan pertama baginda ialah menyuruh suku-suku dan kaum yang telah lama berperang serta bermusuhan supaya mengikat tali persaudaraan, dan ikatan ini terbentuk dalam solat yang sama.”

Pezeshkian menambah: *“Mudah untuk mengucapkan kata-kata: bangkitlah dan jadilah bersaudara, tetapi mereka sehingga semalam masih membunuh dan menawan sesama sendiri. Rasulullah SAW bersabda: ‘Jadilah kamu bersaudara.’ Langkah pertama kejayaan baginda adalah menyeru musuh ketat menjadi saudara. Selepas 10 tahun, ketika Makkah dibuka dan berhala-berhala dihancurkan, baginda bersabda: ‘Innama al-mu’minuna ikhwatun; sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara, «إنما المؤمنون إخوة؛»”.

Beliau menambah: “Sekiranya masyarakat Islam bersatu, Amerika, Israel atau mana-mana negara lain tidak akan berani menceroboh umat Islam dan mengabaikan hak-hak mereka. Masalah utama kita ialah perpecahan dan pertelagahan dalaman; oleh itu kita mesti bermula daripada diri sendiri. Jika kita mampu melaksanakan kesatuan dan keterikatan sebagaimana yang diperintahkan Rasulullah SAW, tiada kuasa mana pun yang akan berani mencetuskan tragedi terhadap umat Islam.”

Pezeshkian menyatakan: “Apabila sesuatu berlaku di negara-negara Islam, mereka mengatakan hak asasi manusia telah dicabuli; hak asasi manusia yang mana? Hak asasi yang tidak mengasihani kanak-kanak, wanita, orang tua dan orang sakit, malah melakukan pembunuhan beramai-ramai? Imam Husain (AS) di Karbala bersabda: ‘Kūnū aḥrāran fī dunyākum’ — jadilah insan merdeka jika kamu tiada agama. Yang bersalah ialah kita sendiri kerana berpecah-belah. Mereka pula mengambil kesempatan daripada perpecahan ini; mencetuskan konflik, menjual senjata, merampas minyak kita, dan menyibukkan kita dengan persengketaan dalaman.”

Beliau menegaskan: “Kami tidak akan berselisih dengan mana-mana negara Islam, dan dengan segala kekuatan kami berpegang teguh kepada perpaduan serta kesepaduan Islam. Umat Islam mesti menjadi satu tangan yang bersatu. Imam Ali (AS), dalam wasiat beliau yang merupakan intisari daripada seumur hidupnya, bersabda: ‘Uṣīkumā wa jamī‘a waladi wa ahli wa man balaghahu kitābī bi-taqwā Allāh wa naẓmi amrikum wa ṣalāḥ dhāti baynikum.’ — Aku wasiatkan kamu berdua, seluruh anak-anakku, keluargaku, dan sesiapa yang menerima suratku, agar bertakwa kepada Allah, menyusun urusanmu, dan memperbaiki hubungan sesama kamu.’ Apakah ertinya engkau solat tetapi bertengkar? Engkau berpuasa tetapi bertengkar? Sedangkan puasa dan solat itu adalah untuk perpaduan.”

Selepas itu, pesanan Ayatullah al-‘Uzma Makarem Shirazi telah dibacakan pada majlis perasmian Persidangan Perpaduan Islam Antarabangsa ke-39.

Majlis Perasmian Persidangan Perpaduan Islam Antarabangsa ke-39

Pelancaran 10 judul karya yang dihasilkan oleh Pusat Penyelidikan Majma‘ Jahani Taqrib Mazahib dalam tempoh setahun yang lalu turut berlangsung dengan kehadiran Presiden Republik Islam Iran. Antaranya ialah:

Muhammad (SAW) Pesuruh Rahmat dan Umat; Hubungan Asasi Akhlak Nabawi dengan Struktur Ketamadunan dan Pembinaan Umat karya Mohsen Madani-Nejad,

Imam Ali (AS) dan Perpaduan Islam; Kajian tentang Perpaduan dalam Sirah dan Ucapan Imam Ali (AS) karya Mohammad Ali Mashaikhi-Pour,

Pengenalan kepada Aliran Keagamaan di Tunisia oleh Khalil Alami,

Pengenalan kepada Aliran Keagamaan di Iraq karya Mostafa Eskandari,

Ringkasan Makalah-makalah Persidangan Perpaduan Islam Antarabangsa ke-39,

Al-Ta‘āmul ma‘a al-Quran al-Karim fi al-Fiqh al-Islami karya Ali Zangeneh,

Kedudukan Ahlul Bait menurut Ahl al-Sunnah oleh Ayatullah Sayyid Kazem Mostafavi,

Fiqh Orang Kelainan Upaya Kontemporari karya Mohsen Madani-Nejad, ‘Alaqah al-‘Itrah ma‘a al-Sahabah; Hakikat atau Khurafat oleh Shawqi Shalabaf, dan Jami‘ al-Ahkam karya Sheikh Hassan Alami.

Menurut laporan, dalam persidangan kali ini, lebih daripada 210 tokoh dalam dan luar negara hadir, termasuk lebih 80 ulama terkemuka antarabangsa yang terdiri daripada menteri, mufti-mufti besar, penasihat presiden, timbalan dan ketua organisasi Islam besar, serta bekas perdana menteri dan bekas menteri negara-negara Islam.

Selain itu, dalam persidangan kali ini juga akan diadakan majlis pelancaran buku-buku bertema taqrib, penyampaian pesanan daripada marja‘ taqlid agung, pertemuan ulama wanita antarabangsa dan tempatan, serta sesi perbincangan dengan kehadiran ulama dalam negeri.

Di samping itu, kira-kira 200 webinar turut dijadualkan, melibatkan ucapan-ucapan rakaman daripada ulama yang tidak dapat hadir dalam persidangan ini tetapi telah menghantar teks ucapan mereka.

Perlu diingat, Persidangan Perpaduan Islam Antarabangsa ke-39 ini sedang berlangsung di Tehran dari 6 hingga 10 September.

4303827

captcha