IQNA

Hamas bincang gencatan senjata, pertukaran tahanan dengan Israel

12:30 - October 03, 2021
Berita ID: 3100233
TEHRAN (IQNA) - Beberapa hari lalu, pemimpin Hamas menyatakan mereka memberikan pelan cadangan kepada pihak Mesir untuk mencapai perjanjian pertukaran tahanan dengan Israel.

Pemimpin Hamas akan berbincang dengan Israel di ibu negara Mesir, Kaherah hari ini untuk gencatan senjata di Semenanjung Gaza dan kemungkinan pertukaran tahanan, kata seorang pegawai kanan, semalam.

Agensi berita Xinhua melaporkan, pemimpin Hamas di Semenanjung Gaza, Yahya Sinwar, dalam ciapannya memaklumkan beliau akan menyertai delegasi Hamas yang diketuai oleh ketua politburo gerakan itu, Ismail Haniyeh, yang akan pergi ke Kaherah hari ini untuk bertemu dengan pegawai kanan perisik keselamatan Mesir.

"Rundingan dengan pegawai Mesir akan menangani isu gencatan senjata dan isu perjanjian pertukaran tahanan yang mungkin dicapai antara puak Palestin dan Israel," tambah Sinwar.

Pada 10 Mei, Israel melancarkan serangan ketenteraan di Semenanjung Gaza yang berlangsung selama 11 hari sebagai tindak balas terhadap pelancaran roket ke arah Israel.

Serangan itu berakhir selepas Mesir dan perantara lain mengusahakan gencatan senjata antara Israel dan Hamas.

Sejak itu, gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang diatur Mesir itu semakin longgar dan dilanggar beberapa kali oleh Hamas yang didakwa menembak roket dan aktivis yang melancarkan belon api ke arah Israel.

Israel mendakwa, sebagai tindak balas, ia melakukan serangan udara ke atas kemudahan dan pos militan, yang kebanyakannya adalah dari sayap bersenjata Hamas.

Beberapa hari lalu, pemimpin Hamas menyatakan mereka memberikan pelan cadangan kepada pihak Mesir untuk mencapai perjanjian pertukaran tahanan dengan Israel.

Mereka menyatakan bahawa Hamas bersedia untuk secara tidak langsung merundingkan perjanjian dengan Israel melalui orang tengah.

bharian.com

captcha