IQNA

Seorang Gadis Palestin Menghafaz al-Quran Sepenuhnya di Hospital Walaupun Mengalami Kecederaan Parah

11:26 - October 04, 2025
Berita ID: 3107086
IQNA - Seorang gadis Palestin yang cedera berjaya mengkhatamkan hafazan al-Quran sepenuhnya ketika sedang dirawat di hospital.

Laporan IQNA, memetik Al Jazeera; Reem Abu Odeh, seorang gadis Palestin, berjaya menghafaz keseluruhan al-Quran ketika berada di atas katil hospital, walaupun mengalami kecederaan serius akibat pengeboman dan kemusnahan besar di Khan Younis, Semenanjung Gaza.

Reem memberitahu Al Jazeera bahawa perjalanan beliau dalam menghafaz al-Quran adalah satu pengalaman yang indah namun sukar. Beliau menyempurnakan hafazan ini sebagai hadiah kepada roh ibunya yang telah syahid, walaupun kecederaannya membuatkan dirinya amat lemah dan keletihan.

Beliau berkata: "Saya merancang untuk menamatkan hafazan al-Quran pada hari ulang tahun kematian ibu saya, iaitu pada 24 Ogos tahun lalu, tetapi saya telah cedera pada 22 Ogos. Oleh itu, saya menyelesaikan hafazan itu kemudian. Alhamdulillah, saya telah menghafaz al-Quran sepenuhnya."

Mengenai kecederaan yang dialaminya, Reem menjelaskan bahawa mereka telah melarikan diri ke kawasan yang diisytiharkan 'selamat' oleh penjajah, namun khemah berhampiran telah dibom dan menyebabkan beliau mengalami kecederaan akibat serpihan bom yang mencederakan bahagian perutnya. Rawatan beliau mengambil masa hampir sebulan.

Kakaknya, Safaa Abu Odeh, menceritakan bahawa Reem menyempurnakan hafazan al-Quran di atas katil hospital. Beliau berkata: “Reem membaca al-Quran ketika di hospital dan para doktor sangat terkejut dengan ketabahan dan kekuatannya.”

Reem mengucapkan terima kasih kepada kakaknya, yang dianggap sebagai penyokong utama dan segalanya dalam hidupnya. Kini, Reem sedang bersedia untuk menghadapi peperiksaan akhir sekolah menengah pada bulan ini, dan menegaskan bahawa al-Quran adalah motivasi utamanya untuk terus bertahan dalam menghadapi kekejaman perang ini.

Atas ketabahan dan kegigihannya dalam menghafaz al-Quran, Reem telah diberi penghargaan oleh Pusat Habib Muhammad Gaza.

4308427

tanda nama: hafizah Gaza Palestin
captcha