IQNA

"Mushaf Muhammadi": Warisan Wanita Maghribi di Majma’ al-Quran Sharjah

15:24 - July 20, 2025
Berita ID: 3106741
IQNA - "Mushaf Muhammadi" merupakan salah satu naskhah al-Quran yang tersimpan di Muzium Majma’ al-Quran Sharjah, Emiriah Arab Bersatu, yang telah ditulis tangan oleh lebih daripada 75,000 wanita Maghribi.

Laporan IQNA, memetik akhbar al-Bayan «البیان»; Mushaf unik ini mencerminkan hubungan erat wanita Arab dengan al-Quran, dan merupakan hasil daripada inisiatif bukan tradisional/Kontemporari oleh Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Maghribi dengan kerjasama para graduan wanita dari program literasi al-Quran.

Faisal al-Suwaidi «فیصل السویدی», Pengarah Muzium, Komunikasi dan Pemasaran Korporat Majma’ al-Quran Sharjah berkata:

“Majma’ ini mengandungi koleksi naskhah al-Quran dan manuskrip langka yang berasal dari abad ke-2 dan ke-3 Hijrah. Ia menawarkan pengalaman budaya dan rohani yang unik kepada pengunjung dan penyelidik, dan memainkan peranan penting dalam memperkukuh nilai-nilai Qurani serta identiti budaya umat Islam.”

Beliau menambah bahawa "Mushaf Muhammadi" «مصحف محمدی» yang baru-baru ini ditambahkan ke koleksi, adalah antara karya paling menonjol yang mengukuhkan hubungan Majma’ dengan institusi pendidikan dan ilmu pengetahuan.

Mushaf ini ditulis menurut riwayat Warsh dari Imam Nafi’, menggunakan khat Maghribi standard. Halaman-halamannya dihiasi dengan corak tumbuh-tumbuhan halus khas Maghribi. Ukurannya ialah 32cm panjang dan 24cm lebar, dengan 14 baris dan setiap baris mengandungi 8 perkataan. Ia dijilid menggunakan kain sutera kuning yang disulam dengan benang emas secara manual dan timbul.

Lebih daripada 75,000 wanita menyertai penulisan mushaf ini, di mana setiap seorang menulis satu atau beberapa perkataan daripada 77,000 perkataan dalam al-Quran, dalam suatu usaha kolektif yang luar biasa.

Naskhah akhir mushaf ini telah dicetak pada tahun 2015 di Austria, dan diterbitkan oleh Yayasan Raja Muhammad VI di Maghribi. Salah satu naskhah telah dihadiahkan kepada Raja Muhammad VI sebagai simbol hasil usaha pendidikan dan spiritual wanita Maghribi.

Kini, mushaf ini dipamerkan di Muzium al-Quran Langka Majma’ al-Quran Sharjah — salah satu daripada tujuh muzium di pusat ini. Sebanyak 506 naskhah manuskrip langka, yang bertarikh dari abad awal Hijrah hingga zaman moden, turut dipamerkan di sana.

Setiap mushaf mencerminkan era pemerintahan dan dinasti berbeza dalam sejarah Islam, serta membuktikan kebesaran warisan al-Quran dan peranan besar wanita dalam menjaganya.

4295274

captcha