Sudah tentu ianya berbeza dahulu dan kini. Kita mesti sedar bahawa tugas serta tanggungjawab semakin besar dan semestinya setiap perbezaan pandangan hendaklah bersifat ke arah jalinan persefahaman dalam usaha menyatukan ummah.
Memetik ucapan Timbalan Presiden PAS, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat
“Kita tegas bahawa muafakat kita jauh lebih besar, bukan hanya kerangka parti politik dalam pilihan raya. Umat ini perlu disatukan dengan agenda besar, bukan hanya kerusi…”
Sambung kerja belum selesai
Oleh sebab itu, kita sering diingatkan bahawa perjalanan sebuah perjuangan itu amatlah panjang. Usah berlengah, terus bekerja dengan memanfaatkan posisi dan kepakaran masing-masing agar dapat mengecapi kemenangan Islam yang sebenar.
“Wahai anak muda, teruskan perjuangan selepas ini, mungkin kemenangan bukan berlaku pada zaman saya, mungkin kemenangan berlaku pada zaman kamu semua.
“Tetapi saya mengimpikan untuk melihat Islam menang pada zaman saya, impian saya adalah untuk melihat Islam berdaulat,” demikian kata-kata penutup yang diucapkan Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika perhimpunan pasca PRU13.
Maka, amanah kerja perjuangan tersebut terletak di bahu kita semua. Marilah kita melaksanakan tugasan dengan istiqamah dan tekun yang Insya-Allah akan memberikan kesan positif iaitu keberkatan dan keredaan Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud,
“Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.”
(Al-Hadiid: 21)
Penyatuan dalam mengukuhkan ukhuwah
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(al-Anfaal: 63)
Umat Islam wajib menyokong apa juga usaha untuk menyatu padukan ummah atas dasar akidah dan wajib mendahulukan sangkaan baik kepada perpaduan ini dimulai dengan ukhuwah. Penghayatan ukhuwah Islamiah memerlukan ilmu, kefahaman dan jiwa yang besar dalam kalangan umat Islam.
Ukhuwah atau persaudaraan merupakan nikmat dari kekuatan iman dan ketakwaan yang melahirkan perasaan kasih sayang yang mendalam, rasa saling percaya mempercayai dan hormat-menghormati, sesama insan yang terikat dengan akidah Islamiah.
Tambahan pula apabila berada dalam gerakan Islam, sudah tentu ukhuwah menjadi asas penting untuk memastikan legasi perjuangan semakin utuh bagi memacu perpaduan.
Ukhuwah Islamiah memerlukan pengorbanan diri, harta, jiwa dan perasaan. Ukhuwah Islamiah bukan mengenai berapa layanan dan kemuliaan yang telah kita terima, tetapi lebih kepada berapa jumlah senyuman, bantuan dan kemuliaan yang telah diberikan.
Tanggungjawab terhadap jemaah
Justeru, jangan membiarkan sahabat berseorangan bekerja sebaliknya kita saling lengkap melengkapi dengan menghulurkan tangan membantu dalam apa jua keadaan. Kebersamaan itu akan mengukuhkan jemaah.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”
(as-Saff: 4)
Semoga kita semua istiqamah dalam memenuhi tanggungjawab terhadap jemaah dan setia bersama. Walaupun sebagai seorang ahli biasa, kalian tetap mesti memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda besar Tarbiyah, Dakwah dan Siasah.
Selamat bermuktamar kepada semua muktamirin daripada PAS Pusat, Dewan-dewan dan Kawasan seluruh Malaysia. Seeru ‘Ala Barakatillah.
“Legasi Perjuangan”
“Memacu Perpaduan”
“Islam Menyatukan Ummah”
harakahdaily.net