
Laporan IQNA, memetik MENAFN; Memorandum ini bertujuan menyelaraskan dasar dan peraturan berkaitan pendokumentasian dan pengarkiban manuskrip sejarah, serta membina kapasiti melalui aktiviti latihan dan pertukaran pengalaman.
Memorandum tersebut ditandatangani oleh Khalifa Musbah Al-Tunaiji, Pengerusi Majma‘ Al-Quran Sharjah, dan Abdulaziz Al-Muslim, Pengerusi Pusat Warisan Sharjah.
Majlis menandatangani perjanjian ini turut dihadiri oleh beberapa pegawai dan pengarah jabatan pentadbiran kedua-dua institusi.
Dalam majlis tersebut, Pengerusi Majma‘ Al-Quran Sharjah menegaskan bahawa kerjasama ini selari dengan pendekatan majma‘ dalam penggunaan teknologi baharu dan kecerdasan buatan untuk berkhidmat kepada al-Quran, serta dalam usaha pemuliharaan dan pengarkiban manuskrip yang menjadi saksi hidup kepada sejarah penulisan al-Quran dan perkembangan ilmu-ilmu al-Quran.
Beliau menambah bahawa kerjasama dengan Pusat Warisan Sharjah yang berdaftar dengan UNESCO akan membantu dalam pengarkiban manuskrip dan artifak sejarah yang jarang ditemui, melindunginya daripada kerosakan dan kehilangan, serta memudahkan akses para penyelidik dan peminat terhadap khazanah tersebut.
Al-Tunaiji menegaskan bahawa memorandum ini akan memainkan peranan penting dalam memperkenalkan Majma‘ Al-Quran Sharjah di peringkat antarabangsa melalui penyertaan Pusat Warisan Sharjah dalam pelbagai forum global.
Majma‘ Al-Quran Sharjah telah dirasmikan pada 25 Disember 2020 oleh Amir dan Pemerintah Sharjah.
Kompleks ini merupakan majma‘ al-Quran terbesar di dunia, yang menempatkan tujuh muzium saintifik dan bersejarah. Ia juga menjadi pusat aktiviti dan program berkaitan al-Quran serta tempat pertemuan peminat dan penggiat dalam pelbagai bidang al-Quran.
Majma‘ Al-Quran Sharjah mempunyai cawangan di 140 buah negara dan turut menerima pelajar dari seluruh dunia.
Pada masa ini, Majma‘ Al-Quran Sharjah memiliki koleksi al-Quran bersejarah, mushaf yang ditulis di atas kulit, serta artifak al-Quran yang jarang ditemui, sebahagiannya berusia sehingga 1,300 tahun dan merangkumi pelbagai era dari abad kedua Hijrah hingga zaman kontemporari.
Pusat Warisan Sharjah pula merupakan sebuah institusi kebudayaan dan ilmiah serta pusat antarabangsa kategori kedua di bawah seliaan UNESCO, yang berperanan dalam pembinaan kapasiti dalam bidang warisan budaya.
Pusat ini juga dianggap sebagai salah satu institusi terkemuka dalam bidang kepakaran warisan budaya, berdasarkan kejayaan besarnya dalam kajian dan pendokumentasian warisan budaya.
4329202