IQNA

Afghanistan meratapi mangsa serangan Daesh

6:15 - October 17, 2021
Berita ID: 3100285
TEHRAN (IQNA) - Minoriti Syiah di Afghanistan hari ini sekali lagi mengebumikan saudara dan rakan mereka yang maut dalam letupan di masjid ketika solat Jumaat.

Kumpulan penyokong Daesh mengaku bertanggungjawab terhadap kedua-dua serangan pengebom berani mati itu, yang mengorbankan lebih 120 nyawa

Pihak berkuasa agama di bandar Kandahar memberitahu AFP, angka kematian serangan semalam mencecah 60, ketika ratusan individu mengorek puluhan kubur.

Pembunuhan terbaru itu berlaku seminggu selepas satu lagi serangan terhadap penganut Syiah di sebuah masjid di utara bandar Kunduz yang meragut lebih 60 nyawa, dan turut didakwa didalangi Daesh.

Dalam satu kenyataan yang diterbitkan di saluran Telegram, militan jihad itu berkata dua pengebom bunuh diri Negara Islam-Khorasan (IS-K) melaksanakan dua serangan berbeza di masjid di Kandahar, yang juga ibu kota suci Taliban.

Pembunuhan itu mencetus kritikan pihak antarabangsa termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, yang mengutuk 'serangan keji' itu.

Beliau menuntut pihak yang menggunakan keganasan untuk menyekat kebebasan beragama di Afghanistan itu segera di bawa ke muka pengadilan.

Di tanah perkuburan, seorang penduduk, Gul Ahmad memberitahu AFP bahawa dia meratapi pemergian abangnya yang dibunuh dalam tragedi berkenaan.

"Dia ada dua anak kecil. Dia ada rumah, ada segala-galanya. Peritnya kehilangan ini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata," katanya.

"Dunia akan mengingati serangan ini. Dunia Islam akan mengingati kekejaman ini, terutama rakyat Afghanistan yang terhormat," kata Muhammad Agha yang turut meratapi tragedi itu.

Di dalam masjid, dindingnya dipenuhi lubang dan serpihan bom selepas letupan berkenaan, dengan sukarelawan sedangn membersihkan sisa runtuhan di ruangan solat.

bharian.com

captcha