Laporan IQNA, memetik kenyataan Jabatan Hubungan Awam Pejabat Dakwah Islamiah Isfahan; Jawad Heidari 《جواد حیدری》, pakar ilmu Kalam dan Akidah di Pusat Nasional Respons kepada Soalan Agama, menjelaskan persoalan sama ada fenomena seperti gerhana matahari dan bulan boleh menjadi tanda kepada perkara malang. Berikut adalah penjelasan beliau:
Malam ini, 14 Rabiulawal 1447HQ (bersamaan 16 Shahriwar 1404HS - 7 September 2025), kita akan menyaksikan fenomena gerhana bulan. Keadaan ini menyebabkan sebahagian pihak yang mengambil kesempatan cuba menimbulkan ketakutan serta menyebarkan anggapan bahawa hari ini penuh kesialan, malah kononnya bencana besar sedang menanti. Bagi menjelaskan perkara ini, beberapa poin penting perlu disebutkan:
Poin Pertama: Dahulu, kegelapan mendadak pada bulan atau matahari dianggap sebagai tanda kemurkaan Allah, dan sebarang peristiwa buruk selepas itu dikaitkan dengan malang gerhana. Namun, kini dengan ajaran luhur mazhab Ahlul Bait (a.s) serta kemajuan sains, kita mengetahui bahawa kedua-dua fenomena ini adalah sebahagian daripada keindahan ciptaan alam semula jadi, dan tiada kaitan langsung dengan musibah yang berlaku selepasnya.
Poin Kedua: Apabila meneliti riwayat-riwayat Ahlul Bait (a.s), kita mendapati bahawa gerhana bulan, gerhana matahari, gempa bumi dan fenomena seumpamanya adalah tanda peringatan agar manusia mengambil iktibar, takutkan Allah, dan meninggalkan dosa. (Rujuk: Bihar al-Anwar, jilid 57, hlm. 130)
Poin Ketiga: Gerhana bulan adalah sebahagian daripada tanda kebesaran Ilahi, dan ketika ia berlaku, umat Islam diwajibkan mendirikan Solat Ayat.
Poin Keempat: Dengan bertawakal kepada Allah Yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana, memberi sedekah, dan membaca ayat-ayat suci al-Quran, kita dapat menenangkan hati dan menghilangkan segala kegelisahan serta rasa takut.
Kesimpulan: Setelah meneliti ayat-ayat al-Quran dan riwayat-riwayat Ahlul Bait (a.s), jelas bahawa tiada bukti sahih yang menunjukkan waktu gerhana bulan membawa kesialan atau malang. Segala dakwaan yang tersebar hari ini di media sosial tentang bencana, peperangan dan pertumpahan darah selepas gerhana tidak mempunyai sebarang nilai akal, saintifik atau syar‘i.
3403779