"Saya baik-baik saja, segala puji bagi Tuhan, dan saya menggesa supaya semua orang bertenang dan mengawal diri demi kebaikan Iraq," tulis al-Kadhemi di Twitter, selepas sebuah dron menyasarkan rumahnya ketika ketegangan politik memuncak di negara itu.
Al-Kadhemi, yang sudah dipindahkan ke lokasi yang selamat, menyokong pasukan keselamatan untuk memastikan keselamatan negara dan menegakkan undang-undang.
Pasukan keselamatan Iraq sedang melakukan siasatan menyeluruh berkaitan serangan dron, menurut Al Arabiya, yang turut menyiarkan klip bunyi seperti tembakan dari Baghdad.
Al-Kadhemi pada Jumaat lalu mengarahkan pembentukan jawatankuasa untuk menyiasat pertempuran antara pasukan keselamatan Iraq dan penyokong parti yang mempertikaikan keputusan pilihan raya umum pada Oktober lalu.
Dalam tunjuk perasaan itu, seorang individu yang menyertai demonstrasi itu terbunuh dan kira-kira 100 cedera selepas beratus-ratus penyokong kumpulan separa tentera, Hashed Al-Shaabi yang pro-Iran berhimpun berhampiran kawasan Zon Hijau di bandar raya ini melontar objek dan menghalang laluan sebelum dileraikan oleh pasukan keselamatan.
Kumpulan separa tentera pro-Iran itu mendakwa pasukan keselamatan menggunakan peluru hidup dalam mengawal tunjuk perasaan, tetapi Kementerian Kesihatan Iraq menafikan dakwaan itu.
Sebaliknya, kementerian itu melaporkan 125 individu cedera dengan sebahagian besarnya ada pasukan keselamatan.
Ratusan penyokong kumpulan itu turut mengadakan demonstrasi di Zon Hijau, di kawasan kediaman rasmi Perdana Menteri sambil membakar potret Kadhemi dan menggelarnya penjenayah.
Pengundi di Iraq membelakangkan Perikatan Fatah yang menyokong kumpulan itu sebelum ini, sehingga mengurangkan bilangan kerusi mereka di Parlimen kepada 14 kerusi pada pilihan raya bulan lalu, berbanding 48 kerusi sebelum ini.
Perikatan itu terdiri daripada calon kumpulan Hashed Al-Shaabi, yang menduduki tempat kedua dalam pilihan raya itu dalam apa yang dilihat sebagai bukti pengaruh Tehran yang semakin meningkat.
Itu mencetuskan tindak balas apabila ratusan ribu rakyat Iraq turun ke jalan dalam protes "Tishreen" terhadap rasuah, pengangguran dan pengaruh asing.