IQNA

9:12 - December 01, 2021
Berita ID: 3100480
TEHRAN (IQNA) - Kebenaran itu bukannya terletak pada susuk tubuh mana-mana individu atau mana-mana organisasi. Islam menekankan kepentingan ilmu pengetahuan yang kukuh dan setiap yang dikatakan mestilah berasaskan bukti dan dalil.

BAHAYANYA taasub kerana ia boleh membuatkan seseorang menjadi tidak rasional. Batang tubuh pihak yang dikagumi secara melampau akan sering ‘disucikan’ walaupun dia telah melakukan pelbagai kesilapan. Perkara ini adalah dilarang dalam agama.

Fenomena seperti ini bukan perkara baru, sejarah membuktikan kewujudan golongan ekstremis ini pada setiap zaman lagi. Mari kita lihat bagaimana Islam memberi panduan buat kita dalam hal ini. Firman Allah S.W.T:

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لَا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ غَيْرَ الْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعُوا أَهْوَاءَ قَوْمٍ قَدْ ضَلُّوا مِن قَبْلُ وَأَضَلُّوا كَثِيرًا وَضَلُّوا عَن سَوَاءِ السَّبِيلِ

“Katakanlah: ‘Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.’”

[al-Maidah: 77]

Daripada ayat di atas, Allah S.W.T memberi amaran kepada kita mengenai bahaya sikap melampau yang akan menjerumuskan manusia ke lembah kesesatan. Manusia bukan sahaja terpesong malah membutakan mata dan hati untuk mencari kebenaran yang sebenar.

Kebenaran itu bukannya terletak pada susuk tubuh mana-mana individu atau mana-mana organisasi. Islam menekankan kepentingan ilmu pengetahuan yang kukuh dan setiap yang dikatakan mestilah berasaskan bukti dan dalil. 

Saya tertarik dengan kata-kata Imam al-Auza‘i, beliau berkata: “Ketahuilah bahawa sesungguhnya ilmu ini adalah (ilmu) agama, maka perhatikanlah apa yang kalian lakukan, daripada siapa kalian mengambil ilmu dan kepada siapa kalian berteladan. Perhatikan juga kepada siapa kalian mengamanahkan agama kalian, kerana pendukung kebidaahan mereka semuanya adalah pembela kebatilan, para pendusta dan pendosa.” [Tarikh Dimasyq: 6/362].

Marilah kita saling berpesan agar menjauhi sifat ini, usahlah taasub kepada seseorang atau sebuah organisasi sehingga mata kita tidak lagi boleh melihat kebenaran. Semoga kita sentiasa berusaha mencari kebenaran dan beroleh rahmat dan hidayah-Nya.

harakahdaily.net

 
tanda nama: Ketaasuban ، membawa ، ke lembah ، kebinasaan
Nama:
Email:
* komen:
* captcha: