IQNA

Penganjuran Pameran Antarabangsa Kedua “Dunia al-Quran” di Moscow

19:03 - September 15, 2025
Berita ID: 3107023
IQNA - Pameran Antarabangsa Interaktif Kedua “Dunia al-Quran” dengan kerjasama Qatar telah diadakan di Masjid Agung Moscow, ibu negara Rusia.

Laporan IQNA, memetik akhbar Al-Rayah 《الرایه》 , pameran ini dibuka pada hari Jumaat, 12 September 2025  di Masjid Agung Moscow. Majlis perasmian dihadiri oleh Sheikh Ravil Ainuddin, Mufti Besar Rusia dan Pengerusi Pentadbiran Hal Ehwal Agama Muslim Persekutuan Rusia; Ahmad bin Nasser bin Jassim Al Thani, Duta Qatar ke Rusia; serta beberapa pegawai Kementerian Wakaf Qatar dan Tatarstan.

Dalam ucapannya, Mufti Rusia menyatakan bahawa pameran “Dunia al-Quran” bukan sahaja mengisahkan tentang turunnya al-Quran dan menyeru kepada pemeliharaannya, bahkan turut menonjolkan keagungan seni khat Arab serta kekuatan bacaan tilawah secara langsung. Ia juga menanamkan nilai-nilai abadi dan luhur seperti keamanan, rahmat dan keadilan dalam hati masyarakat.

Beliau menambah bahawa kerjasama antara Pentadbiran Hal Ehwal Agama Muslim Persekutuan Rusia dengan Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar dalam pameran ini merupakan contoh usaha diplomasi rohani yang menyatukan bangsa-bangsa, memperkukuh kepercayaan dan berkhidmat demi cita-cita keamanan.

Sheikh Ravil Ainuddin menegaskan lagi bahawa kegiatan sebegini menyampaikan mesej kepada para pemuda umat Islam bahawa berpegang teguh kepada Kitab Allah membawa kesihatan, kebahagiaan dalam kehidupan, dan menerangi jalan manusia.

Seterusnya, Sheikh Abdul Rashid Sheikh Sufi, seorang qari dan pendakwah dari Qatar, menyampaikan ceramah bertajuk *Keutamaan al-Quran*, dan para peserta turut menunaikan solat Jumaat di Masjid Agung Moscow.

Perlu disebutkan bahawa pameran Dunia al-Quran ini diadakan dalam rangka kerjasama budaya dan agama antara Qatar serta Persekutuan Rusia. Dalam edisi keduanya yang berlangsung sehingga 6 Oktober 2025 , empat buah bandar iaitu Moscow, Saratov, Saransk dan Kazan menjadi tuan rumah bagi program-programnya.

Sementara itu, edisi pertama pameran ini telah dianjurkan pada November 2024, hanya di Moscow sahaja.

4305127

tanda nama: pameran Al-Quran Moscow
captcha