Ya, kita tidak membiarkan diri kita menjadi 'slaves to the west' walaupun ramai yang melihat negara Barat sebagai negara-negara yang berjaya, berkuasa.
Ini kerana hakikatnya, kita orang Asia juga sama-sama mampu mencapai semua yang dimiliki negara Barat setakat ini.
Walaupun ramai di antara kita sudah biasa dengan budaya Barat, makanan dan juga cara hidup mereka, kita mesti berdiri teguh dan tidak dipengaruhi sesiapa.
Kita tidak boleh biar cara dan budaya Barat mempengaruhi kita sehingga kita tidak lagi memperjuangkan apa yang menjadi hak kita.
Satu contoh yang baik di sini ialah bagaimana negara Barat cuba menyekat negara seperti Malaysia dan Indonesia dari segi eksport minyak sawit.
Malaysia dan Indonesia adalah dua negara pengeluar minyak sawit terkemuka dan ini nampaknya tidak sesuai dengan negara Barat yang bertegas untuk mempromosi produk minyak kacang soya keluaran mereka.
Daripada laporan, saya difahamkan bahawa negara-negara Barat mendakwa ladang kelapa sawit kita menyebabkan berlaku penebangan pokok yang berleluasa.
Sebagai pencinta alam sekitar yang aktif, saya telah mengikuti laporan dan dakwaan ini dengan teliti dan sehingga kini, tiada bukti yang jelas dan didokumenkan bagi tuntutan tersebut.
Tiada negara Barat dapat membuktikan apa yang mereka dakwa terhadap Malaysia dan kita telah mengambil pelbagai usaha pemuliharaan untuk memelihara hutan kita yang juga habitat banyak haiwan termasuk Orang Utan.
Teknik perladangan kelapa sawit kita guna teknologi moden dan terdapat banyak kaedah penanaman yang tidak memerlukan pengusaha ladang untuk menebang pokok lagi. Kita kini memaksimumkan potensi daripada ladang sedia ada dan penggunaan tanah tanpa perlu menebang sebatang pokok pun.
Penggunaan baja berkualiti tinggi dan teknologi moden, termasuk dron telah banyak membantu ladang kelapa sawit.
Lalu, propogandis Barat kini hanya menjurus kepada satu perkara, iaitu memburukkan minyak sawit kita dan mempromosikan minyak kacang soya mereka.
Dalam hal ini, saya mengalu-alukan usaha Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin yang menentang pengaruh-pengaruh Barat ini.
Bagi saya, tidak salah Zuraida melabelkan pihak terbabit sebagai pembuli kerana itulah yang mereka mahu lakukan, mahu memaksa kita sehingga kita berkata 'ya' kepada mereka dan permintaan mereka.
Dalam hal ini, saya mengajak rakyat Malaysia untuk bersama Zuraida, menyokong minyak sawit kita yang juga eksport utama dan menjana berjuta-juta untuk tabung negara kita. Kita tidak boleh duduk diam dan membiarkan negara Barat mengambil hak berkenaan.
Saya memuji sikap Zuraida yang teguh dengan pendiriannya dan daripada kenyataan-kenyataannya sebelum ini, kita boleh lihat beliau bertekad untuk memperjuangkan 'ketuanan' minyak sawit kita.
Lagipun pada hakikatnya, tidak ada pun kemusnahan hutan dan pekebun sawit di negara kita pastinya tidak menceroboh atau memusnahkan mana-mana habitat haiwan.
Saya juga berpeluang menyertai banyak operasi di mana Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bersama penduduk kampung menangkap dan menempatkan semula gajah liar yang menceroboh ladang kelapa sawit.
Ia adalah senario biasa kerana gajah-gajah memang sering berkeliaran mencari makanan, namun hidupan liar itu kemudian dipindahkan tanpa ada kemusnahan pokok atau sebarang kemudaratan sama sekali.
Bagi saya, Zuraida adalah pemimpin wanita yang berani serta tegas dan kita mesti berdiri teguh di belakangnya serta memperjuangkan hak kita. Sikap ditunjukkan harus dicontohi pemimpin lain, jangan sekali-kali mengalah kepada tekanan asing.
Bharian