IQNA

Peringkat Akhir Musabaqah al-Quran Peringkat Kebangsaan Iran Bertemakan “al-Quran, Kitab Perpaduan” Akan Diadakan di Kurdistan

11:03 - October 13, 2025
Berita ID: 3107131
IQNA - TEHRAN: Peringkat akhir Musabaqah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-48 anjuran Pertubuhan Wakaf dan Hal Ehwal Kebajikan Iran akan diadakan di wilayah Kurdistan dengan tema “al-Quran; Kitab Perpaduan”, mulai 17 hingga 27 Oktober 2025 (bersamaan 26 Mehr hingga 5 Aban 1404 HS kalendar Iran).

Laporan IQNA; Hamid Majidimehr «حمید مجیدی‌مهر», Ketua Pusat Hal Ehwal al-Quran Pertubuhan Wakaf, dalam sidang media hari Ahad, 12  Oktober, mengumumkan bahawa pertandingan ini akan disertai oleh 330 peserta lelaki dan wanita dalam dua bahagian utama — bahagian bacaan (qira’at) dan bahagian Nada-nada al-Quran (naghamat) — dan akan berlangsung di kota Sanandaj, ibu negeri Kurdistan.

Majidimehr pada permulaan sidang media tersebut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran pertandingan di peringkat pusat dan di wilayah Kurdistan. Beliau memaklumkan bahawa majlis perasmian akan diadakan pada 17 Oktober dan majlis penutup 27 Oktober di Sanandaj.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan penganjuran musabaqah ini hasil daripada pengorbanan para pewakaf yang telah mewakafkan harta, aset dan perkhidmatan mereka demi penyebaran dan kemuliaan al-Quran. Katanya, “Segala kemudahan wakaf yang dimiliki pertubuhan ini digunakan dengan penuh amanah, dan meskipun kami berusaha menggunakan teknologi moden dalam acara Qurani, prinsip penjimatan dan pengurusan berhemah tetap diutamakan.”

Ketua Pusat Hal Ehwal al-Quran itu menjelaskan bahawa Musabaqah al-Quran Kebangsaan ini merupakan pertandingan al-Quran terbesar dan paling inklusif di Iran. Tidak seperti pertandingan khusus yang diadakan untuk golongan tertentu, musabaqah anjuran Pertubuhan Wakaf ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat.

Majidimehr turut menyatakan bahawa penganjuran kali ini diadakan dengan tema “al-Quran, Kitab Perpaduan”, dan beberapa tahun kebelakangan ini pertandingan tersebut secara rasmi dikenali sebagai Musabaqah Rasmi al-Quran Republik Islam Iran.

Beliau mendedahkan bahawa dalam peringkat daerah, seramai 61,000 orang telah mendaftar untuk menyertai, termasuk 24,000 peserta lelaki dan 37,000 peserta wanita. Tahun ini juga menyaksikan penyertaan besar-besaran masyarakat Sunni, dengan lebih daripada 4,000 peserta daripada mazhab tersebut.

Selain bahagian pertandingan, beliau menambah bahawa 120 majlis tilawah dan perhimpunan al-Quran (mahafil al-Quran) akan diadakan di pelbagai daerah di wilayah Kurdistan. Sejak 6 Oktober, majlis-majlis tersebut telah bermula dengan penyertaan 16 qari antarabangsa. Menurut beliau, dengan sambutan yang tinggi daripada penduduk tempatan, dijangka jumlah majlis akan meningkat kepada 200 buah mahafil sepanjang tempoh penganjuran.

Peringkat Akhir Musabaqah al-Quran Peringkat Kebangsaan Iran Bertemakan “al-Quran, Kitab Perpaduan” Akan Diadakan di Kurdistan

4310177

captcha